Tuesday, March 25, 2014

KEMAHIRAN GENERIK PELAJAR PRAUNIVERSITI DAN PENGAJIAN TINGGI: KREATIVITI MEMACU KECEMERLANGAN (TURNING POINT OF SUCCESSFUL CAMPUS FOLK )

Jalan pintas untuk menuju kejayaan dan pencapaian cemerlang memang ada, tetapi hendaklah dicari. Kunci kepada jalan pintas itu sebenarnya berada dalam diri pelajar sendiri, iaitu kreativiti. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan (nasib) sesuatu kaum, melainkan kaum itu sendiri yang mengubah apa-apa yang ada dalam dirinya (sikap): mafhum ayat surah ar-Ra’d,  juzuk 13, surah 13: ayat 11.

Sudah pasti bahawa apabila pelajar beralih daripada pembelajaran di peringkat sekolah menengah kepada persediaan universiti dan seterusnya sarjana muda, pengkhususan disiplin akademik dan kedalaman pengajian menghendaki pelajar lebih cakna, cekap dan cepat. Dalam kata lain, pelajar perlu memilih kaedah belajar dan perancangan telaah yang baharu, di samping mengekalkan kaedah sedia ada yang masih wajar, melakukan beberapa penambahbaikan (ubah suai), mengubah secara tuntas atau mengganti kaedah belajar yang tidak lagi berkesan. Mungkin jadual di bawah boleh membantu pelajar melakukan anjakan paradigma dalam menghadapi cabaran pengajian prauniversiti dan tinggi.
 
Kaedah / pilihan
Kekal
Ubah suai
Ubah terus
Ganti
1  Belajar bersendirian
/



2  Belajar berkumpulan

/


3  Rujukan di perpustakaan

/


4  Rujukan laman sesawang

/


5  Latih tubi kertas soalan terdahulu
/



6  Maklumat pelajar senior

/


7  Berjumpa guru, pensyarah

/


8  Buat salinan teks ikut bab
/



9  Guna high lighter

/


10  Ramal soalan


/

11  Guna akronim, analogi

/


12  Jadikan lirik lagu, nada muzik



/
13  Fotostat nota kawan



/
14  Tugasan bertaraf A +
/



15  Bantu rakan yang buntu
/



16  Sentiasa muhasabah diri

/



Tempoh pengajian bagi sistem penggal dan semester ialah kira-kira 14 minggu kuliah dan tutorial, serta satu minggu peperiksaan akhir. Jelas sekali bahawa jadual harian seorang pelajar prauniversiti dan pengajian tinggi sangat padat dan singkat. Namun, sebagai orang muda, pelajar juga sedang mengalami proses perkembangan diri dan perubahan persekitaran (sosialisasi) yang pesat.

Terlalu mudah untuk pelajar hanyut lalu terpesong dari haluan asal, iaitu mencatat pencapaian yang cemerlang dalam pembelajaran. Sebagai contoh, tiba-tiba pelajar terkena panahan asmara dana (cupid and culprit) hingga lebih sibuk melayan perasaan dan dunia khayalan yang mengasyikkan. Pada ketika itu nasihat dan teguran bagaikan biasan logam maya (fatamorgana) di padang pasir semata-mata.

Nasi lemak buah bidara, sayang selasih hamba lurutkan. Buang emak buang saudara, kerana kasih hamba turutkan. Demikian bunyi serangkap pantun empat kerat yang bersifat ekstrem, melulu dan keterlaluan, tetapi sayang seribu kali sayang, perkara seumpama itulah yang sering terjadi.

Alasan untuk menjalin kemesraan berlainan jantina dijustifikasikan sebagai dorongan untuk belajar kononnya. Maka, diberilah contoh banyak pasangan belangkas di kampus yang muncul sebagai tokoh terkenal hari ini. Pelajar licik sengaja lupa bahawa matlamat tidak menghalalkan cara dan hubungan terlarang menjerumuskan mereka ke kancah dosa dan noda.

Sebagai jalan tengah bagi memujuk jiwa muda yang bergelora dan amukan rindu yang tidak tertahan, cukuplah sekadar berjanji atau cop dulu (tanda) jika masih tidak bersedia untuk membina mahligai rumah tangga dalam usia yang muda. Ujian cinta memang sangat berat untuk ditanggung oleh anak muda yang menginjak ke alam serba indah dan pesona. Sesiapa sahaja yang cuba menghalang ikatan kasih yang membara dianggap sebagai penjahat yang mesti ditumpaskan.

