Semasa penulis blog (PB) dalam tingkatan dua perdagangan, beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu. Kemudian, Cikgu Sulaiman Nawi (kini Datuk) bertukar ke sesi pagi untuk mengajar mata pelajaran Siviks bagi kelas 4 Sains 1. Kelebihan utama Cikgu Sulaiman Nawi ialah dari segi kepetahan menyampaikan cerita, tidak ubah macam stand on comedian.
Antara cerita Cikgu Sulaiman Nawi yang masih menjadi bahan bualan setiap kali PB berjumpa kawan-kawan zaman persekolahan di SMK Seri Perak, Teluk Intan ialah tentang kisah Aurora Borealis. Cikgu Sulaiman Nawi sebenarnya bercerita tentang golongan penagih dadah tegar yang selalu nampak Aurora Borealis setiap kali masuk dalam alam halunisasi (high). Semua murid 4 Sains 1 terlopong dek cara penyampaian Cikgu Sulaiman Nawi yang begitu berkesan.
Pada era PB sebagai murid sekolah, pertanyaan oleh murid jarang-jarang berlaku. Kebanyakan murid percaya bahawa berdiam diri sebagai tingkah laku yang unggul. Perubahan hanya terjadi kepada budak tingkatan enam yang dianggap sudah sebelah kaki masuk universiti.
Berdasarkan perbualan selepas kelas, kebanyakan rakan PB membayangkan bahawa Aurora Borealis ialah sebuah bandar raya yang hebat, serta melimpah dengan cahaya lampu indah yang gemerlapan pada waktu malam. Bandar raya itu juga meriah dengan kegiatan manusia yang melepaskan penat lelah bekerja pada waktu siang. Pendek kata, Aurora Borealis ialah sebuah bandar raya impian yang muncul dalam khayalan penagih dadah sebagai suatu pelarian atau helah bela diri (escapism, defence mechanism).
sumber: klik di sini
Kini, jika berjumpa kawan-kawan lama, semua akan ketawa atas salah sangka yang berusia beberapa dekad itu. Memang betul Aurora Borealis penuh dengan limpahan cahaya, tetapi ia bukan sebuah bandar raya, sebaliknya suatu fenomena geografi (klik Ibid). Seperti juga gerhana, Aurora Borealis hanya muncul sekali-sekala.
Hebat Cikgu Sulaiman Nawi. Mungkin beliau beroleh idea berkenaan apabila bersembang dengan Cikgu Adnan (kini juga Datuk, mantan pengarah JPN Perak), guru geografi 4 Sains 1 juga. Atau, mungkin juga belia merujuk ensaiklopedia justeru pada ketika itu perkhidmatan internet belum lagi dikenali.
Kepetahan Cikgu Sulaiman Nawi hampir-hampir membawa beliau tercalon sebagai wakil rakyat. Namun, beliau lebih sayang terhadap kerjaya keguruan dan berkhidmat hingga usia persaraan 55 tahun. Cikgu Sulaiman Nawi lebih banyak memainkan peranan sebagai mentor kepada rakan politik beliau yang lebih muda.
Aurora Borelais, Cikgu Sulaiman Nawi dan SMK Seri Perak, Teluk Intan memang sinonim kepada PB dan rakan sekelas 4 Sains 1. Sudah tentu kami terhutang budi dengan Cikgu Sulaiman Nawi, guru yang begitu berkesan dan sentiasa mempamerkan kesungguhan optimum ketika di dalam bilik darjah. Secebis kisah Aurora Borealis seyogia dikongsi oleh kaum guru generasi demi generasi...
No comments:
Post a Comment