Langit masih gelap, sambil hujan turun renyai-renyai. Waktu solat zuhur seawal pukul satu tengah hari mungkin menjadi sebab Masjid Solatiah belum dipenuhi jemaah. Suara khatib langsung tidak kedengaran apabila ditenggelami oleh curahan hujan walaupun tidaklah begitu lebat.
Jemaah yang berada di saf pertengahan dan belakang hanya mengagak-agak perkara yang berlaku di ruang solat utama. Pemandangan mereka sedikit terhalang kerana struktur asal masjid yang dahulunya sebuah surau dengan sekatan pintu gelungsur. Sistem pembesar suara langsung tidak berfungsi pada ketika azan pertama hendak dilaungkan.
baru pulang dari masjid
(gambar hiasan)
Jemaah saf pertengahan dan belakang sangat bergantung kepada pergerakan jemaah di hadapan masing-masing. Jika pada Jumaat lain barangkali terdapat yang tidur-tidur ayam atau leka melayan perasaan (dalam masa yang sama suara khatib singgah di kuping telinga), kali ini perlu fokus sepenuhnya. Sekonyong-konyong jemaah di hadapan bangun, kenalah ikut.
Lafaz amin usai imam selesai membaca al-Fatihah juga bersambung daripada jemaah di hadapan. Maka, makmum dapat memulakan bacaan al-Fatihah tepat pada masanya sambil berharap imam memberi masa yang mencukupi. Tanpa mengetahui apa yang terjadi seterusnya, jemaah di pertengahan dan belakang menurut sahaja jemaah di hadapan rukuk dan i'tidal.
Sujud pertama tiada masalah kerana masih boleh menurut sahaja pergerakan jemaah hadapan. Waktu sujud memang susah hendak mengerling jemaah di hadapan. Maka, kenalah buat anggaran masa sendiri untuk duduk antara dua sujud dan untuk bangun meneruskan rakaat kedua.
pemandangan selepas hujan reda di Taman Gunung Sejahtera,
bersebelahan Plaza Tol Ipoh Selatan, Lebuh Raya Utara Selatan
Keadaan yang sama berlaku pada rakaat kedua, termasuk untuk tahayat akhir. Pengalaman solat Jumaat tanpa mendengar suara khatib dan imam barangkali suatu pengalaman yang sukar untuk dilupakan. Banyak iktibar yang boleh diambil oleh semua pihak.
Jemaah memang dituntut seboleh mungkin berada di saf paling hadapan berdekatan imam. Selain mendapat janji ganjaran pahala paling tinggi, ketiadaan sistem pembesar suara tidak menjejaskan mereka. Suara dan pergerakan imam masih dekat dan jelas.
Pihak pengurusan masjid pula perlu bersedia dengan kelengkapan luar jangka, misalnya pembesar suara mudah alih. Maklumlah, sebahagian jemaah sebenarnya bergocoh-gocoh dari tempat kerja masing-masing. Pertolongan yang kecil sahaja sangat besar ertinya kepada sekalian jemaah ...
No comments:
Post a Comment