Wednesday, March 13, 2013

KEPENTINGAN NASKHAH KERTAS STPM MAKROEKONOMI SPESIMEN (DO MORE EXCERCISES BEFORE EXAM)

Semasa belajar di dalam kelas, nampak macam senang sahaja mata pelajaran ekonomi. Masalah hanya berlaku apabila berhadapan dengan kertas soalan ujian dan peperiksaan. Kadang-kadang ayat tugasan soalan langsung tidak dapat ditangkap maksudnya oleh calon.

Hakikatnya pernyataan di atas merujuk kepada persepsi atau tanggapan yang sipi tentang cara pembelajaran ekonomi. Sebahagian pelajar beranggapan bahawa ekonomi boleh dipelajari pada saat-saat akhir (over night). Mereka lupa tentang hubung kait antara sejumlah pemboleh ubah bagi menjelaskan sesuatu takrif, konsep, prinsip, teori dan hukum ekonomi.
Tiada jalan pintas untuk menguasai penjelasan hubungan antara pemboleh ubah dalam pembelajaran ekonomi, melainkan menerusi sejumlah latihan yang mencukupi dan relevan. Bidang atau tumpuan latihan hendaklah akur dengan sukatan pelajaran dan buku teks yang disyorkan. Bentuk latihan boleh jadi berdasarkan tajuk (topical), mahupun kertas spesimen peperiksaan selengkapnya.

Antara buku latihan ekonomi penggal 2 (makro) yang terdapat di pasaran ialah terbitan Oxford Fajar yang menggabungkan tiga orang penulis. Sebanyak 7 kertas model disediakan berasaskan contoh yang terdapat dalam sukatan pelajaran modular. Dengan harga senarai RM10 (sebelum diskaun), pembelian buku yang tersebut memang berbaloi.

Kebanyakan item soalan yang direka bentuk begitu mirip dengan piawaian kertas STPM yang lalu. Penulis telah mengambil kira perubahan sukatan pelajaran dan aras soalan yang bersesuaian dengan sistem penggal. Cadangan jawapan boleh dimantapkan dengan merujuk huraian daripada buku teks ekonomi yang digunakan sepanjang kuliah.
Naskhah spesimen kertas STPM Makroekonomi yang boleh membantu calon meningkatkan kecekapan menjawab soalan ialah modul pentaksiran tulisan Faith Lim, terbitan Ilmu Bakti. Mutu soalan yang dimuatkan lebih kurang sama dengan buku Oxford Fajar. Bezanya, naskhah ini tidak dijilid, sebaliknya boleh dipisahkan sebagai 6 set naskhah soalan spesimen STPM yang berlainan.

Alangkah baiknya jika pelajar memiliki kedua-dua naskhah latihan ini supaya dapat bersedia dengan pelbagai bentuk dan ragam soalan. Harga modul Ilmu Bakti ialah antara RM5.90 sebelum diskaun. Maka, kedua-dua naskhah latihan tidak sampai RM20, atau belum sampai separuh nilai baucar buku tempoh hari.

Kedua-dua naskhah latihan ini bakal melengkapkan bahan latihan yang terdapat di penghujung setiap bab dalam buku teks. Memandangkan tarikh peperiksaan sudah di ambang, maka ketiga-tiga sumber latihan ini sudah dikira cukup sebagai persediaan untuk mencatat keputusan yang cemerlang dalam STPM. Guru ekonomi juga sudah tentu menyediakan sejumlah item latih tubi yang penting.

Ujian Masa
Hal inilah yang paling perlu diberi keutamaan oleh calon peperiksaan awam justeru bahawa dalam tempoh peruntukan masa yang terhad, kecekapan dalam proses merancang dan menulis jawapan menjadi kunci pencapaian yang cemerlang. Maka, naskhah modul pentaksiran dan kertas spesimen peperiksaan seumpama di atas sangat membantu dalam persediaan peperiksaan sebenar. Tidak mengapa jika calon harus mengulang set ujian yang sama banyak kali demi sehingga berjaya mencapai kecekapan yang dikehendaki.

Jika wujud keraguan dalam naskhah spesimen
Penulisan kertas model dan spesimen sudah tentu tidak sepertimana ketelitian dalam penulisan buku teks. Dari itu, andai kata berlaku percanggahan, pelajar hendaklah menerima penjelasan buku teks. Sumber rujukan seterusnya ialah sukatan pelajaran, serta guru ekonomi yang memang sentiasa di sisi sebagai 'rakan' kecemerlangan pelajar...

No comments:

Post a Comment