Pekeliling Ikhtisas Bilangan 2 Tahun 2014: Etika Pakaian Murid Tingkatan Enam (format pdf klik di sini) menandakan bahawa proses penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam masih berjalan. Konsep pengasingan dengan aliran perdana persekolahan tingkatan satu hingga lima memberi autonomi pentadbiran kepada pengajian tingkatan enam. Projek rintis kolej tingkatan 6 telah pun dilaksanakan walaupun masih menumpang bangunan sekolah menengah yang sedang menghentikan pengambilan murid aliran perdana secara berperingkat-peringkat.
Kolej tingkatan enam bakal
diketuai oleh seorang pengarah, sambil dibantu oleh beberapa orang timbalan
pengarah dan ketua-ketua jabatan pengajian. Pembiayaan kolej tingkatan 6 tidak
lagi tertakluk kepada peruntukan per kapita murid aliran perdana, sebaliknya
dijangka memperoleh geran peruntukan sebagaimana yang dinikmati oleh pusat
asasi dan matkikulasi di bawah naungan Kementerian Pendidikan. Kolej juga dijangka menerima kakitangan pejabat dan
sokongan yang akan tertakluk kepada terma lantikan tertentu.
Sementara semua pelajar tingkatan
6 dapat ditempatkan di kolej, sebahagian kelas sedia ada, khususnya di sekolah
premier, proses yang sama akan berlaku. Sebagai permulaan, pekeliling yang
ditandatangani oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM), Dato’ Seri Dr.
Khair bin Mohamad Yusof menunjukkan bahawa kelas tingkatan 6 di sekolah aliran
perdana juga seiring dan sejalan dengan kolej. Perubahan secara ansur maju itu
bermaksud supaya penjenamaan semula dan pengasingan dapat berjalan dengan
lancar tanpa menjejaskan sistem persekolahan yang sedia ada.
Secara ringkas etika pakaian
pelajar tingkatan 6 yang terkini merangkumi:
1 kebenaran memakai pakaian kasual atau
tradisional;
2 kebenaran kepada pelajar lelaki memakai baju
dan seluar berwarna cerah, tetapi tidak boleh
mempunyai corak bunga atau rekaan lain;
3 kebenaran memakai baju bercorak belang atau
berpetak;
4 kebenaran memakai baju batik dan seluar
berwarna cerah;
5 kebenaran bagi pelajar perempuan memakai
baju kurung atau seluar panjang;
6 kebenaran memakai blaus berlengan, gaun
labuh dan skirt yang melebihi paras lutut;
7 sekatan untuk kemeja-T yang mempunyai imej
politik, ganas atau apa-apa yang dianggap negatif;
8 larangan memakai mana-mana pakaian yang
diperbuat daripada bahan denim.
KPPM turut memaklumkan bahawa
etika pakaian tersebut telah diluluskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa
Perancangan Pendidikan KPM ke-203 pada 21 November yang lalu. Beliau menegaskan
bahawa kebenaran tersebut merupakan usaha penjenamaan semula pengajian
Tingkatan 6. Pekeliling itu bakal berkuat kuasa mulai musim persekolahan akan
datang, iaitu tanggal 5 januari 2015.
Dengan pelaksanaan etika pakaian
yang sudah pun dicuba oleh kolej rintis mulai bulan Mei yang lalu, pelajar
tingkatan enam kini tampil dengan imej baharu yang lebih bergaya. Mereka tidak
lagi seperti murid sekolah menengah aliran perdana, sebaliknya lebih menyerlah
sebagai bakal mahasiswa. Setelah memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM), pelajar tingkatan 6 boleh dianggap sudah sebelah kaki ke menara gading
idaman.
Proses penjenamaan semula
pengajian tingkatan 6 dianggap kritikal supaya memiliki daya saing dengan
pengajian persediaan universiti yang lain, terutama kolej matrikulasi dan pusat
asasi sains tajaan KPM sendiri. Selain itu, daya tarikan politeknik dan
institut pengajian tinggi swasta juga diambil kira. Sejarah pengajian tingkatan
6 yang lebih panjang, serta sumbangan yang unggul terbukti menerusi sekian
ramai tokoh yang pernah belajar di tingkatan 6 untuk menduduki peperiksaan
Sijil Tinggi Persekolahan (STP, HSC
sebelum STPM diperkenalkan).
Segala pembaharuan dan
penambahbaikan yang berlaku terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013 – 2025. Pelajar lepasan SPM diberi pilihan yang adil dan setara
jika berhasrat untuk menyambung pengajian hingga ke peringkat ijazah asas. Sasaran
40 peratus penduduk Malaysia memiliki akses pengajian tinggi akademik dan kemahiran
kini lebih jelas …
Cikgu azhar saya nak tanya ni... Ada tak sekolah yang menawarkan tingkatan 6 sepenuhnya? Maksudnye sebuah sekolah yang semuanya tingkatan 6.. Kerana saya mahukan sekolah tersebut.. Tak silap saya adakan? Tapi saya tak tahu apa nama sekolahnya? Kalau cikgu azhar tahu tolong beritahu saya... Saya inginkan suasana tingkatan 6 keseluruhannya..
ReplyDeleteCikgu azhar saya nak tanya ni... Ada tak sekolah yang menawarkan tingkatan 6 sepenuhnya? Maksudnye sebuah sekolah yang semuanya tingkatan 6.. Kerana saya mahukan sekolah tersebut.. Tak silap saya adakan? Tapi saya tak tahu apa nama sekolahnya? Kalau cikgu azhar tahu tolong beritahu saya... Saya inginkan suasana tingkatan 6 keseluruhannya..
ReplyDeleteSalam muhammad syahmi bin nazarudin,
ReplyDeleteSetiap negeri ada sekolah pusat tingkatan 6. hubungi / layari portal rasmi jabatan pendidikan negeri atau ppd yang berdekatan. kalau di ipoh ada 2 buah (seri ipoh, seri putera), kuala kangsar 1 (smk raja muda musa).