Bukan hendak mengata semua restoran Melayu, tetapi pengalaman banyak kali terkena menyebabkan catatan ini dikongsi. Walaupun Pak Tam (restoran mi rebus Plus) menyebut 'kalau sedap bagitau kawan, kalau tak sedap bagitau Pak Tam', dalam hal kebajikan dan hak pengguna, cogan kata itu perlu dikecualikan. Pengguna bukan makan percuma, sebaliknya mereka mengeluarkan wang ringgit yang dicari dengan susah payah bagi memperoleh barang dan perkhidmatan yang bermutu dan berbaloi.
Mentang-mentang pengguna di rantau Asia Tenggara tidak begitu agresif berbanding dengan pengguna di negara maju, pengusaha restoran tempatan beranggapan bahawa pelanggan mereka hanya perlu menerima sahaja hidangan yang disediakan. Mentaliti dunia ketiga memang serasi dengan hujah bahawa tiada sesiapa yang memaksa pelanggan ke restoran mereka, lalu kalau tidak suka tidak payah datang. Pelanggan yang banyak 'songeh' tidak dialu-alukan.
Pengunjung restoran bukan pelanggan terdesak yang sanggup menelan mi kosong (tanpa rencah dan sayur, juga dipanggil 'mi bodoh' oleh orang KL) di warung tepi longkang. Mereka datang dengan kuasa beli dan cita rasa yang mesti dihormati. Jika mereka berpuas hati, bukan sahaja mereka akan datang lagi, bahkan menyebarkan promosi dan publisiti percuma kepada restoran.
Apabila pelanggan masuk sahaja, mereka berharap dapat disambut atau sekurang-kurangnya disapa oleh petugas restoran (usher seperti di majlis keramaian) dan tidak dibiarkan tercegat macam patung cendana. Pelayan restoran juga dengan segera membawa buku menu hidangan yang ditawarkan oleh restoran dan serta-merta mengambil pesanan. Berikan anggaran masa menunggu supaya pelanggan mempunyai persediaan minda dan tidak berasa gelisah bagai mengharap sesuatu yang tidak kunjung tiba.
Tempoh menunggu sehingga satu jam memang keterlaluan. Jika terpaksa, bagi menenangkan pelanggan yang menunggu lama, pihak restoran boleh menyediakan kudapan percuma supaya pelanggan tidak angkat kaki atau berasa kecewa. Penyelia kepada petugas retoran mesti memainkan peranan untuk memastikan tidak berlaku kesilapan dalam menghantar hidangan seperti terlupa pesanan, tersalah meja atau mendahulukan pelanggan yang datang kemudian.
Semua petugas menghantar hidangan mesti menjalani latihan bahasa mesra, misalnya memohon maaf sambil mengucapkan terima kasih atas kesudian pelanggan menunggu. Petugas juga mesti memberi tumpuan kepada ke seluruh ruang restoran kalau-kalau pelanggan memerlukan bantuan. Tidak wajar sama sekali petugas restoran bergurau senda sesama sendiri, melayan gajet mudah alih atau merokok.
Di samping juruwang ialah penyelia perkhidmatan pelanggan yang sentiasa bermanis muka, mengucapkan terima kasih dan bertanyakan jika pelanggan hendak memberi maklum balas. Pelanggan akan berpuas hati dengan harga makanan jika penjelasan penyelia masuk akal. Pihak restoran mesti peka dan bertolak ansur dengan kerenah pelanggan yang pelbagai, kecuali yang cuba mengelat.
Kebersihan premis, lantai, sinki dan penampilan petugas restoran juga mesti diambil berat oleh pengurusan restoran. Lantai, sinki dan kamar kecil mesti dibersihkan sepanjang masa supaya pelanggan tidak hilang selera makan. Banyak sekali restoran milik orang Melayu Islam mengabaikan perkara asas sedemikian.
Nampaknya pihak berkuasa tempatan dan pihak jabatan kesihatan tidak cukup kakitangan untuk memantau pematuhan terhadap piawaian restoran kelas pertama. Satu pasukan khas di bawah Kementerian Hal Ehwal Pengguna hendaklah diwujudkan bagi mengawal selia semua restoran di seluruh negara. Restoran yang gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan boleh dikenakan teguran bertulis, amaran, kompaun dan kemungkinan didakwa oleh tribunal hal ehwal pengguna.
Dalam jangka panjang, semua pengusaha restoran mesti diwajibkan menjalani kursus khas di kolej komuniti sebelum lesen perniagaan mereka boleh disambung dan diperbaharui setiap tahun. Alangkah eloknya jika restoran diurus oleh usahawan siswazah pelbagai bidang, iaitu pengurusan perniagaan, penyajian makanan, hospitaliti, teknologi makanan dan komunikasi, di samping panel pakar pemakanan dan undang-undang. Sebagai bakal negara maju, Malaysia memerlukan restoran yang berteraskan sajian makanan berkhasiat dan seimbang, serta mutu penyampaian perkhidmatan yang terbaik ...
No comments:
Post a Comment