Monday, October 27, 2014

KERJA AMAL KELAB MOTOSIKAL BERKUASA TINGGI (CREATIVE WAY OF HELPING DISADVANTAGES)

Pagi Ahad yang lalu, gerai capati Gazebo Abang Nash berhampiran kelab golf Water Sanctuary, Kampung Seri Rahmat menghala ke pekan Batu Gajah 'diserbu' secara serentak oleh sekumpulan besar pelanggan. Tuan punya gerai, seorang pengurus wilayah sebuah syarikat makanan segera yang berpangkalan di Johor Bahru kelihatan tidak menang tangan dan berpeluh melayan pesanan pelanggan. Kebetulan terdapat empat buah meja digabungkan untuk meraikan sepasang mempelai menyebabkan pelanggan yang baru tiba berdiri menunggu tempat duduk dikosongkan.

Seperti biasa terdapat pesanan bawa balik dalam jumlah yang besar oleh pelanggan tertentu, misalnya 20 keping capati atau capati telur cicah ikan sardin. Nasi lemak, mi kari, mi kicap, kuih muih dan nasi goreng menjadi rebutan. Minuman panas dan sejuk juga kelihatan ditatang oleh petugas kepada pelanggan silih berganti.
Gerai capati Abang Nash yang dijenamakan sebagai Gazebo Abang Nash menjadi tempat berkumpul dan berbincang secara tidak rasmi oleh kumpulan konvoi berbasikal mountain bike dan kumpulan konvoi motosikal kapcai, dan juga berkuasa tinggi. Abang Nash ialah anggota aktif kedua-dua kelab, malah boleh dianggap sebagai penasihat yang berwibawa. Maka, sebahagian kegiatan kumpulan menggunakan Gazebo Abang Nash sebagai pangkalan untuk bergerak.

Terpampang dengan jelas kain pemidang sepanduk tentang kegiatan amal kumpulan konvoi motosikal iaitu kempen makan capati sambil beramal. Capati Abang Nash memang istimewa, terutama capati telur gulung. Mungkin idea Abang Nash boleh dimajukan sebagai suatu jenama yang memiliki hak paten suatu hari nanti.

Abang Nash sudi mengorbankan sebahagian keuntungan jualan capati untuk didermakan kepada sebuah kompleks rumah anak yatim tempatan dan juga kepada pejuang Gaza di Palestin. Jumlah sumbangan yang kecil hanyalah suatu permulaan kerana sudah pasti ada idea lanjutan tentangnya. Sokongan yang diterima akan membuka jalan dan menyemarakkan semangat untuk usaha amal yang sangat murni.

Kegiatan pemilik kenderaan berkumpulan memang sudah menjadi kegilaan di seluruh dunia, termasuk kereta antik, kereta mewah dan motosikal biasa. Beberapa kes kemalangan yang turut membabitkan selebriti seperti Datuk K di New Zealand, Allahyarham Sophan Sofean (aktor Indonesia), dan terkini seorang jurutera muda, Allahyarham Hazalli tidak memudarkan semangat anggota kelab pemotoran yang semakin aktif. Malah, usaha kebajikan yang dilaksanakan wajar mendapat penghargaan yang tinggi.

...

...

No comments:

Post a Comment