Pengumuman yang ditunggu oleh guru sekolah, murid dan ibu bapa telah sampaikan oleh timbalan perdana menteri merangkap menteri pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tarikh mula kuat kuasa PBS versi baharu ialah mulai 1 April dengan tiga komponen penambahbaikan.
PBS masih diteruskan dengan tiga penambahbaikan mulai 1 April - Muhyiddin
2014/03/18 - 11:00:01 AM
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) masih diteruskan dengan tiga penambahbaikan berkuatkuasa 1 April.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara pertama ialah kementerian itu menetapkan Dokumen Standard Prestasi (DSP) digantikan dengan Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid.
Katanya, penggunaan DSP sebelum ini menyebabkan guru terikat dengan bilangan pernyataan deskriptor dan pernyataan evidens yang banyak.
"Dengan panduan baru ini, guru akan mengajar menggunakan kurikulum kebangsaan yang dibangunkan berdasarkan tema, tajuk atau kemahiran mata pelajaran yang perlu dikuasai oleh murid.
"Guru seterusnya mentaksir perkembangan pembelajaran murid berdasarkan pemerhatian dan penilaian mereka sendiri dengan merujuk panduan baru ini," katanya pada sidang media khas mengenai penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) di Bangunan Parlimen di sini, sebentar tadi.
Kedua, katanya, guru tidak lagi perlu lagi mengisi data penguasaan murid menerusi Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) secara atas talian seperti sebelum ini.
Katanya, guru boleh merekodkan perkembangan pembelajaran secara offline.
"Menerusi PBS juga, peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di Tingkatan Tiga akan digantikan dengan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
"Ini bermakna tiada peperiksaan berpusat bagi pelajar Tingkatan Tiga yang akan dilaksanakan di peringkat sekolah," katanya.
Sementara itu, guru tidak lagi menyediakan Fail Perkembangan Murid (FPM) dan melengkapkan Rekod Transit yang tidak jelas sehingga mengganggu tugas mengajar golongan berkenaan.
Katanya, perekodan perkembangan pembelajaran murid boleh dilakukan mengikut kesesuaian masa guru," katanya.
(sumber ambilan: klik di sini)
Antara inti pati penambahbaikan yang diumumkan ialah masukan markah secara offline. Kesukaran menembusi pangkalan data atas talian sebelum ini menjadi asas perubahan yang berlaku. Pentadbiran bahan bukti PBS (evidens) juga bakal menggunakan format pengukuran yang diperbaharui.
Tanda tanya tentang peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) juga berakhir apabila dijenamakan semula sebagai Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Butiran dan perincian PT3 dijangka akan disediakan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam tempoh yang terdekat. Guru sekolah akan beroleh gambaran lebih jelas menerusi siri kursus dalam perkhidmatan secara teragih menerusi jurulatih utama (JU) PBS dalam kalangan guru sendiri.
...
...
...
No comments:
Post a Comment