Sunday, February 17, 2013

KESELAMATAN MURID KETIKA CUACA BURUK (THE DANGER OF LIGHTENING SPARK)

Berita tentang seorang murid Maahad Tahfiz di Teluk Intan yang disambar petir mengingatkan kita terhadap peristiwa sama yang menimpa beberapa orang pelajar SMK King Edward VII, Taiping dan budak Felda tidak lama dahulu. Kebetulan lokasi kejadian semuanya di kawasan padang bola sepak yang lapang dan ketika hari hujan. Kes yang membabitkan budak sekolah sudah pasti mendapat perhatian masyarakat dan pihak yang berkepentingan.
sumber gambar di sini

Petir yang kuat selalu menyebabkan pokok kelapa tinggal separuh dan dalam keadaan yang ekstrem boleh menyebabkan kebakaran. Cas elektrik tinggi yang dibawa oleh petir akan bertindak balas dengan cepat jika terkena sebarang objek secara tepat. Manusia yang tidak sempat berlindung lalu disambar petir akan menghadapi risiko hilang nyawa.

Maka, peristiwa yang membabitkan murid disambar petir di kawasan sekolah, walaupun bersifat kes terpencil, tidak seyogia dipandang ringan. Sejajar dengan konsep sekolah selamat, sebarang bentuk ancaman yang mendatangkan mudarat atau risiko kecederaan kepada murid mesti dihapuskan. Dari segi undang-undang pendidikan, langkah berjaga-jaga (the duty of care) diberi keutamaan bagi mengelak kecuaian (negligence).

Kebiasaannya pihak sekolah akan membekalkan setiap murid dengan buku bersaiz poket tentang tatacara disiplin dan keselamatan sebagai garis panduan tingkah laku yang dikehendaki. Ingatan lisan juga disampaikan oleh pengetua kepada sekalian warga sekolah tentang perkara berkenaan. Guru-guru yang mengendalikan aktiviti luar bilik darjah turut mengambil langkah yang sama.
Papan tanda amaran di Amerika, Australia, England? Malangnya, di negara kita!

Hayat ingatan manusia lazimnya tidak begitu panjang, khususnya terhadap hal-hal yang bukan rutin. Maka, pihak sekolah boleh menyediakan papan tanda yang jelas tentang bahaya petir berhampiran kawasan padang. Garis panduan ringkas tentang tindakan yang perlu diambil hendaklah disediakan dalam bahasa kebangsaan dan jika perlu, terjemahan bahasa Inggeris dalam saiz huruf yang lebih kecil.

Kejadian murid disambar petir sudah tentu menyayat hati dan mengejutkan ibu bapa, serta pihak sekolah. Jika segala langkah proaktif sudah diambil, maka peristiwa seumpama itu memang malang tidak berbau. Pihak sekolah telah menunaikan kewajipan in loco parentis, iaitu sebagai ganti ibu bapa yang memberi jagaan dan perlindungan kepada kanak-kanak yang berada di kawasan sekolah...

No comments:

Post a Comment