Sunday, March 10, 2013

KEBANGKITAN LEWAT CHONG WEI TIDAK MENCUKUPI (CHEN LONG THE NEW ALL ENGLAND CHAMPION)

Corak permainan agresif yang ditunjukkan oleh Chen Long, 24, dari China berjaya menyekat pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, 31, yang dikenali sebagai pemain lambat panas daripada mendapat rentak. Buktinya, Chen Long mendahului lebih awal dalam kedua-dua set, iaitu 7-0 pada set pertama dan 6-1 pada set kedua. Keputusan perlawanan berakhir dalam dua set terus, iaitu 21-17 dan 21-18.

Pertarungan selama satu jam dua minit itu membayangkan permainan rally yang penuh muslihat dan taktikal yang berselang seli dengan pukulan kencang yang mengelirukan lawan. Set pertama kelihatan mudah bagi Chen Long kerana dia sentiasa di hadapan dari segi pungutan mata. Namun, set kedua penuh debaran apabila kedudukan mula terikat dari mata 14-14 hingga 18-18 sebelum Chen Long berjaya memaksa Chong Wei melakukan kesilapan dengan menghantar bola keluar atau sangkut di jaring.
Walaupun hajat untuk mencatat tiga kejuaraan Seluruh England berturut-turut tidak kesampaian, Chong Wei masih lagi ayam tambatan badminton negara justeru pemain pelapis semuanya terkandas di peringkat awal. Kelibat juara baharu sirkit kebangsaan, Misbun Ramadan Misbun, 22, tidak kelihatan, demikian juga dengan bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli, 19, serta Mohd Arif Abdul Latif. Dua pasangan beregu termasuk veteran Farizuan Tazary dan Zakry Abdul Latif masih berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan terbaik di peringkat suku akhir.

Indonesia pula terus tenggelam selepas era Icuk Sugiarto, Lim Swie King dan penampilan terakhir Taufik Hidayat di Seluruh England kali ini apabila tumpas seawal pusingan pertama. Indonesia hanya mampu bersaing dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran. Legenda mereka seperti Rudy Hartono, juara Seluruh England lapan kali, Christian Handinata, Tjun Tjun, Hermawan Susanto dan Rexy Manaiky tidak mampu menjadi inspirasi kecemerlangan pemain muda seperti Sony Dwi Kunchoro dan Tommy Sugiarto.
Nampaknya Chen Long telah mengisi kedudukan Lin Dan sebagai pemain yang sukar ditewaskan dalam kejohanan utama seperti Olimpik, Seluruh England dan Piala Dunia. Dengan susuk fizikal yang mantap dan pergerakan yang pantas, Chen Long memiliki ciri lengkap jagoan badminton yang sukar ditewaskan. Kelemahan jangkauan di sudut belakang sebelah kanan gelanggang berjaya ditutup dengan hantaran yang rendah di kiri kanan lawan.

Rejim latihan yang baharu perlu dirangka bagi menghadapi era permainan taktikal yang bersekali dengan pergerakan pantas bagi memburu setiap satu mata yang tidak diperoleh dengan mudah. Sekolah bertaraf akademi badminton mirip sekolah sukan di Bukit Jalil dan Bandar Penawar mungkin jalan terbaik bagi mengimbangi ketangkasan fizikal dengan input kecerdasan intelektual dalam permainan. Panel jurulatih dalam pelbagai bidang kepakaran ditawarkan kepada pemohon yang melalui tapisan yang ketat.

Persatuan Badminton Melayu Malaysia dan Persatuan Badminton India Malaysia perlu lebih aktif supaya bakat muda dalam kalangan kedua-dua masyarakat berkenaan menyerlah semula seperti suatu ketika dahulu. Negara pernah memiliki Abdul Rahman Mohammad, Suffian Abu Bakar, Misbun Sidek dan adik-adik, Roslin dan Hafiz Hashim dan sebilangan pemain remaja yang berjaya di peringkat remaja dunia ketika ini. Punch Gunalan dan James Selvaraj juga pernah menyinar di gelanggang antarabangsa suatu ketika dahulu.

Tanpa bermaksud perkauman atau segregasi, tujuan memperkasa persatuan badminton berdasarkan masyarakat lebih berupa landasan untuk menggilap bakat terpendam dalam pertandingan yang lebih fokus, di samping menghantar peserta ke kejohanan jemputan antarabangsa tanpa bergantung kepada pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dikawal oleh beberapa kerat pemimpin sukan yang terlalu banyak syarat. Apa-apa pun tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei yang terus memastikan bahawa badminton Malaysia masih digeruni diperingkat tertinggi dunia...

No comments:

Post a Comment