Ketika tekak kehausan, segala minuman menjadi lazat. Ada kisah menarik tentang dahaga pada zaman dahulu kala. Sebelum itu, cuba klik di sini bagi meninjau resepi minuman yang berasaskan jagung.
Seorang lelaki tersangat dahaga, lalu singgah di sebuah rumah bagi mendapatkan barang segelas air. Tuan rumah berasa sangat kasihan kepada lelaki itu, lalu menyediakan segelas air kosong. Si lelaki itu kehairanan kerana air yang dihidangkan itu bersekali dengan rumput kering yang bersih.
Akibat terlalu dahaga, lelaki itu terus berdoa lalu meneguk air itu perlahan-lahan bagi mengelakkan diri daripada tertelan rumput sekali. Setelah habis air diminum, baru lelaki itu bertanya muslihat di sebalik tindakan memasukkan rumput kering ke dalam bekas minuman tadi. Tuan rumah hanya tersenyum simpul dan memberitahu bahawa dia hanya mahu memastikan si lelaki itu minum dengan berhati-hati supaya tidak terbelahak.
jeli jagung yang dijual di Kemasik, Terengganu
Minuman yang paling baik untuk menghilangkan rasa dahaga ialah air masak, atau sebarang jenis air yang bersih, suci dan halal, sebaik-baiknya tanpa kandungan gula. Sesekali tidak mengapalah mengambil air yang sekadar manis buah sahaja. Maklumlah minuman yang rencam mengakibatkan sistem ginjal terpaksa bekerja keras bagi mengasingkan tenaga dengan unsur toksin dalam minuman yang diteguk.
Pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui kawasan Pasir Putih (antara Marang dengan Dungun) akan mendapati deretan gerai menjual jagung rebus, kacang rebus, air tuak (nira, bukan todi), jeli kelapa dan jeli jagung. Sebotol air jagung (500 ml) seperti yang tertera dalam gambar di atas berharga RM3.00 setiap unit.
Kalau sudah minum jeli jagung, tidak perlu lagi makan jagung rebus kerana di Terengganu, justeru jeli jagung yang disediakan memang asli, bukan berasaskan perasa dan perisa tiruan. Rasa jagung mengatasi rasa manis yang tidak begitu ketara. Bagi mengesahkan perkara berkenaan, mungkin pihak berkuasa kesihatan boleh membuat ujian makmal secara rambang terhadap jeli jagung yang dijual di sana.
Setakat ini tiada sebarang maklumat tentang kandungan, tenaga, dan jumlah pengambilan minuman yang disyorkan kerana ketiadaan label pada botol minuman. Botol yang digunakan juga dipercayai ialah bekas isian air mineral. Namun, perkara itu juga perlu disahkan terlebih dahulu supaya kepentingan pengguna dan juga peniaga tidak terjejas.
Jeli jagung memang mendapat sambutan hangat pembeli sehingga banyak gerai yang kehabisan bekalan ketika hari masih cerah. Pelancong tempatan dan asing nampaknya begitu teruja dengan keunikan jeli jagung yang dijual di sepanjang jalan itu. Jeli jagung perlu dihabiskan dengan cepat kerana tiada campuran bahan awet yang memudahkan proses pemasaman dan penduaan bakteria ...
Salam, maaf kerana mengganggu.. saya Mohd Rehan b. Mohd Rais berasal dari taiping Perak. Dan menetap di Kampung pasir puteh, Merchang, Marang Terengganu..
ReplyDeleteDisini saya ingin sampaikan beberapa komen mengenai huraian dari blog cikgu Azhar ini mengenai air jagung dari kawasan yang cikgu beli tersebut..
Maaf andai huraian sy ini tidak sehebat blog cikgu,sy hanyelah amatur sahaja.
Keluarga sy membuka gerai jagung ini sejak dari tahun 2007 dan gerai kami bukanlah gerai yang terawal dibuka..
Namun pada itu, tidak semestinya kami tidak menghasilkan sesuatu produk yang mana seperti peniaga2 yang terdahulu dari kami..
Yang saya ingin sampaikan ini adalah mengenai air jagung seperti yang cikgu minum itu.Dengan rasa yakin dan pasti, gerai kami atau ayah sy adalah pengeluar atau pembuat atau juga pencipta pertama air jagung ori ini dikawasan kami..
Seperti yang saya maklumkan, sebelum ayah saya mencipta air jagung ori ini, tidak ade gerai atau peniaga lain yg membuat air jagung ini..
Kesah disebalik peniaga lain yang cuba meniru produk kami adalah disebabkan dimana pada suatu hari gerai kami dikunjungi oleh pelancong luar seramai sebuah bas pelancong,dan mereka merasai air jagung yang kami hasilkan,sehinggakan mereka membawa pulang sebagai buah tangan..
Dari situ, maka peniaga2 lain membuka mata dan mula meniru dan cuba membuat air jagung ini.
Kami menghasilkan produk air jagung ini dengan kajian jangka masa yang agak lama. bahkan bertahun..
mengenai kenyataan cikgu yang menyatakan air jagung yang dibeli oleh cikgu menggunakan botol air mineral yg diguna semula itu agak mengecewakan saya. ini kerana kami tidak menggunakan sebarang botol yang dikitar atau diguna semula..
Seperti yang saya nyatakan, kami malakukan kajian ini bertahun untuk menghasilkan produk air jagung ori yg berkualiti.
Kami hanya menggunakan botol baru.jika menggunakan botol lama atau yang dikitar semula, air tersebut tidak akan tahan lama sehingga menyebabkan basi dengan cepat.dan kami menggunakan botol baru adalah kerana menjaga kualiti.
Maka dengan itu saya menjemput cikgu untuk hadir ke gerai saya iaitu gerai yg bernombor 29. untuk mersai sendiri dan bertanya sendiri mengenai air jagung yang sebenar. dengan pembuat air jagung ori yg sebenar.
Maaf sekali lagi jika perkataan dan ayat saya ini tidak menyenangkan hati cikgu.Saya hanyalah mahu menyampaikan apa yang saya rasakan benar..
Cikgu boleh menghubungi kami untuk sebarang maklumat di talian:- 013-9522810(rehan rais)& 013-9562882(Pn.Zalina Zakaria)
Salam faris hjom,
ReplyDeleteterima kasih atas maklum balas yang sangat berpengetahuan (informative) dan penting sekali. saya cadangkan sdra. sekeluarga mencipta jenama jeli jagung yang khusus dan seterusnya mendaftar hak paten. promosi boleh dilakukan menerusi laman sesawang (blog) @ facebook bagi memperoleh prospek pasaran yang lebih luas. khidmat nasihat daripada mardi, fama, smidec, mara dan agensi kerajaan yang lain mungkin boleh membantu.
tahniah kerana memilih bidang keusahawanan tani. semoga segala usaha sdra. sekeluarga beroleh barakah dan rahmah Ilahi jua, amin. anggaplah bahawa segala keraguan yang cuba ditimbulkan oleh mana-mana pihak, termasuk artikel amatur dalam blog di atas sebagai asam garam dalam dunia keusahawanan.
wallahu a'lam ...