Maaflah kerana terlajak empat perenggan membebel dengan kisah cinta cintun dan sisi jiwang anak muda kampus. Mudah cakap ialah pelajar prauniversiti dan pengajian tinggi hendaklah bijak menjaga kecerdasan emosi supaya jangan sampai yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran. Sentiasalah ingat akan tujuan asal pelajar menjejakkan kaki ke kolej persediaan universiti dan menara gading.

Sebagai pelajar pascamenengah, pelajar sepatutnya sudah mula membiasakan diri dengan sikap berdikari (autonomy) dan mengurangkan pergantungan (dependency) kepada pihak lain dalam proses pembelajaran dan menuntut ilmu tahap tinggi. Pelajar usah lagi berharap kepada kaedah suap sudu (spoon feeding) dan merengek seperti bayi apabila berhadapan dengan kesukaran dalam memahami isi pelajaran dan kuliah. Pelajar harus sentiasa kuat sebaik sahaja membuat keputusan untuk mencampakkan diri ke dalam lautan ilmu yang sarat dengan khazanah yang tersembunyi, niskala (abstract) dan kata kunci konsep yang sebelumnya asing.

Pelajar prauniversiti dan pengajian tinggi hendaklah berpegang kepada ciri tegas diri (assertive) sepertimana yang selalu disebut dalam slot motivasi dan kaunseling. Perbuatan helah bela diri (defence mechanism) dan sifat sentimental dengan menyalahkan pihak ketiga, terutama guru dan pensyarah hanya menyerlahkan ketakutan diri dalam proses pembelajaran aras tinggi. Sebaliknya, pelajar hendaklah lebih banyak meneroka potensi diri menerusi kaedah Swot (strength, weaknesses, opportunity, threat), iaitu kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman.

Proses / Ciri
Kekuatan
Kelemahan
Peluang
Ancaman
Menetapkan matlamat
Jelas, tertulis
Sekadar hiasan
Lazimkan diri
Berasa leceh
Perancangan belajar
Terjadual
Tidak akur
Buat catatan log
Mudah terbiar
Mendahului masa
Berkobar-kobar
Cepat surut
Pujuk diri
Biasa tangguh
Istiqamah / konsistensi
Azam suci, hehe
Sikap tidak apa
Contohi tokoh
Layan relaks
Ligat berfikir, cari jalan
Falsafah hidup
Buntu sokmo
Lawan kelesuan
Malas berfikir
Akur bisikan positif
Jati diri
Takut skema
Jadikan moto
Hasutan syaitan
Banyak berdoa
Sarat harapan
Solat ekspres
Zikir, istighfar
Mangsa keadaan

Bijak pandai mengatakan bahawa apabila bercakap tentang harta dan rezeki lihatlah orang di bawah kita, tetapi apabila bercakap tentang ilmu dan amal soleh lihatlah orang di atas kita. Pelajar hendaklah sentiasa mendahulukan sangka baik (husnul zon) daripada memindahkan hakikat kekurangan diri kepada nasib malang dan jiwa walang (minda kerdil). Andai kata kita berasa senang, ayuh kongsikan dengan mereka yang kesusahan; andai kata kita kesusahan, ayuh merendah diri terhadap mereka yang dekat dengan rencah dan ramuan kecemerlangan.

Pelajar prauniversiti dan pengajian tinggi yang kreatif bakal muncul sebagai pemimpin dan anggota masyarakat yang disenangi dan sebagai peribadi rujukan. Insan yang kreatif sentiasa cenderung kepada idea pembaharuan (inovasi), perubahan dan reka cipta yang selama ini menyumbang terhadap kesejahteraan, keselesaan dan kesenangan hidup umat manusia generasi demi generasi. Insan yang kreatif juga umpama resmi padi, semakin berisi semakin tunduk, bukan angkuh seperti hendak menongkat langit layaknya.


Pelajar kreatif wajib sentiasa berwaspada justeru perjalanan kreativiti sangat dibenci oleh musuh yang nyata dan musuh yang kabur, walaupun pada zahirnya berlagak biasa-biasa. Pelakuan kreatif, peluahan kreatif dan tindakan kreatif sering menyimpang daripada amalan konvensional, konservatif, normal dan rutin. Namun, harga untuk transformasi diri sebagai pelajar prauniversiti dan pengajian tinggi yang kreatif memang selalunya mahal …

No comments:

Post a Comment