Thursday, April 24, 2014

SURAU ANGSANA MALL LEBIH SELESA (VALUES IN BUSINESS AND MARKETING)

Kebanyakan gedung membeli-belah menghormati keperluan kakitangan dan pelanggan Islam untuk menunaikan solat fardu, terutama Zuhur, Asar dan Maghrib. Urusan di dalam sesebuah bangunan tidak dapat ditetapkan tempoh masa, maklumlah siang dan malam macam sama sahaja. Diharap pada masa hadapan, petugas deejay pasar raya akan membuat pengumuman tentang masuk waktu solat dan kemudahan surau di kompleks beli-belah masing-masing.

Kompleks Sogo dan Suria KLCC misalnya menyediakan kemudahan ruang surau yang luas untuk keselesaan menunaikan solat. Demikian juga Midvalley Mega Mall dan The Curve juga tidak ketinggalan berbuat demikian. Pendek kata, kepekaan tentang kemudahan ruang solat sudah termasuk dalam peruntukan kos bangunan dan urusan penyenggaraan yang teratur.
Di Ipoh, terdapat sebuah pasar raya milik bumiputera Islam, iaitu UO (asalnya Rainbow, kemudian Uda Ocean, kini menggunakan slogan Untung Orangramai, sengaja disalah eja untuk justifikasi akronim UO), penyewa utama kompleks Angsana Mall, berhampiran Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Stadium Perak. Surau Angsana Mall terletak di aras bumi (ground) di hujung medan selera. Walaupun tidak seluas surau di Aeon dan Mydin, proses naik taraf Angsana Mall memberikan keselesaan yang berganda.

Sepertimana reka bentuk surau gedung membeli-belah yang lain, surau berasingan lelaki dan perempuan disediakan. Demikian juga tiada kakitangan khusus sebagai imam dan bilal kerana pengunjung surau silih berganti dari awal waktu hingga hampir luput waktu solat tertentu. Urusan penyenggaraan surau dilakukan oleh petugas Angsana Mall.

Bagi memudahkan urusan kebersihan dan persediaan diri, ruang tandas terletak berdekatan dengan surau. Jadi, tiada alasan bagi pengunjung Angsana Mall untuk berlengah-lengah atau meringan-ringankan ibadah solat fardu. Usai menjamu selesa boleh ke tandas, kemudian mampir di surau menunaikan kewajipan solat fardu.

Jemaah solat di bahagian berhampiran pintu masuk surau.
Ruang hadapan masih luas.

Hanya satu perkara tentang kemudahan surau yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan pasar raya. Lantai jubin akan berkeadaan basah dan licin setelah jemaah mengambil wuduk. Risiko untuk pengunjung terjatuh dan mengalami kecederaan tidak mustahil boleh berlaku.

Dari sudut itu, pasar raya Mydin dan Aeon boleh dipuji kerana prihatin tentang keselamatan jemaah solat dengan menyediakan lantai surau berasaskan parquet. Barangkali jika ada lagi proses naik taraf, pihak pengurusan Angsana Mall boleh menilai semula perkara berkenaan. Rasa nyaman pendingin hawa akan lebih lengkap dengan tambahan ciri keselamatan yang optimum.

Apa-apa pun sekalung tahniah kepada pengurusan Angsana Mall justeru kepekaan terhadap kemudahan surau yang selesa. Semoga citra Islam dalam reka bentuk gedung membeli-belah itu bakal menjadi model kepada semua pasar raya. Tidaklah kita berasa malu kerana pasar raya di kejauhan Sapporo, pulau paling utara di Jepun juga meyediakan ruang surau yang luas, selamat dan selesa sebagaimana yang dipaparkan dalam rancangan Halal Orient di saluran Astro Oasis ...

No comments:

Post a Comment