Tuesday, September 17, 2013

PENGALAMAN SEBAGAI GURU GEOGRAFI (THE 'FORGOTTEN' SUBJECT)

Kini, kebanyakan murid sekolah hanya belajar Geografi setakat tingkatan 3, berbanding dengan generasi dahulu hingga tingkatan 5 atau terus ke tingkatan 6 dan universiti. Status Geografi yang dahulunya Ilmu Alam sebagai mata pelajaran pilihan (elektif) menjadikannya seolah-olah terpinggir. Jika di universiti, pelajar menganggap pengajian Geografi sebagai sua tengkuk untuk 'sembelihan'.

Geografi tidak menjadi pilihan pelajar menengah atas (tingkatan 4 dan 5) kerana jumlah mata pelajaran wajib mereka sudah ada lima (Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam / Pengetahuan Moral, Sejarah dan Matematik), manakala pilihan mata pelajaran elektif sangat banyak. Budak sains sudah cukup mata pelajaran elektif iaitu Matematik Tambahan, Fizik, Kimia dan Biologi / Lukisan Kejuruteraan dan lain-lain. Budak sastera / kemanusiaan pula berasa Geografi sebagai satu mata pelajaran yang berat.

Ekoran permintaan yang rendah, kebanyakan sekolah terpaksa 'tutup kedai' untuk mata pelajaran Geografi. Keadaan yang sama berlaku terhadap pengajian prauniversiti tingkatan 6 apabila mereka lebih cenderung kepada mata pelajaran yang dirasakan lebih ringan seperti Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Seni Visual walaupun hakikatnya semua mata pelajaran yang disebutkan juga sama berat. Kebaikannya ialah persaingan untuk merebut tempat ke Jabatan Geografi UM, UKM atau USM menjadi lebih mudah.

Sebenarnya pengalaman belajar Geografi sangat menarik kerana keseluruhan hidup manusia berhadapan dengan fenomena geografi setiap detik. Kesejahteraan hidup manusia sangat bergantung kepada kepekaan mereka terhadap fenomena geografi seperti keadaan cuaca dan iklim, ancaman bencana dan pencemaran, kesuburan tanah, kehausan sumber bahan api, pergerakan cakerawala dan banyak lagi. Malah, Geografi mendekatkan manusia dengan kebenaran dan Yang Maha Pencipta.

Penulis blog (PB) pernah diberi kepercayaan mengajar mata pelajaran Geografi Tingkatan 5 ketika bertugas di SMK Sultan Abdullah, Chenderung Balai. Murid 5 Sains 3 ketika itu memang kelihatan teruja belajar Geografi kerana mata pelajaran berkenaan sangat hidup dan relevan dengan persekitaran desa yang menghijau. Setiap hari mereka melihat semak samun, sungai dan unggas yang bebas hinggap di mana-mana.

Belajar Geografi menjadikan mereka lebih dekat dengan diri sendiri justeru geografi fizikal menjelaskan tentang bentuk muka bumi yang mirip dengan sistem anatomi dan fisiologi manusia. Diri insan umpama sebuah mikrokosmos atau sebagai salinan bumi. Namun, guru perlu berhati-hati mengungkapkan rupa bentuk muka bumi supaya imaginasi remaja tidak menyeleweng ke arah yang tidak diingini.

PB terhutang budi kepada guru geografi berpengalaman seperti Tuan Haji Abdullah yang banyak berkongsi kepakaran kandungan dan pedagogi beliau. Di tangan guru yang kreatif dan sabar, mata pelajaran Geografi bukan suatu beban yang melemaskan, tetapi suatu lakaran kehidupan yang nyata. Murid diberi kesempatan yang cukup untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses pembelajaran menerusi teknik kontekstual yang dekat dengan persekitaran mereka sendiri.

Semasa majlis berbuka puasa di sebuah hotel pada bulan Ramadan yang lalu, PB berjumpa semula dengan seorang bekas murid 5 Sains 3 itu. Dia kini pengurus kanan sebuah bank ternama, tetapi masih ingat kenangan belajar Geografi bersama PB. Mata pelajaran Geografi tetap meninggalkan natijah dan pengaruh yang tersendiri dalam mencorakkan cara berfikir dan membuat keputusan sampai bila-bila, 'katanya' ...

6 comments:

  1. cikgu , bagaimana cikgu menyambung pendidikan geografi ? adakah cikgu dari pelajar lepasan stpm atau diploma ? saya ingin menjadi guru geografi tapi tak tahu cara yang betul untuk menyambung pengajian tersebut

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pun ingin menjadi cikgu geografi tapi saya tak tahu nak ambil diploma atau stpm?

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Macam nak jdi ckg geografi...kos apa yg perlu sy ambik selain di upsi

    ReplyDelete
  4. Assalam cikgu, saya student diploma in hygiene and safety, tpi saya nak jadi cikgu geografi. boleh ke saya nak smbung untuk ambil kos pendidikan time degree nnti ??

    ReplyDelete
  5. Hi cikgu saya pun ingin menjadi guru geografi tetapi abang saya suruh saya ambik dalam bidang saintis

    ReplyDelete