Thursday, January 8, 2015

TIDAK SEMESTINYA BERPAKAIAN SERAGAM KE SEKOLAH (UNCONDITIONAL WELCOME TO THE CLASSROOM)

Berita gempar ini pasti membuatkan budak sekolah melonjak keriangan. Bukan sahaja tidak perlu menyarung kemeja putih, seluar panjang hijau, baju kurung dan kain sarung, bahkan berkain pelikat pun dialu-alukan. Murid hanya dikehendaki hadir ke sekolah masing-masing sebaik sahaja sesi persekolahan bermula pada 11 dan 12 Januari ini.

Nampak gayanya bukan pelajar tingkatan enam atas sahaja yang boleh menayang baju kasual dan bergosip sesama sendiri, murid aliran perdana juga boleh berbuat demikian. Juga tidak perlu mendaftar di sekolah antarabangsa untuk kelihatan berbeza. Adakah hal ini yang disebut sebagai pemikiran di luar kotak?
 klik untuk paparan penuh

Sebelum berlaku salah faham, silalah baca salinan keratan akhbar Kosmo! dalam paparan di atas. Hanya di Kelantan, bukan di  negeri lain. Di negeri-negeri lain kena patuh kepada peraturan berpakaian seragam  yang ditetapkan, melainkan jika berlaku kecemasan. Kelonggaran yang diberikan hanya untuk mangsa bencana banjir di Kelantan.

Satu lagi hal yang mesti difahami ialah cakap berlapik dan bahasa kiasan. Pakai kain pelikat ialah sekadar contoh paling ekstrem. Budak lelaki zaman sekarang semasa di rumah pun tidak pernah kenal kain pelikat.

Murid juga diharap tidak mengambil kesempatan atas kelonggaran yang diberikan itu dengan memakai pakaian yang tidak senonoh, melainkan memang pakaian itu sahajalah yang mereka ada. Khabarnya, di sesetengah tempat, sumbangan derma pakaian sudah melebihi keperluan mangsa banjir. Harapan kita agar lebihan berkenaan dapat diagihkan pula ke tempat yang mengalami kekurangan (macam teori perbankan pula bunyinya).

Pengarah Pendidikan Kelantan, Tuan Hussain bin Awang, nama tipikal orang pantai timur, memberikan contoh jiwa besar dan nilai murni sebagai seorang pemimpin pendidikan yang prihatin. Mana-mana peraturan sama ada bernama statut undang-undang, amalan profesional, hukum-hakam dan ketetapan sentiasa ada pengecualiannya apabila berlaku sesuatu keadaan yang khusus. Walaupun disiplin dan tatacara yang piawai sentiasa mustahak, tetapi andai kata dalam keadaan tertentu boleh menjejaskan pencapaian matlamat utama organisasi, prinsip pengecualian hendaklah diberi izin.

Peraturan sekolah misalnya menetapkan murid yang lewat tiba di sekolah akan dikenakan tindakan disiplin, tetapi dalam masa yang sama berharap merekodkan sifar ponteng sekolah. Kejutan boleh dilakukan dengan memberi ganjaran kepada murid yang sanggup hadir ke sekolah walaupun didapati kerap terlewat. Apabila murid tersebut berasa selamat serta dilindungi, tindakan susulan ialah sesi berkaitan dengan jati diri dan sikap asertif yang boleh menolong murid mengenal pasti punca sebenar kelewatan serta jalan keluar daripada halangan yang terjadi.

Berdasarkan pengalaman sebenar di sekolah, hubungan pegawai atasan (superior) dengan subordinat lebih bersifat kepimpinan paksaan pentadbiran (coercive) daripada kepimpinan kepakaran dan kepimpinan transformasional (seperti yang ditunjukkan oleh Pengarah Pendidikan Kelantan dalam kes banjir yang membabitkan murid dan keluarga mereka). Mesyuarat menjadi sangat panjang dan membosankan kerana pemimpin yang berasa subordinat serba tidak tahu dan mesti dikenakan kawalan macam zaman teori X. Banyak pembaziran sumber kepakaran akan terus berlaku jika proses perubahan sentiasa dicengkam oleh keinginan mengekalkan status quo sepenuhnya ...

No comments:

Post a Comment