Friday, February 21, 2014

MASALAH ANJING DAN KUCING BERKELIARAN (CARE FOR THE ANIMALS)

Kira-kira setengah jam sebelum azan Jumaat berkumandang dari menara masjid jamek pekan Parit, penulis blog (PB) sempat meninjau medan selera yang terletak berhampiran. Kalau ada makanan yang ringan (bukan makanan ringan, junk food) boleh juga dibuat alas perut sebagai ganti makan tengah hari. Namun, hasrat itu terpaksa dibatalkan, sebaliknya PB menuju ke sebuah gerai yang memaparkan label cendol istimewa.

PB juga singgah di sebuah gerai menjual kuih-muih untuk membeli karipap dan cucur yang masih panas. PB tidak jadi singgah di medan selera justeru kelihatan terlalu banyak kucing yang tidak terurus berkeliaran di sana dengan bebas. Bulu kucing sudah pasti terbang di mana-mana, selain terhidu bau yang tidak menyenangkan.

Keadaan yang hampir sama pernah PB lihat di Kuala Kangsar, Kuala Berang, Kampung Gajah, Parit Buntar, pinggir Ipoh dan banyak pekan lagi. Kucing-kucing yang berkeliaran itu bukanlah milik peniaga makanan di medan selera, sebaliknya dibuang oleh tuan punya kucing yang asal. Mereka beranggapan bahawa di kawasan medan selera atau pasar ikan, kucing yang dibuang tidak akan kebuluran, lalu mereka tidak lagi menanggung dosa.

Kucing yang berkeliaran hanyalah binatang yang tiada daya upaya untuk mencari tempat perlindungan, makanan dan belaian kasih sayang. Kucing seumpama itu juga merupakan spesies peliharaan di dalam rumah dan bukan haiwan liar yang betah hidup di dalam persekitaran hutan dan jalanan. Keperluan penjagaan, rawatan dan kebersihan yang terabai mengakibatkan kucing tidak bertuan yang berkeliaran itu terdedah kepada serangan bakteria dan virus tertentu yang berisiko untuk tersebar kepada manusia.

Kucing tergolong dalam spesies haiwan yang cepat biak. Maka. sebarang operasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menangkap kucing berkeliaran sukar menemui noktah. Kaedah pelupusan pula pasti mendapat bantahan pencinta haiwan yang mungkin mencetuskan kekecohan.

Sebahagian kucing yang berkeliaran didapati berpotensi menjadi comel dan gebu, serta boleh mencecah harga ribuan ringgit jika diberi penjagaan dan rawatan yang rapi. Pihak PBT boleh menjemput pihak berkuasa kesihatan haiwan (vertarinar) dan persatuan pemelihara kucing yang berdaftar untuk turut serta dalam operasi bersepadu menangkap kucing jalanan. Jangan sampai berlaku operasi haram oleh penjual daging kucing sepertimana pernah dihebohkan suatu ketika dahulu tentang sate daging kucing!

Bulu kucing yang mudah tercabut dan hinggap di mana-mana boleh mendatangkan bahaya kepada penghidap sakit lelah atau alahan yang tertentu. Maka, PBT mesti memberikan perhatian terhadap isu kucing yang berkeliaran di kawasan medan selera dan pasar ikan. Kucing-kucing yang ditangkap boleh ditempatkan sementara di sebuah pusat khas sebelum tindakan susulan untuk serahan kepada pihak yang berminat memelihara kucing setelah melepasi proses tapisan yang tertentu pula.

Masalah anjing yang berkeliaran, menyelongkar sisa makanan dan mendekati orang ramai di kaki lima dan pesiar kaki sudah tentu lebih serius. Bagi orang Islam, anjing walau secomel mana sekalipun, tidak boleh disentuh (kecuali jika sama-sama kering). Anjing jalanan juga berisiko untuk menghidap penyakit kurap dan penyakit anjing gila.

Di sesetengah tempat, terutama di kawasan perumahan, anjing tidak bertuan itu membentuk kumpulan yang besar dan sering membuat bising dengan menyalak tidak kira waktu. Keselamatan orang ramai yang terserempak dengan kawanan anjing liar pasti mengundang risiko yang tidak terduga. Anjing liar jenis garang pula tidak takut untuk menceroboh kawasan kediaman dan menyerang haiwan peliharaan seperti arnab.

...

...

No comments:

Post a Comment