Monday, May 12, 2014

MOTIVASI BELAJAR: IKTIBAR LIGA PERDANA INGGERIS (DO NOT LET BLAME BECOMES A SELF-DEFEATING BOND)

Assalamu alaikum dan salam sejahtera,

Pelajar yang dikasihi sekalian,

Tidaklah dapat dipastikan sama ada dakwaan bahawa keputusan liga bola sepak utama dunia, termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) telah diatur oleh sindiket judi besar (bookies) atau sebaliknya. Namun, sukan nombor satu dunia itu memang menjadi kegilaan sebahagian besar peminat sukan. EPL misalnya membabitkan kegiatan perniagaan berskala besar, selain kelab-kelab ternama disenaraikan di bursa saham London.

Jose Maurinho, bekas pengurus kelab Barcelona yang bertandang ke Bukit Jalil bersama pasukan bintang The Catalan dalam siri jelajah pramusim pada penghujung tahun lalu (Barcelona 4, Pilihan Malaysia 0) pernah melahirkan rasa hairan tentang ketaksuban peminat bola sepak di rantau sebelah sini terhadap kelab yang berada sangat jauh dari negara mereka. Maurinho yang kini menyertai semula Chelsea memang dikenali dengan mulut celopar, misalnya melabel Arsene Wenger, pengurus Arsenal sebagai jaguh kegagalan dan Luis Suarez (penyerang Liverpool) sebagai pilihan salah untuk pemain terbaik EPL 2014. Namun, beliau juga gagal membawa Chelsea mengungguli EPL atau membawa Chelsea ke perlawanan akhir Liga Juara-juara Eropah setelah terkandas di tangan Altetico Madrid pada saingan separuh akhir.

Kelab berbelanja besar yang dimiliki keluarga diraja UAE, Sheikh al-Mansur, Manchester City akhirnya dinobatkan sebagai juara EPL 2014 walaupun hanya berjaya memintas Liverpool dan Chelsea pada penghujung saingan. Ketua pasukan City, Vincent Kompany (bintang pertahanan Belgium) telah melakukan kesilapan dengan tendangan lemah beliau, lalu singgah di kaki penyerang Liverpool untuk gol kemenangan 3-2. Kemudian, Liverpool pula melakukan kesilapan berganda apabila sekadar terikat 3-3 dengan Crystal Palace dan tewas kepada Chelsea 0-2 walaupun memiliki kawalan bola sebanyak 79 peratus.

Brendan Rogers yang pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Maurinho menyalahkan taktik bertahan Chelsea dan menyifatkan lawan seperti meletakkan dua buah bas di hadapan pintu gol mereka. Maurinho membidas bekas pembantunya itu dengan berhujah bahawa dalam bola sepak yang penting ialah jumlah gol yang berjaya disumbat, bukan kawalan bola dan permainan yang menghiburkan penonton. Pada perlawanan penentuan kedudukan juara liga (Ahad, 11/5/14, serentak pukul 10 malam), Liverpool mengharapkan The Citizens tersungkur di laman sendiri  (Stadium Etihad) ketika melayan kunjungan West Ham, manakala The Red Devils memanfaatkan rekod bersih di stadium keramat di Anfield.

Liverpool yang sudah kemarau kejuaraan liga sejak tahun 1990 nampaknya harus belajar lagi bahawa nasib baik dan tuah tidak selalu berpihak kepada mereka. Harapan untuk berjaya atas kegagalan pasukan lain (City) tidak kesampaian. Walaupun menang 2-1 ke atas Newcastle yang sudah pun tempang apabila dua orang pemain mereka dilayangkan kad merah nyata tidak mencukupi untuk memadam dua gol kemenangan City oleh Samir Nasri (bintang Peranchis) dan Kompany.

Pelajar yang dimuliakan,

Marilah kita memindahkan pengalaman liga bola sepak paling mendapat perhatian dunia itu ke dalam proses pembelajaran di sekolah, kolej dan institut pengajian tinggi. Ringkasnya, walaupun sesekali nasib baik dan tuah mungkin memihak kepada kita, hakikatnya pencapaian pembelajaran banyak bergantung terhadap kaedah belajar yang bijaksana dan cekap, usaha yang bersungguh-sungguh dan perancangan jawapan yang terbaik dalam segala jenis pentaksiran. Pergantungan kepada soalan ramalan atau mengharapkan ehsan pemeriksa skrip jawapan (pemeriksa, guru, pensyarah) hanya mengundang risiko yang mengundang rasa terkilan.

