Alasan mengejar masa ialah
ungkapan klise bagi golongan yang sering makan minum di luar rumah. Selain itu,
ada juga alasan tentang tukar selera atau berasa jemu dengan makanan ringkas
yang boleh disediakan sendiri seperti lempeng kosong cicah kari atau oat.
Hakikat sebenar ialah masih punya wang dan kuasa beli, serta tidak payah
mencuci perkakas makanan.
Bagi pegawai kerajaan kumpulan A
(pengurusan dan profesional), mereka dilarang daripada membeli atau menikmati
makanan di tepi jalan sepertimana yang digariskan dalam perintah am kerajaan.
Namun, sama ada memang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu, peraturan itu
hanya tinggal di atas lembaran naskhah perintah am yang tidak pernah ditelek
lagi setelah melepasi proses pelantikan dan pengesahan jawatan. Tambahan pula,
makanan yang dijual oleh penggerai, penjaja dan peniaga pasar malam selalu pula
lebih enak dan berkhasiat justeru sudah terdapat penjual jalanan yang memiliki
kelayakan kulinari dan sajian.
Kriteria pemilihan makanan ialah
dari segi harga, kebersihan, layanan dan kedudukan sesebuah tempat jualan.
Pelanggan juga kebiasaannya peka tentang penampilan dan kesihatan penjual
makanan. Semoga suatu hari nanti, semua penaiaga makanan perlu mempamerkan
sijil kelayakan perniagaan setelah lulus saringan kesihatan dan kursus intensif
penjualan makanan berkhasiat.
Ipoh memang terkenal sebagai
tumpuan pengunjung untuk makan-makan, lebih-lebih lagi pada pada hujung minggu dan musim percutian.
Bandaraya Ipoh hidup 24 jam kerana banyak premis makanan, khususnya restoran
mamak sentiasa dibuka. Orang ramai seakan-akan tidak peduli tentang keburukan
berat badan berlebihan atau bahaya perisa tambahan tertentu.
Terdapat sebuah restoran yang
mendapat sambutan hangat golongan pelajar dan tentera di Taman Cempaka, Ipoh
iaitu Restoran Halimah Bachik. Disebabkan sewa kedai di Taman Cempaka
berdasarkan kontrak tertentu, sudah banyak kali restoran itu bertukar tempat.
Pada hal, Halimah Bachik sudah memiliki jenama kukuh, setara dengan Restoran
Sabar Menanti dan Restoran Tasik Raban berhampiran Stadium Perak.
Pengasas restoran, Puan Halimah
Bachik sudah menyerahkan pengurusan restoran kepada adik-beradik yang lain. Cawangan
restoran di Ampang juga sudah ditutup walaupun petugas di situ juga tidak
menang tangan melayan pelanggan. Masalah tipikal dari segi memperoleh pekerja
yang amanah dan mahir yang dihadapi oleh usahawan makanan juga dikongsi oleh
Restoran Halimah Bachik.
Taman Cempaka berkedudukan strategik
justeru sebahagian besar pelajar Politeknik Ungku Omar menyewa rumah kos rendah
di situ. Selain itu, kem tentera Tambun hanya terletak bersebelahan, manakala
sekolah ternama seperti Star, Izzudin Shah dan Kolej Vokasional (dahulu Teknik
Brash) juga sangat berdekatan. Selain itu, Institut Penyelidikan Haiwan,
Jabatan Kimia dan Jabatan Geosains juga hanya dalam jarak berjalan kaki.
Restoran Halimah Bachik ‘diserbu’
ketika waktu sarapan pagi dan makan tengah hari. Hidangan roti canai dalam tray disediakan dengan lebih bersih
berbanding restoran mamak. Menu lazim seperti mi goreng, nasi goreng, kuetiau
dan lontong juga disediakan. Kuih-muih yang diletak oleh peniaga luar atas
cabutan komisen juga boleh dibeli.
Harga makanan yang perlu dibayar
memang sangat berpatutan. Barangkali keluarga Halimah Bachik mementingkan
keberkatan dalam perniagaan makanan, iaitu kebajikan dan keuntungan secara
sekali gus. Maka, kadar harga pelajar juga dapat dinikmati oleh keluarga
tentera, pensyarah politeknik dan pengunjung lain. Kaum Cina dan India juga
kelihatan sama kerana mereka juga sanggup membayar untuk hidangan yang enak dan
berkhasiat.
Restoran Halimah Bachik hanya
beroperasi sehingga pukul dua atau tiga petang setelah juadah makan tengah
tengah hari habis dijual, termasuk secara bungkus. Waktu lewat petang ialah
tempoh berehat dan bertenang buat petugas restoran. Hendaknya tabiat makan kita
juga demikian …
No comments:
Post a Comment