Wednesday, April 16, 2014

PENUTUPAN UNIVERSITI AL-BUKHARY: SUATU IKTIBAR (HIGHER EDUCATION FINANCING AND LEADERSHIP)

Kini, isu di atas telah diangkat sebagai kes mahkamah apabila sekumpulan pelajar memfailkan saman terhadap beberapa pihak yang tersenarai (klik di sini). Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) yang berkonsepkan pengajian secara percuma menerusi pembiayaan wakaf sepenuhnya ialah milik tokoh perniagaan ulung bumiputera, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary yang menguasai empayar beras, gula, prasarana, penerbitan, pengangkutan dan banyak lagi. Maka, apabila universiti yang baru sahaja beroperasi dengan jumlah pelajar sebanyak 600 orang dari serata dunia terpaksa ditutup secara mengejut, natijah yang muncul selepasnya bakal menjadi duluan dan rujukan pada masa hadapan.

AiU mencontohi model universiti wakaf terkemuka dunia, iaitu al-Azhar, Kaherah yang menjadi penanda aras pengajian tinggi Islam seluruh dunia. Malah, kebanyakan universiti tersohor Barat seperti Harvard, Yale, Cambridge dan Oxford diasaskan  atas nama kebajikan pihak gereja. Namun, hari ini, dana endowment mereka sudah melebihi keluaran dalam negara kasar (KDNK) kebanyakan negara dunia ketiga. 

Sesebuah universiti moden menghendaki proses perancangan strategik yang merangkumi fasa jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang. Perancangan yang dimaksudkan meliputi tradisi kecendekiawanan dan kecemerlangan ilmu, kewangan, pembangunan fizikal, kelayakan dan pengkhususan akademik, bidang pengajian, penyelidikan, kepimpinanan, tadbir urus dan jaringan. Universiti bukan sebuah sekolah tinggi vokasional atau kilang mengeluarkan bakal pekerja berkemahiran, tetapi sebuah entiti penerokaan kebenaran yang tidak terbatas, sejajar dengan asal istilah universiti, iaitu universe yang bererti jagat raya yang tidak diketahui penghujungnya.

Aristotle pernah mengatakan bahawa dia sangat dekat dengan gurunya, Plato di The Academy, tetapi kebenaran lebih dekat lagi (baca lebih lanjut di sini). Dalam kata lain, pencari kebenaran tidak terikat dengan sesiapa, melainkan hanya terhadap kebenaran itu sendiri. Namun, dengan berlalunya masa, prinsip kebebasan akademik harus berhadapan dengan hierarki pentadbiran dan pihak yang membiayai perjalanan universiti walaupun mereka tidak semestinya dialu-alukan dalam kalangan cendekiawan yang jujur dan tulen.

Dilema universiti pascamoden ialah tekanan kuat pasaran yang hanya mahu orientasi pengajian yang akur kepada telunjuk industri semata-mata. Maka, anggota lembaga pengarah universiti dipenuhi oleh tokoh industri berpengaruh yang lebih berkuasa daripada pentadbiran akademia (naib canselor) dalam urusan membuat keputusan dan dasar. Lantikan profesor adjung dalam kalangan pemuka konglomerat membuktikan betapa universiti yang biasa-biasa meletakkan kedudukan yang berlebihan kepada mereka berbanding dengan ilmuan dan karyawan yang menjunjung panji-panji kebenaran dan kecendekiawanan.

Mantan naib canselor Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Hashim Yacob pernah menyatakan bahawa beliau mendapati sukar untuk melaksanakan idea pembaharuan dan pembangunan universiti justeru perlu mendapat restu lembaga pengarah universiti (yang tidak mampunyai kepekaan yang tuntas terhadap dunia cendekia) terlebih dahulu. Sesetengah universiti swasta pula ditubuhkan atas pertimbangan perniagaan yang melihat pengajian tinggi sebagai komoditi dagangan. Maka, banyaklah kursus yang bersifat vokasional dan hands-on ditawarkan sehingga martabat universiti sebagai gedung ilmu, kepimpinan dan penyelidikan tidak lagi menjadi keutamaan yang teratas.

Pembiayaan sesebuah universiti sudah memerlukan dana yang cukup besar kerana harus menggaji profesor yang terbaik dalam bidang pengkhususan masing-masing, prasarana kampus dan perbelanjaan harian. Universiti awam mendapat suntikan dana pembayar cukai menerusi kelulusan belanjawan negara, tetapi dengan pertambahan permintaan kemasukan pelajar dari tahun ke tahun, universiti awam juga harus mencari dana tambahan menerusi konsep pengkorporatan dan kegiatan perniagaan yang berkaitan dengan dunia kecendekiawanan. Hasrat menaik taraf politeknik premier sebagai universiti awam bakal menambah keperluan peruntukan yang telah sedia tinggi.

Bilangan pelajar universiti tempatan yang sudah mencecah setengah juta orang bermakna permintaan terhadap pembiayaan pengajian tinggi semakin kritikal. Kemudahan dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menjadi tumpuan, tetapi bergantung juga kepada pembayaran balik peminjam terdahulu yang mungkin agak perlahan atas pelbagai alasan. Pelajar yang kurang berkemampuan mungkin memperoleh bantuan kewangan Baitul Mal dan zakat.

Selain AiU, terdapat Institut Profesional Baitulmal (IPB) yang menawarkan kelayakan ikhtisas perakaunan, kesetiausahaan dan lain-lain, serta kolej universiti perubatan Pusrawi yang mungkin berpotensi dinaik taraf sebagai universiti penuh berteraskan pembiayaan wakaf. Sementara menanti proses mahkamah dan keputusan Kementerian Pendidikan, jaminan tentang kesinambungan pengajian pelajar AiU hendaklah jelas. kakitangan AiU mungkin tidak menghadapi masalah untuk diserapkan dalam pelbagi cabang perniagaan Tan Sri Syed Mokhtar berdasarkan kepakaran pengkhususan dan kesarjanaan masing-masing.

Sesungguhnya universiti yang ditubuhkan atas nama Islam dan pembiayaan wakaf merupakan harapan kepada umat yang masih serba ketinggalan dalam persekitaran kepesatan perubahan dunia tanpa sempadan dominasi Barat. Universiti seumpama itu harus menjadi pencetus teladan terhadap pembiayaan pendidikan tinggi dalam kalangan umat untuk kembali memacu kehidupan yang sejahtera berlandaskan prinsip tawhid. Masih belum terlambat untuk kepimpinan umat bagi mencari jalan supaya impian besar dakwah membawa rahmat kepada sekalian alam bakal kesampaian, insya-Allah ...

No comments:

Post a Comment