Friday, March 1, 2013

PENCEROBOHAN LAHAD DATU BERAKHIR JUA (PRESERVING SOUVERIGNTY OF OUR COUNTRY)

Terlebih dahulu ucapan takziah buat keluarga anggota keselamatan negara yang terkorban dalam peristiwa berdarah di Lahad Datu, Sabah. Alasan sejarah oleh kumpulan penceroboh asing itu tidak boleh diterima sama sekali kerana jika demikian seluruh dunia akan huru hara kerana pelbagai proses tuntutan. Pengecualian khusus diberi kepada negara yang dirampas dengan bantuan tangan ghaib kuasa besar ketenteraan seperti yang berlaku di Palestin dan kekacauan di banyak lagi wilayah umat yang turut didalangi oleh pemimpin boneka.

Tuntutan terhadap wilayah yang bertindih akibat proses sejarah memang mampu mencetuskan ketegangan diplomatik dan ketenteraan. Tokyo masih menuntut kepulauan Kurile dan Sakhaline daripada Moscow, Argentina menuntut Fakland daripada British, Papua New Guinea menuntut Irian Jaya daripada Indonesia dan banyak lagi. Gerakan pemisah juga berlaku di serata dunia, dan terbaharu muncul negara Sudah Selatan yang dikuasai puak Kristian yang pernah dipimpin oleh Dr. John Garang (rujukan lanjut di sini).

Perpisahan Pakistan dan Bangladesh (asalnya Pakistan Timur) daripada India dengan jumlah penduduk mencecah 400 juta orang melemahkan kekuatan umat Islam di India. Malah, Pakistan dan Bangladesh juga sehingga kini masih dibayangi kepimpinan sekular yang belum berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan dan penindasan jantina yang parah. Bilangan penduduk yang ramai yang sepatutnya mewujudkan pasaran domestik yang kukuh sebaliknya gagal diurus dengan baik hingga fenomena pengangguran begitu luar biasa akibat agihan sumber yang pincang sehingga kuasa beli masih di takuk lama.

Legasi kesultanan Sulu telah lama berlalu dalam lipatan sejarah. Tuntutan ke atas Sabah tidak dapat diterima dalam konteks negara moden justeru keputusan rakyat Sabah untuk mengecapi kemerdekaan menerusi gagasan Malaysia tercapai setelah proses referendum yang sah dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu. Namun, ancaman terhadap kedaulatan Sabah masih berterusan dan tiada petunjuk bahawa waris Sulu akan berputus asa.

Sabah memiliki kekayaan sumber alam dan saiz wilayah yang cukup luas (baca di sini). Dengan potensi kemajuan ekonomi yang begitu menakjubkan, Sabah menjadi tumpuan kemasukan pendatang asing, terutama dari Filipina dan Indonesia. Baru-baru ini Suruhanjaya Siasatan Diraja (Royal Comission of Investigation, RCI) tentang isu berkenaan, serta dakwaan projek kad pengenalan segera telah ditubuhkan. 

Seperti lazim, peristiwa Lahad Datu tidak terlepas daripada pelbagai andaian dan teori konspirasi. Walau apa-apa pun, kehadiran hampir sejuta pendatang asing di sana ternyata mendatangkan keresahan akibat persaingan merebut pekerjaan dan kejadian jenayah yang meningkat. Nampaknya, tugas pasukan keselamatan, terutama risikan, bertambah berat dari masa ke masa.

Hampir tiga minggu penduduk Sabah dan rakyat Malaysia berasa cemas dengan dengan peristiwa pencerobohan rakyat asing yang cuba menguji benteng keselamatan negara. Harga yang dibayar terlalu tinggi apabila dilaporkan dua orang komando negara gugur, manakala 12 orang anggota penceroboh terbunuh. Maka, strategi jangka panjang perlu dirangka bagi melindungi keselamatan Sabah yang terdedah kepada kemasukan pendatang asing justeru memiliki sempadan perairan pantai sepanjang 1,400 kilometer.

Sesungguhnya penceroboh Sulu di Lahad Datu itu langsung tidak mengendahkan konsep saudara seagama. Maka, sudah selayaknya mereka digempur habis-habisan supaya nyah dari bumi Sabah dengan seberapa segera. Sebelum lebih banyak nyawa melayang (pasukan keselamatan negara = 8 orang setakat ini), dan sebelum orang awam menjadi mangsa kekejaman gerila Sulu, krisis Lahad Datu tidak seyogia dibenarkan berlarutan.

Kes negara Fiji patut diambil iktibar apabila kaum pendatang berjaya memenangi pilihan raya hingga mencetuskan krisis perlembagaan pada tahun 1977, diikuti dengan beberapa siri rampasan kuasa tentera. Penganugerahan status penduduk tetap dan kerakyatan secara terbuka seperti amalan di negara-negara maju mengundang natijah demografi yang tidak terbendung. Tembelang sebenar kumpulan seumpama itu hanya terserlah beberapa tahun lamanya.

Arahan supaya 11 buah sekolah di kawasan krisis Lahad Datu ditutup, guru yang berasal dari Semenanjung dibawa keluar, manakala penduduk tempatan semakin terancam memberi gambaran bahawa pengakhiran yang diharapkan masih jauh. Saki baki gerila Sulu yang ditumpaskan mungkin masih besar bilangannya, tetapi dengan penyamaran yang licik. Rakyat meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pasukan keselamatan negara untuk melindungi maruah dan kedaulatan tanah air tercinta... 

No comments:

Post a Comment