Saturday, July 26, 2014

TIADA CUTI AWAL, JALAN SESAK TERUK (TRAFFIC PROBLEM IN FESTIVE SEASON)

Hajat untuk 'merasmikan' fasa baharu lebuh raya pantai timur tidak kesampaian, sebaliknya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang luar biasa sekali. Keseluruhan tempoh perjalanan dari Ipoh ke Dungun memakan masa 18 jam, walhal biasanya hanya  8 jam termasuk rehat. Jarak 200 kilometer pertama begitu lancar sebelum melepasi plaza tol damansara  utama kepong expressway (duke).

Pergerakan kenderaan macam kura-kura layaknya: satu kilometer setengah jam. Nasib baik tangki minyak sudah diisi penuh lagi di R & R Ulu Bernam. Kereta juga baharu servis pada hari Khamis dengan bateri dan tayar diganti sebagai "pelaburan" untuk keselamatan kenderaan.


Menjelang waktu Zuhur,  keluar lebuh raya menuju stesen Petronas, Taman Seri Gombak. Usai kemas diri dan solat jamak taqdim berjemaah, masuk semula.lebuh raya. Kesesakan luar biasa masih berterusan. Mujur juga di kawasan berliku mendaki dan menuruni lereng gunung menuju Genting Sempah pergerakan lebih lancar dan tidak tersekat-sekat.

Menjelang senja baharu tiba ke Plaza Tol Jabor dengan terlebih dahulu beratur sejauh dua kilometer. Punca kesesakan ialah sekian banyak plaza tol yang berjumlah lapan semuanya. Alangkah baiknya suatu inovasi dilakukan dengan segera supaya hal itu tidak berulamg saban tahun yang menyusahkan semua pihak.

Satu lagi perkara yang perlu diambil kira oleh pihak yang membuat keputusan tentang cuti sekolah pada musim.perayaan utama. Cuti yang bermula pada hujung minggu ternyata mengundang kesibukan dalam urusan perjalanan. Tahun ini semua keluarga harus pulang serentak dalam tempoh dua hari pada hujung minggu kerana hari raya jatuh pada hari Isnin.

Keadaan di plaza tol Jabor lebih 'kartun'. Tanpa sebarang panduan tunjuk arah, pemandu harus mencari sendiri arah ke Chenih sebelum diberitahu tutup kerana berlaku runtuhan tanah akibat hujan lebat. Pemandu beramai-ramai menuju laluan berisiko Jerangau-Jabor. Namun, baharu separuh jalan berpatah balik lagi atas masalah yang sama: tanah runtuh.

Kali ini penulis blog (PB) tidak lagi menyertai rombongan besar kenderaan, sebaliknya menggunakan laluan Felda Bukot Goh. Singgah di stesen minyak Shell di situ, urusan tunai sahaja. Terus jamak takhir di surau yang agak selesa juga.

Laluan menuju Sungai Udang juga macam di Kuala Lumpur. Terdapat sebuah treler yang sengaja menghalang pemandu lain daripada menggunakan lorong kecemasan. Akhirnya, pihak polis dengan kerjasama belia kampung melencongkan laluan menerusi jalan yang belum berturap sepanjang lebih kurang lima kilometer membelah kegelapan tengah malam ...

No comments:

Post a Comment