Friday, May 23, 2014

TUMAKNINAH DALAM PERCAKAPAN (PAUSE AND REPHRASE)

Bijak pandai, cendekiawan, guru musyid, sarjana dan ulama memiliki nada suara, gelombang sebutan atau tona yang tersendiri apabila bercakap, bertutur dan berhujah. Setiap patah perkataan dan rangkai kata yang terpacul daripada bibir mereka telah melalui proses saringan berfikir dengan pedoman ilmu pengetahuan yang sah lagi autentik. Maka, wacana yang ringkas sekalipun begitu sarat dengan sejumlah kesimpulan dan pengamatan yang sangat bermakna dan mendalam.

Dalam satu slot bicara ilmuan Ikim.fm seorang tetamu jemputan telah menjelaskan tentang ciri percakapan orang-orang yang berdisiplin tinggi, serta sentiasa terikat dengan keperibadian yang dekat dengan taqwa. Golongan sedemikian mewakili anjuran yang dinyatakan lewat surah ali Imran, 3: 191 - 192 iatu mereka yang sentiasa mengingati Allah sama ada ketika berdiri, duduk dan berbaring. Mereka juga sentiasa melafazkan rabbana ma khalaqta hadha batila, subhanaka faqina azabannar, Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, hindarilah kami daripada api neraka.

Sebagai insan berpengetahuan yang taat, lisan mereka sentiasa basah dengan zikrullah dan kalimah-kalimah yang baik belaka. Komunikasi bagi mereka ialah ibadah dan dakwah yang perlu dilontarkan dengan kebijaksanaan dan keunggulan. Tidak terselit di benak mereka untuk berlaku angkuh, bongkak, riak, sombong, sum'ah, takbur atau ujub apabila berkata-kata.

Ulama ialah pewaris para nabi yang perlu dicontohi dari segi akhlak, disiplin, tingkah laku dan sahsiah yang mulia. Orang awam yang berhasrat untuk menyumbang terhadap kekuatan umat yang semakin teruji dengan pelbagai fitnah akhir zaman wajib mendampingi para ulama dan mempelajari adab dalam menjalani kehidupan secara tuntas. Jika tidak, pengaruh hedonisme dan sekularisme bakal menjadi cabaran yang sangat getir untuk dipatahkan terutama dalam proses memupuk jati diri generasi muda umat.

...

...

...

...

...

...

No comments:

Post a Comment