Sunday, February 10, 2013

KONSEP MENDAHULUI MASA DALAM PEMBELAJARAN DI SEKOLAH (PREPARE FOR THE WORST)

Walaupun baru berada awal sesi persekolahan, kebanyakan sekolah telah merangka persiapan awal kurikulum untuk menyempurnakan sukatan pelajaran lebih awal daripada jadual bagi mengelakkan kemungkinan luar jangka. Hanya barangkali bagi program kumpulan murid tertentu, strategi yang diambil bakal berbeza sedikit. Kebijaksanaan pengurusan kurikulum dan kerjasama murid sangat penting supaya pada akhirnya matlamat kecemerlangan pembelajaran tercapai sebagaimana yang diharapkan.

Program pendidikan di sekolah tidak terhad kepada aktiviti kurikulum di bilik darjah semata-mata, bahkan dilengkapkan dengan penglibatan di luar bilik darjah, dan di luar sekolah bagi memberi pengalaman pembelajaran dunia sebenar kepada murid sekolah. Menerusi interaksi pelbagai peringkat, iaitu dengan memasuki pertandingan atau persembahan tertentu, murid sekolah dapat membina jaringan masa depan untuk kemajuan kendiri. Barang diingat bahawa penyertaan dalam sesuatu pertandingan atau persembahan membabitkan persediaan dan peruntukan masa yang tidak sedikit.

Terdapat banyak program wajib tahunan bagi setiap sekolah seperti hari anugerah kecemerlangan kurikulum, anugerah kecemerlangan kokurikulum, kejohanan sukan, sambutan kemerdekaan, hari guru, dan program khas seperti hari kerjaya, hari terbuka, pelantikan pemimpin murid dan banyak lagi. Sebahagian guru dan murid akan terlibat dengan mesyuarat, tugas pelaksanaan dan raptai acara, jika perlu. Konsep melindungi masa instruksional murid (MMI) secara tuntas mungkin menghadapi cabaran atau perlu kebijaksanaan baharu dari segi amalan sebenar.

Kebanyakan program dilangsungkan selepas waktu sesi persekolahan harian murid tamat, atau diselitkan dalam majlis perhimpunan mingguan rasmi. Mamang benar bahawa sesuatu program yang dirancang dengan baik akan menjimatkan sumber, khususnya masa. Namun, komponen perancangan yang baik itu boleh mengambil 80 peratus masa keseluruhan hingga jadi program.

Sebagai insan biasa, guru dan murid tertakluk kepada pelbagai faktor dalam kawalan dan juga di luar kawalan. Murid dan guru boleh dipastikan akur dengan jadual pelaksanaan aktiviti kurikulum yang ditetapkan, tetapi mereka juga terdedah kepada pengaruh persekitaran, kesihatan dan pelbagi peristiwa yang muncul secara tidak diduga. Maka, tahap pencapaian yang sentiasa stabil seperti kehendak piawaian kualiti tidak dapat diberi jaminan yang muktamad.

Sebagai langkah proaktif, atau dalam peribahasa Melayu 'sediakan payung sebelum hujan', kepimpinan sekolah perlu memikirkan reka bentuk konsep mendahului masa tanpa menjejaskan hak dan akses murid terhadap pendidikan, serta proses pembelajaran yang paling bermutu. Aplikasi prinsip keberkesanan dan kecekapan penyampaian umpama kenderaan terbaik untuk membawa guru dan murid ke arah destinasi sebenar. Kreativiti dan pembaharuan dari segi pelaksanaan kurikulum perlu diberi keutamaan dengan syarat semua murid pada akhirnya hanya beroleh manfaat semata-mata.

Konsep mendahului masa juga sejajar dengan cogan kata 'mencegah lebih baik daripada mengubati', atau 'cegah sebelum parah'. Maksudnya segala langkah dan perancangan telah diambil terlebih awal bagi mengelak sebarang kemungkinan risiko. Jika sudah terantuk baru terngadah, atau nasi sudah menjadi bubur, penyesalan sudah tidak berguna lagi, iaitu menangis tidak berlagu jawabnya.

Dalam konteks persediaan peperiksaan awam sebagai contoh, andai kata seluruh sukatan pelajaran hanya dapat diselesaikan pada saat-saat akhir, maka strategi kecemerlangan akan memiliki baki masa yang sangat terhad. Konsep menepati masa (on the dot) wajib untuk pelaksanaan sesuatu program sebenar, tetapi sangat tidak kena untuk proses perancangan strategik pembelajaran. Peperiksaan bermula dan  berakhir mengikut jadual, tetapi proses persediaan peperiksaan wajib mendahului masa.

Kepimpinan sekolah harus mencari jalan supaya konsep mendahului masa dapat diterima sebagai suatu amalan yang sihat dalam kalangan warga sekolah. Dengan contoh kepimpinan melalui teladan, warga sekolah akan sentiasa datang lebih awal, menyiapkan tugasan lebih awal dan akur dengan keperluan ketepatan masa supaya ada ruang untuk bernafas. Kerja keras hingga ke saat-saat akhir (bahasa basahannya cupui-cupui) hanya menyesakkan nafas, lalu tercungap-cungap seperti nyawa di kerongkongan layaknya.

Guru dan murid mencapai persetujuan bahawa aktiviti pembelajaran di bilik darjah mendahului masa, iaitu proses penglibatan aktif yang terancang, reka bentuk latihan yang cekap dan pengalaman yang kontekstual. Sukatan pelajaran dapat diselesaikan lebih awal untuk memberi laluan kepada persiapan kecemerlangan dan peristiwa luar jangka. Sesungguhnya, dengan mendahului masa, kegiatan nilai tambah dan pembaharuan bakal meningkatkan bakat modal insan generasi muda di sekolah...

No comments:

Post a Comment