Thursday, July 10, 2014

AMALAN SOLAT TARAWIH DI MALAYSIA (STAY LONGER AT NIGHT)

Perincian tentang hukum, sejarah, hikmat dan bilangan rakaat solat tarawih boleh diperoleh di sini. Solat tarawih yang bermula sejak malam sebelum puasa Ramadan hari pertama dilaksanakan usai solat Isyak (berjemaah). Jemaah solat di masjid dan surau lebih ramai berbanding dengan hari-hari biasa.

Pada dekad 1970-an hingga 1980-an kebanyakan masjid dan surau melengkapkan solat tarawih hingga 20 rakaat ditambah dengan solat sunat witir sebanyak tiga rakaat dengan dua salam. Terdapat kecenderungan menyelesaikan solat tarawih secara ekspres bagaikan dihambat bahaya di belakang. Imam membaca surah al-Fatihah dengan sekali nafas sahaja menyebabkan makmum harus mula membaca fatihah sebaik imam melafazkan Maliki yaumiddin, terutama pada setiap rakaat kedua kerana imam membaca surah al-Ikhlas juga dengan cepat.

Solat tarawih yang sepatutnya bersifat istirahat (tarwihah) dibuat secara tergesa-gesa. Semoga Allah memberi keampunan kepada generasi ketika itu yang belum menerima teguran tentang amalan sedemikian. Surah pilihan bagi setiap rakaat pertama bermula dengan surah al-Qari'ah, diikuti oleh surah at-Takathur, al-Asr, al-Fil, Quraisy, al-Ma'un, dan al-Kauthar

Dua rakaat witir pertama diisi dengan surah al-A'la dan al-Kafirun, manakala satu rakaat terakhir dengan rangkaian tiga qul (al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas). Usai witir, jemaah akan mengikut imam untuk ratib (la ilaha illallah), doa dan niat berpuasa keesokan harinya. Sesetengah masjid dan surau menyediakan kudapan yang dipanggil sebagai moreh untuk jemaah.

Keadaan berubah mulai dekad 1990-an apabila semakin banyak masjid dan surau menjemput imam dalam kalangan guru atau pelajar tahfiz dengan bayaran sagu hati tertentu. Imam tidak lagi membaca surah lazim semata-mata, tetapi bermula dengan surah al-Baqarah. Namun, setiap rakaat hanya dibacakan sejumlah ayat yang terhad, sejajar dengan keupayaan dan urusan makmum yang pelbagai.

Kepada yang berhasrat membaca satu juzuk satu malam dalam solat tarawih boleh berbuat demikian secara bersendirian di rumah, atau di masjid terpilih. Kebanyakan jemaah memilih untuk berhenti usai lapan rakaat. Saf asal berkurangan kepada satu per tiga sahaja.

Perbezaan pendapat tentang bilangan rakaat solat tarawih sama ada lapan atau dua puluh jika ada, perlu dilakukan secara penuh adab ilmu. Asy-Syahid Imam Hasan al-Banna pernah menasihatkan bahawa perpaduan umat yang berstatus wajib lebih utama daripada pertikaian tentang solat tarawih yang berstatus sunat muakkad. Nabi Muhammad Salallahu alaihi wasallam sendiri lebih banyak mendirikan solat tarawih bersendirian justeru khuatir bahawa sahabat menyangka solat tarawih sebagai wajib.

Kesimpulannya, amalan solat tarawih ialah usaha bagi menghidupkan malam-malam Ramadan dan membiasakan umat dengan solat sunat yang lain, terutama solat malam sejurus sebelum mengambil hidangan sahur. Orang soleh dan solehah juga membanyakkan zikir dan tadarus al-Quran bagi mendekatkan diri dengan Yang Maha Pencipta. Para sahabat nabi mengucapkan selamat tinggal sesama sendiri sebaik bermula Ramadan bukan kerana mereka tidak berjumpa secara fizikal, tetapi mereka berpisah dari segi tumpuan khusyuk terhadap ibadah sepanjang bulan Ramadan al-Mubarak ...

No comments:

Post a Comment