Pencapaian gred kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu SPM masih kekal sebagai syarat utama menyambung pengajian peringkat pasca menengah termasuk kursus prauniversiti, sijil dan diploma, khususnya di bawah kendalian awam. Demikian juga dengan syarat melamar pekerjaan di sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan dan segelintir syarikat swasta. Tanpa gred kepujian Bahasa Melayu SPM, permohonan mereka berkemungkinan besar ditolak pada akhirnya.
Sebahagian calon yang masih tidak berjaya mencatat gred kepujian menduduki kertas ulangan pada bulan Jun. Selain calon muda, terdapat juga calon telah berusia, iaitu mencecah 50-an. Mungkin mereka mahu memohon gred jawatan yang lebih tinggi (daripada kelayakan asal PMR) sebelum bersara, atau sekadar mahu mewujudkan persaingan dengan anak-anak.
Dalam mana-mana peperiksaan atau temu duga, calon tidak seharusnya hadir tanpa persediaan yang mencukupi. Kebolehan spontan bukan tidak berguna langsung, tetapi memang jauh daripada mencukupi. Keadaannya sama dengan soldadu yang mara ke medan perang tanpa membawa apa-apa senjata.
Soalan rumusan adalah berdasarkan petikan tentang khasiat cendawan terhadap kesihatan manusia dan usaha-usaha memajukan perusahaan cendawan. Sama seperti calon sekolah (SPM November), calon masih boleh menulis isi tersurat dan isi tersirat yang mencukupi, tetapi berhadapan dengan masalah untuk menulis pendahuluan dan penutup. Barangkali tekanan semasa peperiksaan menyebabkan sebahagian calon tidak dapat berfikir dengan teratur dan cepat, justeru masa terlalu suntuk.
Soalan pemahaman merujuk petikan mengikut bidang, iaitu petikan umum (teks rumusan), petikan drama (Dato' Onn), petikan prosa tradisional (Hikayat Khoja Maimun) dan petikan syair (Syair Definisi Orang Berakal). Seperti biasa, pecahan soalan terbahagi kepada aras petikan, aras kbkk dan aras komsas. Calon yang tidak membuat persediaan tidak dapat membezakan kepeluan jawapan bagi setiap aras soalan berkenaan.
Calon juga menghadapi kesukaran untuk membezakan antara isi dengan huraian. Hal itu dapat dikesan dalam penulisan jawapan rumusan dan pemahaman. Kadang-kadang jawapan menjadi berlebihan dan kadang-kadang tidak padan dengan jumlah markah yang diperuntukkan.
Soalan tatabahasa masih menguji tentang penggunaan perkataan (morfologi), binaan ayat (sintaksis), kesalahan bahasa dan peribahasa. Perkataan yang diuji untuk membina ayat ialah adab, beradab, peradaban, khidmat, berkhidmat dan perkhidmatan. Selain perkataan peradaban yang dikira agak tinggi (ilmiah sedikit), seperti lazim sebahagian calon akan melanggar arahan supaya tidak menjadikan perkataan yang diuji sebagai nama khas, peribahasa dan cogan kata.
Pecahan 3b menghendaki calon menukar ayat aktif kepada ayat pasif. Calon sepatutnya dapat mengenal pasti perkataan yang berimbuhan meN dalam ayat yang diuji, lalu ditukarkan kepada imbuhan di. Seboleh-bolehnya calon mengekalkan struktur ayat seadanya walaupun frasa penerangan pada prinsipnya boleh diletak di pangkal ayat, di tengah ayat atau di hujung ayat.
Pecahan soalan 3c menghendaki calon mengenal pasti kesalahan ejaan dan kesalahan imbuhan untuk dibetulkan. Pecahan soalan 3c pula tentang kesalahan penggunaan istilah dan kesalahan tatabahasa. Hanya calon yang sudah biasa membaca tentang kesalahan umum bahasa dapat menjawab kedua-dua pecahan soalan 3c dan 3d dengan mudah.
Soalan peribahasa menghendaki calon membubuh peribahasa yang sesuai dengan mengisi tempat kosong yang bergaris dalam petikan. Sekali lagi faktor persiapan calon bakal memisahkan calon yang berkerut dahi dengan calon yang tersenyum simpul sampai ke telinga! Hanya peribahasa yang telah mantap penggunaannya bakal diterima sebagai jawapan yang tepat.
Soalan 4a (novel) menghendaki calon menjelaskan dua latar tempat. Calon seharusnya menyatakan tempat yang disebut dalam novel secara khusus, bukan secara umum seperti di rumah, di pejabat atau di hospital sahaja. Selain itu, bukti kewujudan tempat berkenaan sama ada menerusi peristiwa yang berlaku atau kepentingan tempat berkenaan dalam jalan cerita novel.
Akhir sekali soalan 4b tentang pertentangan pendapat antara watak utama dengan satu watak lain berdasarkan dua buah novel yang dipelajari. Nama watak utama dan watak lain mesti dinyatakan dengan jelas, bukan main teka sahaja. Peristiwa atau perkara yang membuktikan berlaku pertentangan pendapat hendaklah juga ditulis secara ringkas...