Sunday, November 3, 2013

AZAM TAHUN BAHARU HIJRAH 1435 (THE PERMANENT ADDRESS OF TOMORROW)

Tahun berganti tahun, kini tanggal 1 Muharram 1435 Hijriyyah usai waktu Maghrib nanti, menandakan kita mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 1434 Hijriyyah. Marilah kita mengangkat tangan untuk memanjatkan doa mudah-mudahan dengan kesempatan usia yang masih ada, kita memanjatkan doa akan dilimpahi kesejahteraan dalam kehidupan dunia dan akhirat, bertaubat, serta dijauhi daripada tipu daya syaitan dan bala tenteranya. Marilah kita menjadikan doa akhir tahun 1434 dan awal tahun 1435 sebagai pedoman bagi merangka azam tahun baharu yang Islamik sifatnya.

Doa akhir tahun dibaca selepas solat Asar hingga sebelum solat Maghrib, manakala doa awal tahun dibaca usai solat Maghrib. Inti pati kedua-dua doa berkenaan perlu dihayati supaya tidak hanya tinggal sebagai upacara atau rutin tahunan semata-mata. Marilah kita berdoa dengan tulus ikhlas dari lubuk hati yang paling dalam.

Doa akhir tahun dimulai dengan ucapan selawat dan seterusnya permohonan taubat terhadap dosa-dosa yang lalu yang tidak tertanggung jika tiada keampunan Ilahi. Marilah kita berharap agar Allah menerima taubat kita kerana tiada daya dan upaya melainkan dengan Kehendak-Nya jua. Kita hanya makhluk kecil seumpama sebutir debu di padang pasir yang tidak mempunyai sempadan.

Mari kita muhasabah diri, melakukan introspektif diri dan penilaian kendiri atas segala kecuaian, kesilapan dan dosa yang lalu. Marilah kita berazam untuk tidak mengulangi perbuatan yang menjurus kepada keburukan, permusuhan dan dosa. Sebaliknya, marilah kita menuju ke arah kebaikan, kebaktian dan amalan soleh.

Doa awal tahun juga dimulai dengan selawat, lalu diikuti dengan permohonan agar dijauhi daripada gangguan syaitan laknatullah yang cuba menjerumuskan kita ke kancah kebinasaan, kehinaan dan kesesatan na'udhubillahu min dhalik. Sebaliknya, menerusi perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam, usaha mendekatkan diri dengan-Nya (taqarrub ilallah) menjadi mudah. Maka, insya-Allah, kita yakin bahwa Allah akan memakbulkan doa tahun baharu hijrah yang dipanjatkan itu.

Kalendar hijrah dihitung bersempena peristiwa hijrah akbar dari Makkah ke kota Madinah demi menjamin kelangsungan perkembangan Islam yang mendapat tentangan hebat kaum Quraisy Makkah. Anjakan status quo dan perubahan persekitaran yang harus dilalui ialah madrasah tarbiyyah yang paling unggul. Niat yang tulus ikhlas menjadi titik tolak dalam menjayakan peristiwa besar berkenaan, sebagaimana yang terungkap dalam hadith mutawattir, innamal a'malu bi'n-niah ...

Cabaran hijrah yang paling utama ialah melaksanakan Islam yang syumul dalam segenap sudut kehidupan, iaitu aqidah, syariat dan akhlaq. Kitab al-Quran menjadi perlembagaan yang mutlak dan tertinggi, lalu membatalkan segala perlembagaan ciptaan manusia yang didapati bercanggah dan memuja taghut. Sunnah Nabi Salallahu alaihi wasallam menerusi al-hadith dan sirah menjadi gambaran pelaksanaan setiap perintah dan larangan dalam al-Quran.

Marilah kita menuju redha Ilahi sebagai hala tuju yang kekal abadi. Janganlah kehidupan duniawi, harta benda dan anak pinak menghalang kita daripada mengingati Allah. Kaum lelaki hendaklah berusaha menunaikan solat berjemaah yang lebih bermakna daripada seisi dunia, manakala kaum wanita sentiasa menjaga kehormatan dan amanah ...

No comments:

Post a Comment