Antara ciri sesebuah organisasi atau masyarakat yang berintegriti ialah bertindak cepat apabila berhadapan dengan krisis. Masalah yang terjadi tidak boleh dibiarkan berlarutan sehingga akhirnya meningkatkan kos. Kesilapan yang sama tidak wajar berulang berkali-kali.
Sikap acuh tidak acuh, tidak cakna dan tidak peduli sering dibayar dengan harga yang tinggi pada kemudian hari. Perbuatan sesuka hati generasi kini mungkin hanya akan ditanggung berselang generasi. Perjalanan menuju sebuah masyarakat madani yang menjunjung integriti atau keutuhan sesungguhnya tidak semudah lontaran idea.
Sebuah bot yang dipercayai milik nelayan pesisir pantai kelihatan dibiarkan tenggelam sedikit demi sedikit berhampiran jeti pasar besar Dungun pagi tadi. Tiada kelibat pasukan penyelamat ketika kejadian. Sumber orang awam memberitahu bahawa semua petugas dan perkakas sudah dipindahkan. Adakah bot itu sengaja dibiarkan menghuni dasar sungai untuk menjadi tukun tiruan tanpa dirancang?
Sungai Dungun bersambung dengan muara Laut Cina Selatan tidak sampai satu kilometer dari tempat kejadian. Di sana terdapat kompleks jeti pendaratan ikan kendalian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Projek naik taraf kompleks kepada pelabuhan khabarnya dalam proses perancangan.
Kejadian bot karam atau bot terdampar di pantai akibat dipukul ombak ketika tidak beroperasi pada musim tengkujuh bukan cerita baharu. Namun, apabila bot tenggelam dalam cuaca cerah menimbulkan isu integriti. Adakah tuan punya bot tidak kisah, atau lebih baik dibiarkan begitu?
Kos kawalan pencemaran sungai dan laut di negara kita menjadi tinggi akibat sikap tiada integriti pelbagai pihak. Pemandangan sisa buangan, sampah dan plastik yang hanyut dan timbul di permukaan laut dan sungai di negara kita sudah biasa. Kedegilan untuk memberi kerjasama bukan sahaja datang daripada golongan berpendidikan rendah, bahkan oleh industri yang menggaji pengurus berkelulusan ikhtisas.
Kes bot tenggelam di Kuala Dungun memberi gambaran betapa integriti belum menjadi keutamaan masyarakat kita. Andai sekalipun bot berkenaan sudah hendak dihapus kira, cara pelupusan yang dipilih nyata tidak bijak. Kelak banyak pihak yang akan menanggung akibat buruk seperti dasar sungai yang semakin cetek.
Pepatah Peranchis mengatakan bahawa percaya separuh sahaja terhadap apa yang kamu lihat dan jangan percaya langsung terhadap apa yang kamu dengar mungkin menjadi batasan perbincangan ini. Namun, kes yang diperhatikan itu memberi natijah tentang gambaran zahir isu integriti. Kita sudah jenuh bercakap tentang sikap pemandu kenderaan, pengunjung taman rekreasi dan penjaja jalanan ...
No comments:
Post a Comment