Isu penurunan harga kereta penumpang masih belum reda walaupun pilihan raya umum ke-13 telah berlalu lebih sebulan setengah. Mula-mula pengeluar kereta nasional Proton mengumumkan pelancaran model SV sesaran 1.3 liter berharga RM33k tanpa mengurangkan ciri keselesaan dan keselamatan. Kemudian, Perodua pula mengumumkan MyVi edisi S dengan penurunan harga sekitar RM5,200 seunit, siap dengan tambahan aksesori lagi!
Sementara itu, kereta rasmi jemaah menteri ditukar daripada Perdana V6 kepada Honda Accord 2.4 liter edisi pemasangan tempatan (CKD, complete knocked-down). Jika berdasarkan konsep liberalisasi perdagangan pertubuhan perdagangan sedunia, WTO yang menghapuskan sekatan perdagangan antarabangsa secara berperingkat, pengguna bakal menikmati harga kereta yang lebih rendah dari tahun ke tahun. Namun, pakar industri automotif menyarankan agar pembeli menunggu hingga belanjawan 2014 dibentangkan terlebih dahulu, serta membuat pembelian pada awal tahun 2014.
Pandangan sinis tentang ciri keselamatan kenderaan yang dijual dengan harga murah memang tidak dapat dielakkan. Kalau dahulu kereta buatan Jepun pernah dianggap seperti tin Milo, maka kereta nasional juga dilabel sebagai prototaip kereta Mitsubishi dan Datsun yang dikuasai oleh Toyota dengan teknologi yang sedikit ketinggalan. Projek kereta seperti Arena, Juara, Savvy dan Tiara mendapat sambutan dingin di pasaran tempatan walaupun mencatat jualan yang baik di Australia dan Thailand.
Penjelasan pihak Perodua boleh dikatakan paling menarik justeru menggunakan hujah ekonomi, iaitu penurunan kos apabila firma menikmati ekonomi bidangan menerusi pengeluaran secara besar-besaran. Jualan model MyVi yang hampir mencecah 200,000 unit setahun telah menyumbang terhadap kecekapan pengeluaran dan kecekapan peruntukan. Perodua mendakwa telah bersedia dengan proses liberalisasi perdagangan dengan harga yang lebih berdaya saing, tetapi dengan reka bentuk dan teknologi yang dibangunkan oleh gabungan kepakaran tempatan dan asing.
...
...
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment