Beberapa tahun yang lalu seorang menteri kanan Peranchis telah dipecat kerana terdesak menggunakan perkhidmatan ambulans untuk tiba ke tempat mesyuarat jemaah mingguan kabinet. Alasan jalan raya sesak ditolak mentah-mentah justeru masalah sebenar ialah perancangan jadual peribadi yang lemah. Menteri berkenaan membayar harga yang mahal untuk menepati masa, tetapi dengan cara yang sangat dikecam oleh sebuah masyarakat yang maju.
Berlainan pula kisah yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Karachi, Pakistan sepertimana yang dilaporkan oleh Reuters semalam (rujuk berita harian online). Penumpang yang berang dengan penangguhan waktu berlepas pesawat syarikat penerbangan antarabangsa Pakistan telah bertindak mengusir dua orang ahli politik berpengaruh di negara tersebut daripada menaiki pesawat domestik menuju ke Islamabad. Dua orang ahli politik berkenaan dipersalahkan akibat lewat tiba di lapangan terbang.
Rehman Malik, mantan menteri dalam negeri Pakistan akhirnya terpaksa berputih mata ketinggalan penerbangan itu. Namun, menerusi akaun twitter, Rehman dipetik sebagai berkata, "Siapa yang patut dipersalahkan bagi kelewatan ini? Saya atau PIA? Sudah tentu PIA." Seorang lagi ahli politik kanan, Ramesh Kumar Wakwami turut mengalami nasib yang sama dengan Rehman.
Sikap ahli politik rantau Asia Selatan yang tidak menghormati masa terpalit kepada imej dan integriti PIA yang dilabel sebagai tidak cekap. PIA terkenal kerana kelewatan jadual penerbangan hanya sebab melayan jadual ahli politik yang tidak keruan. Maka, tindakan penumpang PIA itu, walaupun mungkin dilihat sebagai tidak menghormati pemimpin, ialah gambaran zahir luahan tentang keakuran terhadap integriti.
Sudah tentu bukan semua ahli politik Pakistan bersikap demikian. PIA juga bukanlah buruk belaka dari segi perkhidmatan dan perihal pematuhan S.O.P. yang lain. Pengalaman peribadi penulis blog (PB) ketika menggunakan perkhidmatan PIA dan berjam-jam di lapangan terbang Karachi meninggalkan kenangan yang baik-baik sehingga ke hari ini. Mereka sangat menghormati penumpang Malaysia, malah didapati memberi layanan istimewa kepada warga emas dan kanal-kanak.
Hanya satu perkara yang menggusarkan perasaan ketika di sana, iaitu apabila kawalan ketat pasukan keselamatan sama ada di hotel dan pintu masuk lapangan terbang. Bayangkan muncung mesingan sentiasa menghala ke arah van yang dinaiki penumpang. Jika tersilap petik picu mesingan, alamat penumpang dikirim ke alam baqa' mempunyai kebarangkalian yang sangat tinggi.
Pesawat yang PB naiki menuju Singapura terlewat tujuh jam daripada jadual berlepas yang asal. Khabarnya, pihak keselamatan perlu melakukan pemeriksaan ancaman bom dan aspek teknikal yang lain. Hikmahnya, PB sempat meninjau kedai cenderamata di dalam kawasan lapangan terbang yang dibenarkan setelah memasuki balai berlepas, serta membawa pulang koleksi oleh-oleh hiasan.
Telatah masyarakat timur tengah yang kurang menghargai masa juga sering diluahkan oleh ahli akademik dan ahli perniagaan yang berurusan dengan pak-pak Arab. Menunggu berjam-jam lamanya sebelum bermula seminar atau mesyuarat bukan lagi perkara luar biasa di sana. Nasib baik masing-masing memiliki peranti elektronik mudah alih untuk mengisi masa menunggu yang panjang untuk kegiatan produktif yang lain.
Konsep menepati masa (on the dot) boleh ditambah baik kepada mendahului masa (ahead of time). Sesuatu perjalanan atau urusan yang ada risiko halangan dan sekatan yang memakan masa hendaklah memperuntukkan masa tambahan atau pelan B. Pendek kata, sebarang bentuk kegagalan menepati masa berpunca daripada proses perancangan yang lemah.
Dalam surah al-Asr diingatkan bahawa demi masa sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran. Maka, integriti dan kebijaksanaan hakiki tertakluk kepada cara seaeorang itu mengisi masa berdasarkan kriteria yang digariskan. Kalaulah kita sentiasa ingat bahawa masa ialah kehidupan ...
No comments:
Post a Comment