Petang tadi, penulis blog (PB) seisi keluarga berkunjung ke Pulau Duyong, Kuala Terengganu yang masyhur dengan penganjuran sukan kapal layar Piala Monsun, serta bersebelahan Pulau Wan Man yang menempatkan masjid kristal. Sempat juga meninjau industri pembinaan kapal dan kawasan tebus guna tanah yang mendekatkan jarak Pulau Duyong dengan bandaraya Kuala Terengganu. Terdapat projek tapak perniagaan yang sudah terbiar, tetapi orang ramai tetap datang justeru terpukau dengan pemandangan indah di situ.
Di Masjid To' Kaya Wan Abdul Kadir bin Haji Wan Abdullah, PB sempat bertemu Pak Andang bin Abdullah, 71, pembantu khas pengurusan masjid (siak). Beliau memaklumkan bahawa masjid berkenaan sudah berusia lebih 100 tahun. Dua orang adik-beradik masing- masing mewakafkan tanah dan membiayai pembinaan masjid.
Ketika Pulau Duyong masih terpisah dengan tanah besar, masjid itu dikelilingi alur dan sungai. Pengangkutan yang ada ialah perahu dan sampan. Banyak tuan guru dan ulama menyampaikan pengajian kitab di situ.
Almarhum Sultan Zainal Abidin juga kerap datang ke masjid ini untuk bertemu alim ulama, di samping melaksanakan amal ibadah. Jika benar bagai yang diceritakan, pihak berkuasa arkib dan persatuan sejarah harus menjalankan penyelidikan yang tuntas. Betapa duli tuanku menjadi teladan terbaik buat rakyat jelata yang begitu dekat dengan tradisi keilmuan Islam.
...
...
...
...
No comments:
Post a Comment