Friday, November 29, 2013

PENEMPATAN SISWAZAH PENDIDIKAN DAN URUSAN PERTUKARAN GURU (LATEST NEWS ABOUT TEACHING SERVICES)

Sidang Dewan Rakyat pada hari Selasa, 26 November yang lalu diberitahu bahawa Kementerian Pendidikan tidak menjanjikan penempatan kepada siswazah sarjana muda perguruan, termasuk lulusan institut pengajian tinggi awam seperti Upsi, UKM, UM, UPM, USM, UTM, UTHM, UUM, UiTM dan lain-lain. Lulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) yang dikhususkan untuk pengajian sekolah juga tidak lagi ditempatkan secara automatik. Mereka perlu membuat permohonan secara atas talian menerusi portal www.jobsmalaysia.com (sila klik pada nama portal) bagi tujuan panggilan temu duga oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP, klik di sini untuk maklumat lanjut). 

Amalan penempatan guru secara sandaran terlatih sebelum pelantikan tetap sebelum tahun 2012 telah dimansuhkan. Di bawah amalan itu, siswazah ditempatkan di sekolah terlebih dahulu sebelum dicalonkan untuk menghadiri temu duga pihak SPP. Perbezaan tarikh penempatan sandaran terlatih boleh jadi antara sebulan hingga setahun, bergantung kepada tarikh lulus temu duga, serta perakuan norma dan vot perjawatan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). 

Konsep penempatan guru secara sandaran terlatih diganti dengan penempatan secara interim sebelum layak dipertimbangkan untuk lantikan tetap. Pada amnya hanya siswazah perguruan yang mencatat purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.5 dan ke atas sahaja diberi pertimbangan untuk lantikan secara automatik. Namun, terma dan syarat penempatan guru berkenaan dijangka berbeza dari tahun ke tahun berdasarkan keperluan. 

Kriteria penempatan guru baharu ialah kekosongan perjawatan di sekolah dan keperluan opsyen mata pelajaran. Menerusi pangkalan data secara berpusat, maklumat tentang permintaan dan penawaran guru baharu lebih cepat dapat diproses. Pada bulan Januari tahun lalu, kira-kira 5,000 orang siswazah pendidikan IPTA diambil bagi mengisi kekosongan jawatan di sekolah menengah.

Isu pengangguran siswazah pendidikan berlaku justeru peningkatan tempat pengajian diploma pendidikan pascasiswazah dan pengajian prasiswazah di IPTA, lebih-lebih lagi setelah Upsi ditubuhkan. Sebelum itu, lulusan Diploma Pendidikan UKM, UM, UPM, USM, UIAM dan UTM tidak menghadapi masalah penempatan walaupun mereka bukan pemegang biasiswa Kementerian Pendidikan. Selain Upsi, beberapa universiti komprehensif yang lain seperti UUM turut menawarkan program pengajian pendidikan.

Pemohon jawatan guru perlu membuat persiapan rapi apabila menerima surat panggilan temu duga (menerusi portal KPM atau SPP), serta mentelaah pelaksanaan dasar dan pendekatan pendidikan terkini seperti PPPM, NKRA, NBOS, MMI, PBS dan banyak lagi. Calon yang dipanggil juga harus membaca tentang fungsi dan struktur pentadbiran SPP, termasuk pengerusi barunya, Dr. Haili Dolhan dari Sarawak. Beliau mantan rektor IPGM.

Tujuan paling utama temu duga ialah untuk melihat calon secara fizikal (in person) bagi melihat kesesuaian tampang mereka sebagai bakal guru, di samping tahap kenyaringan suara, etika dan tingkah laku yang menepati piawaian (standard) guru Malaysia. Hal berkenaan selaras dengan dasar pengambilan kakitangan awam yang baharu dalam kalangan bakat terbaik. Calon guru perlu datang dengan pakej pencapaian akademik, ikhtisas, kemahiran insaniah, kepimpinan dan sahsiah yang mulia. 

Sementara itu, dalam isu pertukaran guru, pihak kementerian mendapati jumlah permohonan melebihi kekosongan yang terdapat di beberapa buah negeri, terutama Kelantan, Kedah dan Terengganu. Keutamaan diberi kepada guru yang mengikut pasangan masing-masing untuk bertugas di sesuatu kawasan. Buat masa ini, tidak semua permintaan untuk bertugas di negeri masing-masing dapat dipenuhi walaupun pemohon mempunyai alasan yang kukuh untuk berdekatan dengan anggota keluarga, khususnya ibu bapa yang lanjut usia.

Sebagai contoh, Kelantan memiliki norma perjawatan guru sebanyak 28,054 orang, tetapi jumlah guru yang berasal dari negeri itu di seluruh negara ialah sebanyak 57,740 orang. Hal itu bermakna hampir 30,000 orang guru dari Kelantan harus berkhidmat di perantauan dan kena terus berdoa agar beroleh kesempatan pulang bertugas di kampung halaman sebelum bersara. Antara opsyen mata pelajaran yang paling banyak permintaan bertukar ialah Pendidikan Islam, iaitu ustaz dan ustazah.

Terengganu mencatat 1,267 permohonan, tetapi hanya terdapat 169 kekosongan. Kedah pula mempunyai 274 kekosongan berbanding dengan jumlah permohonan sebanyak 1,523. Terdapat pemohon yang menolak untuk ditempatkan di negeri berdekatan, sebaliknya mahu menunggu sehingga dapat balik mengajar di negeri asal masing-masing.

Dalam jangka panjang, pihak kementerian membuat unjuran supaya pengambilan guru dilaksanakan menurut keperluan sesebuah negeri supaya calon guru dapat terus ditempatkan di negeri asal masing-masing. Pihak kementerian juga prihatin tentang guru yang terpaksa berjauhan dengan pasangan hidup masing-masing. Kebajikan dan kesejahteraan para guru sentiasa diberi perhatian demi kepentingan pembelajaran di sekolah.

Sumber maklumat:
1   Kosmo, 27/11/13. ms 5: Kementerian Pendidikan tak janji penempatan graduan.
2   Berita Harian, 28/11/13. ms 16: Permohonan pertukaran guru melebihi kekosongan ditawar.
3   Ibid: Halili Dolhan dilantik Pengerusi SPP.

No comments:

Post a Comment