Jenayah rasuah sangat berkaitan dengan kuasa. Pihak yang mempunyai akses kuasa untuk membuat keputusan menjadi sasaran utama pemberi rasuah. Maka, tidaklah menghairankan jika pegawai yang mengendalikan tender projek, meluluskan pelan bangunan, urusan permit import (AP) di pelabuhan dan notis saman sering didekati oleh runner yang diupah oleh pelanggan yang hendak cepat menyelesaikan urusan melalui jalan pintas, iaitu sogokan.
Bayaran perlindungan pula suatu modus operandi peras ugut oleh kumpulan samseng di sesuatu kawasan kecil, malah mungkin mempunyai rangkaian seperti Mafia dan Yakuza. Mereka mengutip bayaran tetap bulanan misalnya kepada penduduk di kawasan perumahan supaya tidak diganggu oleh kumpulan samseng yang lain. Samseng 'melindungi' orang awam daripada samseng lain!
Kedua-dua bentuk jenayah kolar putih dan gangster yang hidup mewah dengan punca wang haram serupa sahaja walaupun penampilan mereka mungkin berbeza. Pegawai yang kaki rasuah berpakaian kemas, bertali leher, duduk di kerusi empuk dan bilik berhawa dingin. Sosok zahir mereka kelihatan sebagai orang bijak, berhemah, berwibawa, cekap dan berkeperibadian unggul.
Samseng kaki 'pau' pula berwajah bengis, penuh dengan tatu di badan, serta memiliki senjata berbahaya yang mengancam nyawa mangsa. Mereka juga mempunyai organisasi dan carta kuasa yang tertentu. Penggunaan pelbagai alat canggih dan kod isyarat operasi jenayah mereka juga begitu licik serta terancang.
Tanpa menghulur duit kopi, fail permohonan seseorang mungkin terperap berbulan-bulan lamanya. Pelahap rasuah akan meletakkan fail permohonan yang masih baharu di bahagian atas. Apabila ditanya, macam-macam alasan teknikaliti akan diberikan.
Sungguh memalukan apabila kontrak bukan Islam bercerita betapa dia terpaksa menyediakan duit kopi kepada penguat kuasa dan pegawai beragama Islam supaya dia tidak diganggu. Tandatangan pegawai bernilai RM200, manakala duit kopi penguat kuasa seorang RM50 untuk beberapa orang. Adakah penguat kuasa dan pegawai yang membawa nama Islam itu tidak kenal halal dan haram?
Penguat kuasa dan pegawai yang kaki duit kopi itu hidup mewah dengan berselindung di sebalik beberapa kerja sambilan selepas waktu pejabat kononnya.Mereka tidak ubah seperti peminjam wang tidak berlesen (ah long, ceti haram) yang memiliki sederetan kedai yang lengang, tetapi dilihat memandu kenderaan mewah. Barangkali kerana sudah sebati bergelumang dengan punca kewangan secara hina, mereka langsung tidak pernah rasa bersalah.
Samseng yang mengutip wang perlindungan juga menyamar sebagai penjual plastik di pasar malam bagi mengabui orang ramai tentang kegiatan menindas peniaga kecil dengan bungan hutang yang tinggi. Prinsip institusi kewangan yang hanya sanggup memberi kredit kepada golongan yang ada jaminan kewangan untuk proses bayar balik memberi laluan kepada kegiatan ah long itu. Institusi kewangan berteraskan syariah termasuk Baitu Mal tidak pernah mengambil daya usaha berskala besar bagi mencari jalan keluar kepada kemelut riba yang membelenggu peniaga kecil Islam.
Seorang pengusaha bengkel kereta keturunan Cina juga mendakwa bahawa dia terpaksa membayar perlindungan kepada samseng upahan supaya perniagaan dan keluarganya tidak diganggu. Maknanya, kegiatan kongsi gelap zaman dahulu masih aktif, tetapi dengan cara baharu. Kalau raja dadah di benua Amerika Latin boleh berkuasa dengan jutaan pengikut, serta kawalan penempatan khas, samseng tempatan juga demikian, tetapi berbentuk penyamaran sebagai orang baik-baik.
Proses risikan, tangkapan, siasatan, sebutan kes dan pendakwaan tidak pernah menggerunkan pemakan rasuah dan bayaran perlindungan. Seorang penjenayah yang berjaya diberkas dan dihukum, ratusan lagi rekrut seawal usia belasan tahun menyambung kegiatan jahat itu. Perang terhadap penjenayah duit kopi dan bayaran perlindungan mesti dilancarkan secara tersusun tanpa kompromi, di samping langkah pencegahan jangka panjang menerusi kempen media dan pendidikan di sekolah ...
No comments:
Post a Comment