Sifat pemurah bukan boleh dibuat-buat kerana sebagai amalan mulia, ia datang dari jiwa yang suci dan niat yang tulus ikhlas. Orang akan perasan jika seseorang itu hanya berpura-pura atau sekadar mahu menunjuk-nunjuk betapa dia seorang dermawan. Melainkan seseorang itu sentiasa insaf bahawa dia pada mulanya lahir sebagai bayi yang tidak berdaya dan tidak punya apa-apa, dia akan terpengaruh dengan sikap tamak haloba, bakhil dan kedekut seperti kata pepatah, tangkai jering.
Insan yang beriman sentiasa bermuhasabah diri bahawa harta benda atau kekayaan yang dimiliki ialah rezeki kurniaan Ilahi yang boleh ditarik bila-bila masa. Kisah Qarun (klik di sini atau tonton videonya di sini) patut menjadi iktibar tentang padah nikmat yang tidak disyukuri. Namun, kisah masyhur Tsa'labah yang dikatakan juga lupa diri (enggan membayar zakat) didapati tidak sahih (klik di sini).
klik untuk imej paparan penuh
Siti Khadijah radiallahu anha, Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Khattab dan Abdul Rahman bin Auf merupakan contoh hartawan yang sanggup berjihad dengan harta benda yang mereka miliki demi kelangsungan dakwah generasi awal Makkah dan Madinah. Berkat pengorbanan mereka, Islam telah tegak dan berkembang di seluruh maya pada ini. Orang-orang yang beriman terhutang budi kepada kaum kerabat dan sahabat baginda Junjungan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam.
Sikap pemurah juga tumbuh dalam kalangan masyarakat yang mementingkan akal budi tidak kira kepercayaan anutan mereka. Keratan akhbar di atas menunjukkan masih ada insan yang tidak pernah lupa akan asal usul dan sokongan kejiranan sebelum mereka bertuah muncul sebagai orang kaya. Xiong Shuhua, 54, berkongsi kehidupan yang selesa dengan bekas tetangga di kampung halaman asal beliau.
Bill Gate, pengasas Microsoft juga hanya mengambil USD10 juta untuk dirinya dan keluarga, walhal kekayaan miliknya mencecah puluhan bilion USD. Bill Gate telah menubuhkan yayasan untuk membantu pelbagai golongan di seluruh dunia, serta bekerja dengan yayasan berkenaan. Bill Gate hanya menyarung pakaian kasual dan kasut sneaker.
Di Malaysia sendiri, Syed Mokhtar al-Bukhari, pemilik pelbagai syarikat awam yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia menubuhkan yayasan untuk menyumbang terhadap pelbagai organisasi dan masyarakat. Universiti al-Bukhari yang membiayai pengajian pelajar miskin dari seluruh dunia Islam tanpa sebarang bayaran, walaupun menghadapi masalah pengurusan baru-baru ini, masih terus beroperasi. Beliau menyerahkan semula sebahagian kekayaan yang dikumpul menerusi kegiatan ekonomi masyarakat sebagai suatu perkongsian nikmat rezeki yang wajib disyukuri.
Apabila segala sistem pengagihan semula kekayaan dilaksanakan dengan berkesan dan cekap, nescaya kita tidak memerlukan Robin Hood yang merompak orang kaya bagi membantu orang miskin. Kewajipan berzakat, amal jariah, sedekah, wakaf dan cukai bukan sahaja membersihkan harta kekayaan yang dimiliki, bahkan menyumbang terhadap pewujudan masyarakat yang penyayang dan rukun damai. Kadar jenayah dapat diturunkan walaupun akan tetap ada kelompok melencong dan pinggiran yang bertindak berdasarkan hawa nafsu dan hasutan iblis laknatullah.
Kisah Xiong Shusua menjadi bukti betapa sokongan kaum keluarga dan jiran tetangga turut menjadi faktor kritikal yang mempengaruhi kejayaan seseorang. Sudah pasti beliau berasa sangat bahagia justeru memiliki kesempatan melihat wajah-wajah ceria yang pernah memberi dorongan terhadap kesenangan yang dinikmati. Bagi kita yang ala-ala sahaja, sumbangan dalam jumlah yang tidak seberapa juga mungkin mampu menghadirkan ceria kepada insan lain, insya-Allah ...
No comments:
Post a Comment