Thursday, October 31, 2013

PENDIDIKAN KHAS MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN (DESIGNING INSTRUCTION FOR THE KIDS WITH NEUROLOGICALLY DIFFICULTY)

Petang semalam, ketika berurusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Ipoh, penulis blog (PB) sempat berbual ringkas dengan seorang remaja berusia 17 tahun yang datang dari Kampar. Dia sedang menunggu kad pengenalan baharunya siap setelah tercicir ketika membonceng sebuah motosikal. Dia mengaku baharu selesai menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) walaupun rakan sebaya yang lain bakal menduduki SPM.

Secara pandangan mata kasar remaja itu tiada sebarang kekurangan fizikal, tetapi dia sendiri memohon program pendidikan khas bagi murid bermasalah pembelajaran. Walaupun petah berkata-kata dan bercerita, dia agak lambat menangkap isi pelajaran dalam kelas yang biasa. Dia berharap untuk terus ke kolej vokasional dalam bidang masakan sebaik memperoleh kelayakan PMR kelak.

Perbualan itu mengingatkan PB ketika hendak menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Tanjung Bungah, Pulau Pinang beberapa tahun yang lalu. PB meninjau kawasan masjid terapung itu dan menuju ke satu kawasan wakaf (tempat rehat berbumbung). Tidak semena-mena sekumpulan remaja bertempiaran lari demi melihat susuk PB (yang berwajah garang dan serius?). 

Sebenarnya mereka ialah murid pendidikan khas bermasalah fizikal (cacat) dan hanya bimbang dimarahi guru yang membawa mereka. Bas yang membawa mereka diletakkan berdekatan dengan pagar masjid. Guru warden juga berada bersama mereka di situ.

Program pendidikan khas telah berkembang pesat di negara kita dan dikendalikan oleh sekumpulan guru yang mengkhusus dalam bidang berkenaan hingga peringkat sarjana dan doktor falsafah. Sebahagian hadiah latihan persekutuan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa ditawarkan untuk calon sarjana dan doktor falsafah pendidikan khas. Guru pendidikan khas menikmati elaun kritikal atas kesabaran dan sumbangan mereka membimbing murid yang berkeperluan itu untuk membawa diri dan berdikari dalam kehidupan.

Pendidikan khas diberikan secara percuma, bahkan setiap murid diberi bantuan kewangan (klik di sini). Pengesanan murid dengan keperluan khas tanpa sebarang kecacatan fizikal memerlukan kerjasama pihak ibu bapa dan guru. Kanak-kanak bermasalah pembelajaran di sekolah harian biasa mungkin pada zahirnya kelihatan biasa sahaja.

Reka bentuk pembelajaran murid pendidikan khas sudah tentu berlainan dengan murid biasa. Ketiga-tiga domain kognitif, afektif dan psikomotor masih menjadi asas perancangan aktviti bilik darjah, tetapi dengan pilihan pedagogi dan pentaksiran yang tersendiri. Wajaran setiap komponen tersebut mengambil kira keperluan pembelajaran murid pendidikan khas dan pencapaian mereka.

Program pemulihan yang dilaksanakan di sekolah harian biasa, serta dikendalikan oleh guru yang tidak mengkhusus dalam pendidikan khas mungkin lebih menjurus kepada murid yang mengalami kecelaruan sikap, kurang berdisiplin dan berpencapaian minimum, tetapi masih boleh diselamatkan. Maka, muncul program campur tangan (intervensi) seperti galus (gagal ke arah lulus) dan halus (harapan lulus). Sebaliknya, program pendidikan khas untuk murid bermasalah pembelajaran dikaitkan dengan tahap kesihatan mental (neuron) yang tertentu.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan Khas (klik di sini) turut melaksanakan program pengesanan dan saringan murid (outreach) yang sepatutnya mengikuti program pendidikan khas, tetapi tidak mempunyai akses untuk berbuat demikian. Instrumen yang merangkumi inventori pengesanan murid pendidikan khas juga perlu berada di sekolah harian biasa, khususnya di tangan unit bimbingan dan kaunseling. Potensi dan fakulti murid berkeperluan khas dan bermasalah pembelajaran juga perlu digembleng ke tahap optimum.

Khusus terhadap murid bermasalah pembelajaran, iaitu yang lambat dan perlahan dalam menguasai isi pelajaran, reka bentuk pembelajaran yang bersifat eksklusif boleh jadi lebih munasabah. Kewujudan sekolah model khas dan kelas pendidikan khas di sekolah harian biasa memberi gambaran betapa perhatian terhadap pendidikan khas begitu serius. Sebagai sebuah negara yang kian menghampiri status negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri, pembelaan terhadap golongan istimewa, kelainan upaya dan kurang beruntung merupakan salah satu penanda aras penting kebajikan rakyat di bawah prinsip masyarakat madani ...

No comments:

Post a Comment