Wednesday, September 10, 2014

KEPUTUSAN RAYUAN IPTA 15 SEPTEMBER (PRAY HARD AND KEEP THE DREAM ALIVE)

Pelajar baharu institut pengajian tinggi awam (IPTA) ambilan pertama sesi 2014/15 telah pun mendaftar secara rasmi pada 2 September yang lalu. Kini, mereka sedang menjalani minggu suai kenal yang padat dengan taklimat pengajian dan kemahasiswaan. Pertemuan dengan penasihat akademik dijangka berlangsung pada minggu kedua bagi merangka pendaftaran kursus semester pertama. 

Pada kebiasaannya, pelajar disarankan menyelesaikan kursus wajib universiti (misalnya kenegaraan dan tamadun Islam), kursus wajib fakulti sebelum dibenarkan mendaftar untuk kursus elektif. Tempoh tiga minggu untuk proses tambah dan gugur (add and drop) serta membuat tinjauan kursus (shopping) lebih relevan untuk pelajar senior. Pelajar baharu akan bergegas ke bilik kuliah bagi mendapatkan senarai buku rujukan tanda merah (red spot) yang hanya boleh dipinjam dalam tempoh dua jam.

Kumpulan pelajar yang sudah lama berkawan di sekolah yang sama atau pusat tuisyen yang sama lebih bertuah kerana boleh mengatur pakatan untuk berkejar ke perpustakaan bagi mendapatkan buku tanda merah yang tersenarai. Banyak cara boleh dibuat untuk membuat salinan sama ada menerusi fotokopi atau cara baharu menerusi rakaman kamera pintar dan perkongsian aplikasi WhatsApp. Pelajar juga boleh mempelajari akses rujukan atas talian yang dilanggan oleh pihak universiti, serta mengenali bilik jurnal untuk dapatan penyelidikan terkini.

Segala-galanya perlu cakna, cekap dan cepat. Tempoh kira-kira 14 minggu kuliah perlu diisi dengan penuh kebijaksanaan dan strategi supaya sasaran purata nilai gred kumulatif (pngk) tertinggi tercapai. Tidak mengapa bertungkus-lumus dan bersusah-susah dahulu kerana selepas tamat semester dengan segala kuliah, tutorial, tugasan, laporan makmal dan klinikal, pembentangan kertas seminar, kuiz dan peperiksaan, menyusul pula tempoh cuti yang agak panjang.

Pengalaman kehidupan kampus juga perlu dinikmati sepenuhnya. Sesibuk mana sekalipun dengan kegiatan akademik, pelajar universiti hendaklah meluangkan masa untuk riadah, sukan, persatuan mahasiswa, program syarahan, forum dan masjid. Urusan keperluan asas, iaitu makanan, pakaian dan penginapan hendaklah dipastikan beres supaya pengajian berjalan lancar. Persekitaran yang serba mencabar ini ialah proses pendewasaan dan penjanaan modal insan yang berdaya saing.

Pelajar yang berhadapan dengan sumber kewangan yang terhad hendaklah panjang akal supaya dapat menyediakan hidangan yang mencukupi tetapi dengan kos yang rendah sahaja. Lagak orang lain tidak usah ditiru jika memudaratkan diri sendiri. Pelajar harus berani berjumpa perunding cara (kaunselor) dan unit kebajikan andai kata keadaan ikat perut yang dialami semakin berat.

Pelajar tahun pertama universiti laluan prauniversiti secara terus sudah mencecah umur 20 tahun. Namun, terdapat juga pelajar veteran dengan jolokan 'mahasitua' yang mungkin dalam kalangan guru dan pegawai yang bercuti belajar. Hal itu mungkin berupa kejutan kerana 'mahasitua' lazimnya lebih licik untuk rapat dengan pensyarah yang mungkin sebaya atau lebih muda.

Pelajar yang telah berjaya menjejakkan kaki di menara gading sebagai mahasiswa, bukan sekadar kakitangan atau pengunjung biasa, wajib bersyukur kerana di luar kampus betapa ramai pemohon yang memasang impian untuk bergelar mahasiswa. Saban tahun, jumlah pelajar yang mendaftar ke IPTA untuk ambilan pertama tidak sama dengan jumlah tempat yang disediakan justeru ada pemohon yang beroleh dua tawaran sekali gus, atau memilih kursus yang dihajati di IPTS. Maka, tempat yang masih kosong itu akan ditawarkan kepada calon simpanan yang membuat rayuan.

Tarikh keputusan e-rayuan ke IPTA telah diumumkan, iaitu pada tanggal 15 September 2014 ini, bersamaan hari Isnin hadapan. Debaran pemohon e-rayuan pasti bertambah kencang. Doa dan harapan peribadi pemohon, bersekali dengan munajat ibu bapa menjadi sandaran.

Kelak penantian bakal berakhir jua. Tindakan susulan hanya boleh dilakukan setelah keputusan rayuan diumumkan. Andaian dan pelan kecemasan tidak banyak membantu ...

No comments:

Post a Comment