Apabila Barrack Obama, presiden bukan kulit putih (tulen) pertama Amerika Syarikat membuat perisytiharan tutup kerajaan, kegiatan ekonomi antarabangsa turut menekan butang kecemasan. Beliau berhadapan dengan tentangan Republikan yang mengundi untuk menolak dasar belanjawan Obama berkaitan reformasi penjagaan kesihatan beliau. Demokrat pimpinan Obama menguasai Rumah Putih, tetapi Republikan menguasai Kongres.
Setelah 16 hari Obama bertegas enggan mengalah, akhirnya Republikan akur untuk menamatkan penutupan kerajaan justeru bimbang dengan prospek sokongan politik pada masa hadapan (klik di sini dan di sini). Sebelum ini, kerajaan Amerika Syarikat juga pernah ditutup pada tahun 1995. Penutupan kerajaan bermakna bahawa tiada perbelanjaan awam dibenarkan, termasuk untuk membayar gaji kakitangan kerajaan.
Krisis fiskal Amerika Syarikat sentiasa mempengaruhi kegiatan ekonomi antarabangsa memandangkan negara Uncle Sam itu memiliki kuasa tawar-menawar yang amat kuat terhadap entiti ekonomi dunia seperti kelab negara kaya G8, Bank Dunia, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Terkini, Amerika Syarikat juga giat melobi supaya perjanjian perdagangan Trans Pasifik (PTTA) dilaksanakan dengan segera. Sebahagian negara dunia ketiga juga sangat bergantung kepada bantuan kewangan Amerika Syarikat.
Bagi Malaysia, pengalaman ekploitasi stok penimbal bijih timah dan getah asli oleh Amerika Syarikat pasti sangat berguna. Dengan kuasa beli yang luar biasa, Amerika Syarikat membeli stok bijih timah dan getah Malaysia secara besar-besaran untuk disimpan. Stok besar itu boleh dijadikan senjata untuk mengawal harga kedua-dua komoditi utama itu dengan 'ugutan halus' melepaskan stok penimbal dengan harga di bawah kos sehingga industri berkenaan berada dalam keadaan tidak menentu.
Amerika Syarikat juga berjaya menjual teknologi getah sintetik dan plastik yang mengakibatkan bijih timah dan getah sudah kurang relevan dalam teknologi keluaran mutakhir. Sehingga kini, penyelidikan tempatan berkenaan kegunaan termaju bijih timah dan getah belum berjaya meyakinkan pasaran antarabangsa berbanding dengan kelicikan pemasaran getah sintetik dan plastik Amerika Syarikat. Industri bijih timah Malaysia sudah lama tidur, manakala industri getah masih nyawa-nyawa ikan.
Industri minyak kelapa sawit negara juga berhadapan dengan persaingan bersifat sabotaj oleh industri kacang soya Amerika Syarikat berkaitan isu lemak tepu dan kolestrol jahat. Piawaian mutu makanan dan dadah (FDA) kuasa besar ekonomi dunia itu juga mengakibatkan keluaran pertanian negara dunia ketiga disekat daripada memasuki pasaran Amerika Syarikat. Namun, keluaran pertanian Amerika Syarikat seperti gandum, epal dan anggur bebas menembusi pasaran antarabangsa.
Amerika Syarikat telah membina rangkaian kepentingan ekonomi mereka di serata dunia menerusi dasar pelaburan asing yang agresif. Syarikat gergasi multinasional Amerika Syarikat mencatat perolehan pendapatan yang jauh melebihi pendapatan banyak negara. Pendek kata, jika ekonomi Amerika Syarikat bermasalah, seluruh dunia akan ikut terjejas.
Walaupun Barrack Hussien Obama ahli politik berpengaruh dunia yang memiliki latar belakang pengajian undang-undang Harvard, namun sudah tentu beliau mempunyai had dari segi input perancangan, pentadbiran, pengurusan dan kepimpinan ekonomi. Obama harus bergantung kepada penasihat ekonomi beliau supaya natijah setiap dasar ekonomi yang hendak dilaksanakan baik-baik belaka. Hakikatnya kebanyakan masalah pemerintahan negara berkisar terhadap kebajikan rakyat dari segi kegiatan ekonomi dan kewangan ...
No comments:
Post a Comment