Musim murid cemerlang UPSR untuk memilih sekolah menengah idaman masing-masing sudah pun bermula. Ibu bapa dan keluarga yang prihatin juga turut berdebar-debar terhadap pilihan si cilik dan sama-sama menunggu proses panggilan ujian dan temu duga, sama ada di bawah kuota pengetua mahupun tapisan kemasukan ke sekolah beasrama penuh (SBP), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah kebangsaan agama berasrama penuh (SMKA), SBP integrasi, sekolah agama negeri dan sekolah kawalan yang lain. Bagi yang memilih sekolah harian berhampiran rumah, pencapaian sekolah yang berkenaan juga diberikan perhatian.
SBP dan MRSM bersaing hebat bagi menarik kemasukan murid terbaik (cream of the cream, atau the first cream). Berita kejayaan tiga orang pelajar MRSM Kuantan dalam pertandingan World Scholar's Cup yang berlangsung di Universiti Yale, salah sebuah universiti terbaik dunia (setara dengan Harvard, Oxford, Cambridge dan MIT) pada 21 hingga 24 November yang lalu sudah pasti suatu promosi yang membuka mata calon-calon terbaik UPSR yang baru lalu. MRSM yang bernaung di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar turut membuka kuota sebanyak lima peratus kepada calon bukan bumiputera.
sumber: BH Ahad, 30.11.2014
Di sebalik kebimbangan tentang penarafan sistem pendidikan negara menerusi PISA dan TIMMS, tiga orang pelajar tingkatan empat MRSM Kuantan di atas membuktikan betapa pelajar sekolah di negara kita masih perlu dihormati dan dipandang tinggi. Kaedah pembelajaran MRSM yang menekankan prinsip berdikari, kepimpinan dan kemahiran insaniah, khususnya aplikasi kepintaran kumpulan ternyata berkesan. Tenaga pengajar dan warga MRSM memiliki kesempatan yang begitu luas untuk mencuba pembaharuan dan kebebasan kreativiti yang autentik.
Ibu bapa yang menghantar anak ke MRSM mungkin berasa sedikit cemas kerana begitu banyak kegiatan di luar pembelajaran rasmi dilaksanakan. Misalnya, terdapat minggu aktiviti, minggu 'fesyen', karnival graduasi dan sebagainya. Sistem guru ganti (relief) untuk guru yang menghadiri kursus atau mengambil cuti juga tidak sama.
sumber: Ibid
Hasrat asal penubuhan MRSM sudah tentu bagi mencungkil serta menggilap bakat serta potensi murid luar bandar, khususnya mereka yang datang dari latar belakang sosioekonomi yang kurang beruntung. Lebih kurang 70 peratus enrolmen murid MRSM termasuk dalam kategori berkenaan. Ruang untuk murid pintar dalam kalangan kategori yang lain tidaklah ditolak sepenuhnya, tetapi mereka perlu membayar caruman penuh (bayaran makan bulanan) dan caj yang lain.
Walaupun usia penubuhan MRSM masih baharu secara berbanding dengan SBP premier atau sekolah mission, lulusan MRSM juga cepat menonjol dari segi pencapaian akademik, kerjaya, kepimpinan dan sumbangan masyarakat yang lain. Angkasawan negara yang pertama, Dr. Sheikh Mudzafar, aktres Neelofa dan banyak lagi tokoh perniagaan serta politik pernah bergelar budak MRSM. Kalau ditinjau komuniti profesor atau pensyarah universiti, sumbangan MRSM memang sangat jelas.
Bakat atau potensi kanak-kanak pintar mungkin terpendam begitu sahaja andai kata tidak dikenal pasti, digilap dan ditolong menerusi proses campur tangan (intervensi), khususnya pelaksanaan sistem pendidikan yang berdaya saing (klik di sini). Maka, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) telah menyediakan landasan yang tepat ke arah itu bukan sahaja di SBP atau MRSM, bahkan di semua sekolah. Pensiswazahan guru sekolah menengah sudah hampir benar menuju 100 peratus, manakala guru sekolah kebangsaan juga ke arah itu.
Pilihan kemasukan ke tingkatan satu yang bersifat pelbagai ini sejajar dengan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu pendidikan bermutu untuk semua murid. Malah, program pendidikan khas untuk murid pintar cerdas dan murid kurang beruntung (keperluan khas, bermasalah pembelajaran) tidak pernah dikesampingkan. Sistem pembelajaran di MRSM juga menjadi penanda aras kritikal pencapaian pendidikan di negara kita ...
No comments:
Post a Comment