Monday, December 23, 2013

SESAT SEBENTAR DI KUALA KANGSAR (SEEING, BUT IS NOT BELIEVING)

Bandar Di-Raja Kuala Kangsar mungkin bandar keempat di negeri Perak selepas Ipoh, Taiping dan Teluk Intan, dan mungkin juga disaingi rapat oleh bandar Sitiwan dan Seri Iskandar. Maka, rangkaian jalan raya Kuala Kangsar tidaklah begitu mengelirukan bagi pengunjung luar. Namun, kewujudan lebih banyak jalan sehala sedikit sebanyak mengubah perspektif itu.

Penulis blog (PB) memang sudah biasa ke Kuala Kangsar atas pelbagai urusan, sama ada rasmi atau peribadi. Di Kuala Kangsar terdapat banyak sekolah, sama ada milik kerajaan persekuutuan atau milik kerajaan negeri, seperti Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan. Demikian juga Kuala Kangsar dikenali dengan Kem Bina Semangat Ulu Kenas dan penginapan pelancongan tebing sungai.

Seperti kebanyakan bandar yang berkembang pesat, Kuala Kangsar juga tidak terkecuali daripada proses naik taraf jalan bandaran, hiasan landskap dan pengurusan kebersihan. Lebih banyak pemisah jalan (divider) dibina bagi melancarkan pergerakan lalu lintas. Dengan itu, kenderaan tidak boleh membelok sesuka hati.
Ads by Webexp Enhanced

Seseorang pemandu kenderaan mungkin sudah nampak dengan jelas kedudukan tempat yang dituju, tetapi tidak menjumpai jalan masuk, melainkan kalau sanggup menapak (berjalan kaki) sahaja. Jadi, kenderaan harus diarahkan ke hadapan dahulu sementara akses jalan masuk ke tempat tujuan ditemui. Pada masa begitu, khidmat sistem perayauan kedudukan sejagat (GPS) boleh membantu.

Namun, kadang-kadang pemandu tidak menghiraukan saranan GPS kerana menganggap boleh tiba ke tempat tujuan tanpa bantuan alat berkenaan. Demikian yang berlaku kepada PB apabila sengaja mahu menguji ketepatan GPS apabila masuk ke simpang kedua bulatan walaupun saranan GPS ialah simpang keempat. Akibatnya, PB terkeluar dari jalan utama menuju ke Ipoh walaupun jalan berkenaan masih boleh dilihat dengan jelas di seberang  sana.

PB masuk ke laluan beberapa buah taman perumahan yang memiliki jalan yang agak sempit, malah banyak pula jalan mati macam cerita 'Madu Tiga' Tan Sri (Dr) P. Ramlee. GPS sebagai alat elektronik memang tidak pernah berputus asa memberi panduan jalan selagi tidak dimatikan.  PB harus akur dengan bantuan GPS walaupun jalan utama masih dalam jarak penglihatan yang jelas.

Jika bermula dari pekan memang jalannya lurus dan papan tanda pun sangat membantu seseorang pemandu kenderaan. Apabila PB bermula dari perkarangan rumah rehat, demikianlah cerita yang terjadi. Barangkali banyak lagi perubahan jalan yang akan berlaku di Kuala Kangsar pada masa hadapan.

Perubahan harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan memandangkan kepadatan penduduk semakin bertambah dan kunjungan pelancong ke kawasan tarikan pelancongan Kuala Kangsar, termasuk Istana Iskandariah, Masjid Ubudiah, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Sekolah Clifford. Selain itu, Kuala Kangsar terkenal dengan hidangan laksa beras yang dijual oleh penjaja Melayu dengan resepi turun-temurun yang menjadi rahsia eksklusif mereka. Terima kasih Kuala Kangsar untuk segala pengalaman yang berharga ...

No comments:

Post a Comment