Dalam pembelajaran ekonomi, keluk ialah alat untuk menjelaskan sesuatu konsep, prinsip, teori dan hukum ekonomi menerusi hubungan antara sekurang-kurangnya dua pemboleh ubah. Alat lain untuk tujuan yang sama ialah model, persamaan, rumus dan pelbagai carta. Namun, pada akhirnya, pelajar ekonomi mesti menguasai penjelasan ekonomi tanpa merujuk keluk, model, persamaan, rumus dan pelbagai carta.
Proses melukis keluk sama seperti kerja membuat pelan atau kerja memasak. Ada bahan yang perlu disenaraikan terlebih dahulu, lalu diikuti dengan langkah-langkah melaksanakan kerja hingga selesai. Dalam bahasa pembelajaran, pelajar ekonomi mesti memiliki kemahiran generik tertentu (klik di sini).
Berdasarkan pengalaman peribadi penulis blog (PB), pelajar ekonomi yang cemerlang mampu melukis keluk dengan tepat justeru mereka memang mantap dari segi teori terlebih dahulu. Mereka dapat melabel paksi, keluk dan titik keseimbangan dengan tepat. Semua keperluan teori berjaya dipenuhi dengan hubungan geometrik antara keluk yang jitu.
Sebagai contoh, pelajar dikehendaki menerangkan proses penyesuaian firma persaingan sempurna dalam kes untung kurang normal. Secara teori, apabila berlaku kerugian, sebahagian firma dalam pasaran PS akan keluar dari pasaran, manakala firma yang masih berada dalam pasaran akan mengurangkan pengeluaran. Maka, penawaran pasaran (industri) secara keseluruhan akan berkurang, dan keluk penawaran akan beralih ke kiri, dengan andaian permintaan adalah tetap.
penyesuaian firma persaingan sempurna untung kurang normal / rugi
(lembaran latihan grafikal pelajar LA1, SMK St. Michael, Ipoh)
Keadaan rugi ditunjukkan apabila pada keluaran seimbang (berasaskan lokus MR = MC), AC > AR. Bagi menjelaskan penyesuaian, keluk SAC asal (SACo) perlu diletak disebelah kanan LAC, iaitu pada bahagian LAC sedang naik. Pastikan bahawa titik sentuh SACo dengan LAC berlaku selepas titik minimum SACo dan kemudian terus berpisah dengan LAC ke kiri sedikit, iaitu masih berbentuk separuh U.
Langkah pertama ialah menyediakan paksi dan label, kemudian terus tunjukkan kedudukan untung normal firma PS, iaitu pada titik minimum LAC = minimum SAC1 = AR = MR = SMC1 = LMC = DD = P, iaitu keluaran optimum pada loji optimum, atau kapasiti penuh / tiada pembaziran. Sambung AR secara mendatar ke keluk industri di sebelah kiri. jangan lupa label E1, P1, Q1 kerana untung normal ini berlaku dalam jangka panjang.
Masalah yang dihadapi ialah untuk melukis keluk SMCo kerana keluk ARo perlu diletak di bawah AR1. Maka, jarak antara titik keseimbangan MR = SMCo dengan titik sentuh Qo dengan SACo begitu jauh, sambil perlu dijaga supaya jangan sampai SMCo kelihatan terlalu tegak, atau garis Qo gagal menyentuh SACo.
Cara terbaik ialah menanda lokus titik sentuh pada SACo, kemudian tarik hingga ke paksi keluaran sebagai Qo. Titik silang Qo dengan ARo akan digunakan sebagai titik keseimbangan Eo. SMCo dapat dibentuk dengan mudah iaitu menyambungkan titik keseimbangan Eo dengan titik minimum SACo.
Kawasan kerugian boleh ditunjukkan menerusi TR -TC atau perbezaan antara AR dengan AC pada garis Qo. Contohnya rugi / untung kurang normal itu dinyatakan sebagai PoEoAP2. Akhir sekali lukis LMC yang memotong minimum LAC, tetapi harus kelihatan lebih landai daripada SMC.
Bagi tujuan latihan, pelajar ekonomi digalakkan menggunakan pen atau pensil yang berlainan warna bagi mengelakkan kekeliruan akibat terlalu banyak keluk. Biasanya proses melukis keluk mesti dibuat berulang-ulang sehingga betul-betul jitu dan tepat, serta selaras dengan penjelasan teori. Maka, kesabaran dan strategi perlu dipelajari atau direka bentuk terlebih dahulu ...
No comments:
Post a Comment