Pelakon veteran, Kartina Dahari menganggap bahawa pemberian duit raya yang dimasukkan dalam pek sampul kecil sebagai ambilan budaya masyarakat lain. Dahulu kanak-kanak menerima duit seadanya daripada tuan rumah yang dikunjungi dan memasukkannya ke dalam saku baju atau seluar yang sengaja dijahit dengan saiz yang besar. Beliau berkata demikian dalam wawancara khas rancangan 10-2 saluran radio Nasional.fm, dahulunya Radio Muzik pagi tadi.
Sementara itu, seorang ahli akademik (namanya tidak sempat dicatatkan) berpendapat bahawa tradisi balik kampung secara beransur-ansur akan tinggal dalam lipatan sejarah. Keadaan itu, dakwa beliau, berpunca daripada proses pembandaran apabila semakin besar bilangan generasi muda lahir di bandar, tinggal di kawasan perumahan dan terputus dengan ikatan desa akibat kesibukan ibu bapa masing-masing. Maka, golongan berkenaan (generasi Y) lebih selesa dengan cara hidup kota, duduk di rumah sambil melayan pelbagai gajet dan menghadiri majlis rumah terbuka yang sudah dijadualkan.
Persediaan juadah hari raya sudah jauh berubah. Tiada lagi suasana rumah yang kecoh dengan seisi keluarga mengacau dodol, menggunakan acuan semperit dan memasukkannya ke dalam oven, atau kanak-kanak turut sibuk menggentel kuih siput. Lemang tradisional juga sudah semakin pupus akibat saingan lemang segera berjenama Nona yang lebih mudah dimasak.
Persaingan antara stesen televisyen dengan pelbagai siaran hiburan dan kerohanian mengakibatkan sebahagian isi rumah asyik melekat di hadapan skrin berteknologi tinggi itu berjam-jam lamanya. Jika ada tetamu yang datang berkunjung, mereka juga tumpang sekaki dan melekat di situ. Tema perbualan pun berkisar tentang siaran berkenaan, manakala tradisi doa dan ucapan yang mulia mulai terpinggir.
Masyarakat pascamoden yang mementingkan kegiatan persendirian (privacy) lebih selesa dihubungi terlebih dahulu sebelum mengesahkan kesediaan menerima tetamu. Kunjungan secara mengejut mungkin masih menerima layanan, tetapi dalam hati mereka mungkin berkata-kata. Tambahan pula, pengunjung mungkin pulang hampa kerana tuan rumah berada di luar kawasan.
Kad ucapan hari raya juga semakin dipandang sebelah mata, kecuali oleh pembeli yang berjiwa halus, atau untuk disampaikan kepada seseorang yang sangat istimewa. Cikgu sekolah pun hanya menerima kad raya janaan komputer dan ditandatangani oleh semua murid dalam sesebuah kelas. Orang zaman sekarang, termasuk kumpulan veteran lebih senang menggunakan medium khidmat pesanan ringkas (SMS, MMS), e-mel dan lambang sembang sosial maya yang lain.
Pengendali perkhidmatan sajian makanan mungkin paling sibuk pada musim perayaan setelah melalui jadual yang ketat untuk tempahan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan. Keluarga bandar boleh gantung periuk (kalau di kampung: dapur tidak berasap) justeru memenuhi jemputan majlis rumah terbuka yang menyediakan hidangan berat. Mereka hanya perlu berwaspada supaya kandungan karbohidrat, lemak dan kolestrol yang ditelan tidak membawa mudarat kepada tubuh badan.
Cara sambutan hari raya menjadi penanda aras penting tentang keberkesanan ibadah puasa yang dijalani dengan tabah selama sebulan penuh. Jika haji yang mabrur dihiasi dengan amalan soleh dan penambaikan makam taqwa, maka demikianlah sepatutnya dengan puasa yang berkesan. Hari raya masih berkonsep ibadah yang penuh dengan ucapan syukur dan memuji keagungan Ilahi.
Sambutan hari raya juga membuka ruang pengukuhan ikatan keluarga, tetangga dan rakan taulan, termasuk penganut agama lain. Kesempatan dakwah dan jalinan ukhuwah terbuka dengan begitu luas. Alangkah indahnya hari raya yang bersifat patuh syariah, sebagaimana prinsip perbankan.
Zaman akan terus berubah tanpa dapat dikekang. Terdapat ungkapan yang mengatakan bahawa mustahil bagi seseorang itu untuk berada dalam air sungai yang sama disesuatu tempat. Cara sambutan dan suasana hari raya mungkin berbeza, tetapi hendaknya falsafah hari raya sebagai tanda kemenangan orang berpuasa hendaknya kekal begitu...
No comments:
Post a Comment