Pelajar harus membuang jauh-jauh sikap sentimental yang tidak bertempat. Maksudnya, usah terlalu berharap segala-galanya sempurna untuk memenuhi kehendak diri sendiri, iaitu persekitaran pembelajaran yang sempurna, guru atau pensyarah yang kacak dan lawa, dan rakan kuliah yang kelakar. Isi pelajaran dan kuliah pula sentiasa penuh dengan lawak jenaka dan tiada beban teori yang membosankan.

Tujuan pendidikan dan pembelajaran ialah untuk mengungkapkan kebenaran dan keunggulan ilmu pengetahuan bagi menjelaskan peristiwa atau fenomena kehidupan duniawi yang rencam dan rumit. Pelajar didedahkan dengan penggunaan istilah yang bersifat teknikal, konsep dan teori yang bakal menjimatkan masa berfikir dan membuat pengamatan yang tepat. Jika tidak, kita bakal masa yang sangat panjang untuk bercakap waimah perkara yang remeh-temeh sahaja.

Kebolehan membincangkan banyak perkara dalam tempoh yang singkat membolehkan seseorang itu membuat keputusan dan pilihan yang mantap (feasible, viable) berdasarkan ralat pengukuran minimum. Orang yang bijaksana bercakap hal-hal besar dan bermanfaat, manakala orang yang jahil akan bercakap bagaikan tin kosong yang kuat bunyinya, tetapi hanya mencetuskan kebencian, iri hati dan menjurus terhadap sangkaan yang tidak sah. Percakapan yang baik umpama pohon rendang yang menaungi, manakala percakapan yang buruk hanya menyakitkan hati.

Dalam sesi kaunseling, klien (penerima khidmat kaunseling) akan dibimbing untuk meneroka potensi diri sendiri tanpa membabitkan pihak ketiga (orang lain) atas masalah atau peristiwa yang menimpa diri masing-masing. Setiap kali klien cuba menyalahkan orang lain, kaunselor akan membawa klien balik kepada proses penilaian kendiri justeru orang yang cuba disalahkan tidak hadir bagi membela diri. Maka, klien hanya merenung ke dalam diri, menilai kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (Swot) supaya dapat melakukan kemajuan dan perubahan tanpa bergantung kepada nasib baik dan tuah semata-mata.

Pelajar yang dirahmati,

Barangkali sudah panjang lebar saya bercakap dan memberi saranan tentang proses pembelajaran yang lebih bersifat asertif dan kendiri daripada sentiasa memberi alasan yang kurang munasabah setiap kali berhadapan dengan masalah. Akibat enggan berfikir, jalan yang paling mudah ialah dengan menyalahkan pihak lain. Guru dan pensyarah yang memang sudah masak dengan ilmu pedagogi dan psikologi klinikal sudah pasti bersedia membantu pelajar yang cenderung terhadap sikap agresif atau permisif itu.

Akhir kata, pencapaian dalam pembelajaran juga tidak jauh berbeza dengan dunia bola sepak tahap tinggi seperti EPL. Liverpool bukan tidak tahu bahawa dengan menyalahkan pihak lain dan bergantung kepada tuah tidak akan mengubah kedudukan yang ada, tetapi mereka hanya insan biasa yang suka melakukan helah bela diri (defense mechanism) supaya beban kekecewaan yang dialami tidaklah begitu berat untuk ditanggung. Sebelum perkara seumpama itu berlaku dalam pencapaian pembelajaran kalian, pelajar hendaklah melakukan segala proses yang paling bijak dan cekap supaya kelak pencapaian pembelajaran kalian akan setimpal dengan usaha yang  telah dirancang dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Sekian, Selamat belajar dan didoakan semoga kecemerlangan dan kejayaan sentiasa mengiringi usaha kalian yang bijak, cekap dan bersungguh-sungguh. Amin ...

No comments:

Post a Comment