Pusat Dagangan Seri Iskandar (SIBC) kini memperoleh sinergi baharu sebagai daya tarikan perniagaan daerah Perak Tengah. Selain berhampiran dengan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, SIBC juga berdekatan dengan Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan hanya kira-kira 40 kilometer dari bandaraya Ipoh. Walaupun kemajuan bandar Seri Iskandar agak perlahan, kewujudan SIBC dijangka mencetuskan momentum dan sebagai pemangkin pusat pertumbuhan ekonomi di negeri Perak.
Apabila disebut tentang fabrik dan hiasan rumah, orang akan teringat tentang Nilai 3 yang terletak di Negeri Sembilan, tetapi berdekatan dengan laluan ke Lapangan Terbang Antarabangasa Kuala Lumpur (KLIA). Kaum wanita sanggup menghabiskan masa sehari suntuk bagi membuat pilihan kelengkapan rumah. Suami lebih banyak berperanan sebagai pemandu kenderaan, tukang angkut barang dan tukang bayar!
Kini di Nilai 3 terdapat banyak kemudahan penginapan seperti hotel, rumah tumpangan kedai dan inap desa. Anak-anak yang sanggup menemani ibu bapa ke Nilai 3 bolehlah berehat apabila mula berasa penat justeru tidak mempunyai tujuan yang khusus. Urusan makan minum memang tiada masalah.
Kaum wanita di negeri Perak memang sudah biasa berbelanja membeli kain pasang, langsir, permaidani dan hiasan rumah yang lain ke Nilai 3, Rantau Panjang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur, Tangkak dan tidak ketinggalan Sungai Besar. Di negeri Perak sendiri, kaum wanita sudah biasa berbelanja di Greentown Nova dan pasar Kemboja di Parit Buntar. Maka, kemunculan SIBC sebagai klon Nilai 3 menambah satu lagi destinasi beli belah fabrik secara hentian berpusat.
Sama ada SIBC akan menjadi sebutan ramai sebagaimana Nilai 3 hanya akan dapat diukur setelah semua lot kedai di situ mempunyai penyewa. setakat ini, hanya 20 peratus premis perniagaan yang mula beroperasi. Proses ubah suai reka bentuk kebanyakan kedai sudah memasuki fasa akhir.
Sebagaimana perniagaan makan minum yang sentiasa terdapat permintaan, demikian juga dengan jualan fabrik dan hiasan rumah. Walaupun persekitaran perniagaan dan kuasa beli pengguna mengalami keadaan turun naik, jualan fabrik dijangka mampu bertahan. Promosi yang agresif juga mampu menyerap tekanan paradoks penjimatan akibat kemerosotan pendapatan benar pengguna.
Kumpulan Nafisa miliki enam buah kedai
Industri fabrik negara tidak bergantung semata-mata kepada pengguna tempatan, sebaliknya dengan kadar tukaran wang yang menarik, pelancong asing menjadi sasaran jualan berskala besar. Kecurigaan Barat terhadap warga timur tengah, krisis politik di Thailand dan kes letupan bom di beberapa lokasi negara jiran mengakibatkan pelancong beralih ke Malaysia. Tahun Melawat Malaysia 2014 mensasarkan ketibaan pelancong asing berjumlah 30 juta orang.
Kunjungan ke SIBC boleh dimasukkan dalam acara kunjungan pelancong asing ke negeri Perak Darul Ridzuan. Projek bandar air Seri Iskandar yang mirip bandar Venice mungkin boleh dihidupkan semula. Konsep pelancongan tani di kawasan berdekatan seperti Bota dan Parit boleh menjadi nilai tambah yang berbaloi.
Kemudahan mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank boleh dipusatkan di bawah satu bumbung yang bersebelahan dengan pondok bit polis bagi menjamin keselamatan pengguna. Semua kedai juga perlu menawarkan kemudahan pembayaran menerusi kad debit dan kad kredit. Papan tanda arah premis perniagaan juga mestilah jelas dan menarik.
Sesungguhnya pembukaan SIBC sebagai klon Nilai 3 buat permulaan bukan sahaja melengkapkan pakej kunjungan pelancong ke Seri Iskandar, tetapi memberi peluang pekerjaan dan perniagaan samping kepada penduduk tempatan. Industri pengangkutan, penginapan dan sajian makanan akan beroleh manfaat berganda. Suatu hari kelak, SIBC akan bermegah dengan jenama sendiri dan keluar daripada bayang klon Nilai 3 ...
Jalan2 sini
ReplyDelete