Sunday, March 3, 2013

UCAPAN GURU BERTUGAS MINGGUAN KE-9 (SCHOOL ASSEMBLY REPORT)


Terima kasih pengacara majlis

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Terlebih dahulu marilah kita berdoa yang terbaik untuk keselamatan negara kita yang sedang teruji dengan hebatnya, secara khusus ancaman pencerobohan asing di Lahad Datu, Sabah yang memasuki minggu keempat, amin.

Yang Berusaha Puan Pengetua, Penolong-penolong Kanan, guru dan pelajar yang dikasihi sekalian.

Pada minggu ke-9 yang lalu, iatu antara tanggal 25 Februari hingga 1 Mac 2013, saya bersama Puan Alice Nesamoney ialah guru bertugas mingguan. Bersyukur ke Hadrat Yang Maha Esa, bahawa secara amnya bahawa kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh seluruh warga SMI telah menyumbang terhadap persekitaran pembelajaran yang baik, berkesan dan cemerlang. Penilaian 1 yang bermula hari ini bakal menjadi kayu ukur keberkesanan iklim dan budaya sekolah yang sihat itu.

Tahniah kepada 98 hingga 99 peratus pelajar yang berjaya tiba awal di sekolah, iaitu sebelum pukul 7.25 pagi. Guru bertugas berpendapat bahawa tidak mustahil bahawa SMI akan menghampiri sifar lewat ke sekolah apabila kemahiran generik tentang perancangan dan pengurusan kendiri pelajar dari segi prinsip kesegeraan dan mendahului masa dalam kebanyakan keadaan dapat dipertingkatkan. Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada pelajar yang terbabit, mereka sedang berusaha ke arah yang itu.

Sepanjang minggu lepas juga hujan turun pada lewat petang dan malam mengakibatkan beberapa kawasan laluan di SMI menjadi basah dan licin. Alhamdulillah bahawa pelajar telah mengambil ingatan atas ucapan pengetua pada perhimpunan yang lalu supaya mengawal pergerakan dengan berhati-hati dan tidak berlari-lari di sekitar kawasan laluan. Status SMI sebagai sekolah selamat berjaya dipertahankan setakat ini.

Disiplin pelajar pada amnya masih terkawal walaupun borang demerit yang dihantar kepada guru disiplin tidak menunjukkan perubahan yang signifikan. Tahniah buat majoriti pelajar yang bersikap asertif, iaitu akur terhadap amalan disiplin yang tinggi. Sistem organisasi sekolah sentiasa bersedia dengan mekanisme untuk menolong kumpulan tingkah laku melencong atau belum mencapai tahap yang diharapkan supaya lebih berdaya saing dan hebat dalam menuju ke arah kecemerlangan SMI pada abad kedua penubuhannya kini.

Sepanjang minggu lepas juga terdapat lima kes rujukan ke hospital, termasuk seorang bapa pelajar, yang diuruskan oleh pihak sekolah. SMI sangat beruntung justeru lokasi sekolah yang sangat berhampiran dengan segala kemudahan terbaik di bandaraya Ipoh ini. Terima kasih juga kepada Cikgu Adi Yusri yang sudi menggunakan rapport baik beliau dengan pusat panggilan 999.

Seterusnya tentang kebersihan dan keceriaan. Tentulah tidak wajar untuk kita masuk bakul angkat sendiri atau bersifat bajak wangkang makan diangkat untuk memuji diri sendiri tentang aspek ini. Kita memerlukan maklum balas pihak ketiga yang berkepentingan supaya mutu kebersihan dan keceriaan sekolah terus menjadi faktor  kritikal terhadap persekitaran pembelajaran yang berkesan. Guru bertugas berpendapat bahawa tahap kesedaran dan kesediaan pelajar SMI terhadap kebersihan dan keceriaan sepanjang minggu ke-9 yang lalu masih banyak ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan.

Organisasi kelas dan giliran bertugas hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Berilah sokongan kepada program kebersihan dan keceriaan sekolah kerana pada akhirnya pulangan yang diperoleh ialah kecemerlangan dalam pengalaman dan pencapaian pembelajaran. Agak ironi bahawa masih ada bilik darjah yang dipunyai oleh pelajar yang bijaksana dan budiman menggambarkan keadaan yang sebaliknya.

Akhir sekali tentang isu kebisingan yang berpunca daripada tahap maskulin pelajar lelaki yang sengaja hendak menonjol diri barangkali, terutama berhampiran kawasan kantin. Keadaan yang berlaku mudah sahaja untuk ditangani, iaitu dengan memupuk sikap menghormati orang lain dan organisasi, atau dalam bahasa kaunseling dan psikologi, asertif, iaitu tegas diri. Sila gunakan kehebatan suara maskulin kalian pada kesempatan yang lebih sesuai, misalnya semasa aktiviti kawad kaki.

Saya dan Cikgu Alice sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada semua pelajar SMI yang telah menyerlahkan kehebatan sekolah ternama ini sepanjang minggu sudah. Demikian juga kepada pihak pengetua dan guru-guru yang sentiasa sudi menghulurkan pertolongan. Mudah-mudahan SMI terus mencapai tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Sekian. Wassalam.

No comments:

Post a Comment