Pengenalan
Kertas soalan masih kekal dengan format sedia ada, iaitu empat soalan: rumusan, pemahaman, tatabahasa dan kajian novel. Calon-calon yang sudah membiasakan diri dengan naskhah soalan SPM tahun-tahun lepas tidak berhadapan dengan masalah dari segi itu. Tinggal lagi ialah kepastian bagi merancang penulisan jawapan yang menjurus kepada perolehan markah maksimum bagi setiap komponen soalan.
Perkara penting yang tidak boleh diabaikan ialah dari segi peruntukan masa menulis jawapan supaya sejajar dengan peruntukan markah. Tempoh masa dua jam setengah (150 minit) bermakna bahawa secara konservatif, setiap satu markah bersamaan satu minit setengah. Namun, kelenturan dan pengubahsuaian masih boleh dilakukan berdasarkan kebijaksanaan dan kecekapan calon.
Soalan 1: Rumusan, 30 markah
Petikan rencana 'Nasi Lemak, Oh Nasi Lemak' oleh Marina Abdul Manaf, Dewan Kosmik, September 2010. Tugasan yang ditetapkan ialah faktor-faktor obesiti (isi tersurat) dan kepentingan mengawal berat badan (isi tersirat). Panjang rumusan masih 120 patah perkataan.
Sudah menjadi kebiasaan, bahagian pendahuluan rumusan ditulis dalam satu ayat dan dalam satu perenggan khas. Kata tugas soalan diubah dengan perkataan yang setara, manakala bahagian kedua pendahuluan rumusan dikaitkan dengan tema soalan. Sama ada ayat pendahuluan dimulakan dengan 'Petikan membincangkan ...' atau 'Rumusan membincangkan ...' bolehlah dibincangkan bersama guru bahasa di sekolah masing-masing.
Isi jawapan bermakna bahawa calon perlu menggugurkan bahagian huraian, sama ada untuk isi tersurat mahupun isi tersirat. Namun, perlu diingat bahawa konsep isi tersurat, iaitu 'seperti yang tercetak' perlu dipatuhi. Calon perlu membuat ambilan isi petikan rencana asal tanpa sebarang pindaan (bahagian isi sahaja).
Isi tersirat bermaksud isi luar petikan, atau idea calon sendiri. Walaupun begitu, kemahiran membuat generalisasi / penyeluruhan / payung idea akan banyak membantu calon supaya tidak berlegar pada isi yang sama berulang-ulang kali. Juga tidak perlu bahagian huraian.
Bahagian kesimpulan eloklah dtulis dengan 'Kesimpulannya, ...(saranan)... agar / supaya (harapan yang dikaitkan dengan tema soalan)...'. Ayat kesimpulan ditulis dalam satu ayat sahaja dan mestilah bersifat khusus, iaitu fokus terhadap tugasan utama soalan. Seperti pendahuluan, isi tersurat dan isi tersurat, sebaik-baiknya ayat penutup juga disediakan dalam perenggan yang khusus.
Soalan 2: Pemahaman, 35 markah
Calon paling banyak hilang markah dalam bahagian soalan 2. Sebab utamanya ialah tidak dapat membezakan antara aras soalan petikan dengan aras soalan kbkk dan aras soalan komsas. Selain itu, calon sering sipi dalam mengenal pasti kata kunci dalam ayat tugasan soalan. Maka, lain yang ditanya, lain yang dijawab; bermakna 0 markah.
Soalan 2a: Petikan Umum (berasaskan petikan rencana soalan rumusan), 9 markah
(i) maksud rangkai kata membudayakan tabiat
(ii) langkah mengurangkan masalah obesiti (aras soalan petikan: ambil jawapan terus daripada
petikan rencana asal, isi sahaja tanpa huraian)
(iii) penjelasan tentang dua cara kesedaran masyarakat tentang bahaya obesiti dapat ditingkatkan
(aras soalan kbkk, isi + huraian)
Soalan 2b: Petikan Cerpen 'Memori Seorang Tua' oleh Zahari Affandi, dalam antologi Harga Remaja, 9 markah.
(i) [Apakah] pertolongan Tuk Mat dan keluarga kepada Pak Itam: aras petikan, isi sahaja.
(ii) [Nyatakan] dua cara 'anda' membalas jasa Tuk Mat dan keluarga; aras kbkk, isi sahaja.
(iii) [Huraikan] latar masyarakat, satu daripada petikan, satu daripada keseluruhan cerpen:
aras komsas, isi + contoh peristiwa
Soalan 2c: Petikan Prosa Tradisional "Hikayat Langlang Buana', Dirgahayu Bahasaku, 8 markah.
(i) Maksud disegerakan pekerjaan.
(ii) [Nyatakan] tindakan menteri, hulubalang: aras petikan, isi sahaja tanpa huraian.
(iii) Dua alasan perbuatan Tuan Puteri Mandu Ratna Dewi (menyembunyikan lelaki) tidak wajar:
aras kbkk, isi sahaja tanpa huraian.
Soalan 2d: Seloka Si Luncai, 9 markah.
(i) Maksud ada mengaji tiada mengkaji.
(ii) (apakah) tindakan sepatutnya ibu bapa memastikan anak mendapat pendidikan yang baik:
aras kbkk, isi sahaja.
(iii) (Jelaskan) dua persoalan: aras komsas, dengan huraian (secara umum, tidak merujuk seloka secara khusus)
Soalan 3: Tatabahasa, 30 markah
Calon yang banyak membaca bahan bacaan bermutu tidak berhadapan dengan masalah besar. Pematuhan terhadap binaan ayat (subjek + predikat + penerangan) bakal memudahkan calon menulis ayat yang dikehendaki. Selain sintaksis, calon juga perlu mematuhi hukum semantik (kemunasabahan idea) supaya ayat yang ditulis masuk akal.
3a: Menulis ayat tanpa pindaan perkataan yang diuji: krisis, kritis, proses, protes, taasub, takjub.
3b: Menukar dialog (cakap ajuk) kepada cakap pindah.
3c: Kesalahan ejaan, imbuhan.
3d: Kesalahan istilah, tatabahasa.
3e: Peribahasa
(i) Ghazali mewarisi kebijaksanaan ayahnya dalam menguruskan perniagaan ...
(ii) Nadia cepat memahami dan menguasai apa-apa sahaja yang diajar ...
(iii) Dia disenangi rakan-rakannya kerana rajin bekerja dan sedia memberikan bantuan ...
Soalan 4: Novel, 15 markah
(a) Huraian watak dan perwatakan watak sampingan yang telah ditetapkan:
Jeffri (Papa), Tengku Muzaffar, Datin Tominah, Farhana, Hayati, Profesor Zaidah, Adila, Azrul.
(satu watak daripada satu novel sahaja)
(b) Tiga contoh nilai kasih sayang: maksudnya dua pihak dalam setiap contoh.
HHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHHH
Ulasan am:
Calon cemerlang bukan sahaja memiliki pengetahuan tentang aras soalan, konsep isi dan huraian, serta kata kunci daam ayat tugasan soalan, malah mahir memulakan ayat jawapan yang disambung dengan isi (dan huraian, jika dikehendaki sahaja). Calon cemerlang juga cakna terhadap peruntukan masa menjawab setiap komponen soalan. Calon cemerlang lazimnya mempunyai baki masa kira-kira setengah jam untuk proses pembetulan, penambahbaikan dan semakan jawapan yang sudah siap ditulis.
Sekianlah, selamat belajar dan selamat maju jaya ...
No comments:
Post a Comment