Friday, April 5, 2013

PROFESOR 'KANGKUNG' JATUHKAN MARTABAT CENDEKIAWAN (PSEUDO-INTELLECTUALS PROMOTING FALLACIES)

Di Itali dan Sepanyol, guru sekolah menengah juga bergelar profesor. Bagi membezakan guru sekolah menengah dengan guru di universiti ialah gelaran khusus profesor universiti (klik di sini). Namun, bagi kebanyakan negara gelaran profesor hanya dianugerahkan kepada mahaguru dalam sesuatu bidang pengajian pengajian tinggi yang telah membuktikan kesarjanaan mereka menerusi sejumlah penyelidikan yang dibentangkan dalam persidangan antarabangsa, serta diterbitkan dalam jurnal terkemuka yang diiktiraf.

Kamus Dewan (Edisi IV, 2005:1233) mentakrifkan profesor sebagai tanaga akademik yang paling tinggi taraf jawatannya, biasanya mengetuai sesebuah jabatan pengajian di universiti atau pusat pengajian tinggi, mahaguru. Dalam amalan sebenar, tatacara pelantikan profesor tertakluk kepada perakuan dan tapisan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada naib canselor (pengerusi), seorang profesor kanan dan wakil Jabatan perkhidmatan Awam. Calon profesor yang disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temu duga bagi membuktikan tahap kesarjanaan yang diperlukan.

Sebelum layak dipertimbangkan jawatan profesor, calon berkenaan terlebih dahulu telah menyandang jawatan profesor madya (PM) dan pensyarah kanan. Kelayakan akademik minimum yang diperlukan ialah ijazah sarjana (masters), tetapi memerlukan tempoh perkhidmatan yang lebih panjang berbanding dengan penyandang ijazah doktor falsafah, Ph.D. Calon profesor juga sepatutnya telah membuktikan kewibawaan akademik yang tinggi menerusi penyelidikan bermutu tinggi seperti piawaian yang ditetapkan.

Ironinya, timbul cakap-cakap bahawa jawatan profesor tidak terlepas daripada isu 'kabel' dan politik akademik, terutama bagi calon profesor bukan sains tulen dan gunaan. Tiada penyelidikan skala besar dan impak tinggi yang dilaksanakan, tetapi hanya kerana rajin memberi ulasan isu semasa menerusi media popular seperti radio, televisyen, akhbar dan majalah yang berstatus umum. Pendek kata, kumpulan profesor sedemikian dikatakan hanya menonjol dari segi glamor dan populariti, bukan sumbangan kecendekiawanan masing-masing.

Untuk berlaku adil, semakan boleh dilakukan menerusi profil (curriculim vitae, CV) setiap profesor dalam portal rasmi universiti. Sungguh kasihan bahawa terdapat banyak pensyarah kanan yang menghasilkan penyelidikan hanya berakhir sebagai PM atau sekadar pensyarah kanan kerana tidak merasa dicalonkan ke jawatan profesor. Kadang-kadang mereka dilangkah oleh pensyarah lebih muda, malah oleh bekas pelajar mereka sendiri.

Masyarakat umum memang berasa geram dan menyampah dengan beberapa orang profesor glamor yang sering memberi pendapat tentang isu semasa, termasuk siasah, tetapi hujah yang dikeluarkan lebih bersifat peribadi, bukan berdasarkan pengamatan kecendekiawanan atau penyelidikan yang autentik. Maka, tahap profesor tadi sudah setara dengan penceramah motivasi atau penjual ubat homeopathi yang mengaku profesor (kononnya Ph.D universiti terbuka luar negara, dunia ketiga). Mungkin label 'profesor kangkung' terlalu kasar, keterlaluan dan hina, tetapi tanggapan itu sudah begitu meluas.

Gelagat segelintir profesor yang mengejar glamor dengan memberi ulasan berat sebelah, tidak ilmiah dan mengampu telah mengakibatkan kemuliaan taraf profesor tulen terjejas. Apatah lagi, jika profesor yang berkenaan bercakap seperti pencacai politik bawahan yang bermodalkan fitnah dan tikam kawan. Malang sungguh dunia kesarjanaan yang terpaksa menerima penumpang yang menyamar sebagai bijak pandai itu.

Kebebasan akademik bukan tiket bagi seseorang profesor untuk turun taraf sebagai seorang awam atau amatur yang bercakap ikut sedap mulut sahaja. Mereka akan hilang penghormatan dan kepercayaan masyarakat sebagai ilmuan yang sejati. Sebaliknya, hanya hujah yang dangkal tanpa sokongan data atau dapatan penyelidikan sebagai tunjang kesarjanaan sahaja yang bakal terserlah.

Harapan kepada profesor sebagai ilmuan pencinta dan pencari kebenaran begitu tinggi. Menerusi kesarjanaan tertinggi dalam bidang pengkhususan tertentu, dapatan penyelidikan para profesor dianggap unggul dan selisih ralat yang rendah. Mereka juga menyampaikan ilmu yang sah kepada pelajar prasiswazah dan pascasiswazah, serta berkongsi penemuan terbaharu dengan komuniti ilmuan yang lain.

Seseorang profesor dengan mudah dapat membaca pancingan emosi para wartawan berkepentingan, serta mampu melontarkan hujah kecendekiawanan dengan laras bahasa awam, tetapi sarat dengan input dan pengamatan kesarjanaan yang layak. Jika tidak, profesor glamor tertentu hanya menderita penyakit yang disebut sebagai nestapa kaum cendekiawan (Sayyed Hossen Nasr, klik di sini). Sementelah profesor tulen masih disanjung tinggi, profesor glamor memegang watak antagonis dalam dunia akademia yang suci...

No comments:

Post a Comment