Antara pantun klasik yang masih kekal disampaikan menerusi generasi demi generasi berbunyi:
Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi budi dibawa mati
Walaupun jarang-jarang terlintas dalam fikiran kebanyakan orang, generasi sekarang sentiasa terhutang budi dengan generasi sebelum mereka dari segala segi. Legasi atau jasa kecemerlangan ilmu pengetahuan, kemajuan teknologi dan proses kesinambungan jati diri merupakan sumbangan yang demikian kritikal dan penting. Maka, generasi sekarang hendaklah dibimbing supaya menghargai segala susah payah yang ditempuh oleh generasi terdahulu sehinggakan kehidupan manusia terbina dengan peradaban dan tamadun yang luhur.
Bagi umat Islam, hutang budi yang paling besar dan tidak mungkin terbayar ialah pengorbanan generasi awal Makkah dan Madinah yang menyerahkan sepenuh jiwa raga dan harta benda mereka demi kelangsungan dakwah serta kesinambungan risalah tawhid sejak zaman-berzaman. Betapa Siti Khadijah telah menyumbang seluruh kekayaan yang dimiliki bagi memastikan usaha dakwah baginda Junjungan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam disokong secara tuntas. Para sahabat juga tanpa ragu-ragu menyalurkan sumbangan yang serupa tanpa mengharapkan ganjaran segera duniawi.
Mimbar Jumaat tengah hari tadi menyentuh tentang amalan sedekah dan wakaf yang telah memacu kekuatan umat pada masa yang lalu. Amalan berkenaan hendaklah diteruskan sampai bila-bila serta dilazimkan dalam setiap waktu bagi menzahirkan rasa syukur terhadap rezeki kurniaan Ilahi. Tambahan pula, amalan sedekah dan wakaf banyak sekali disebut dalam al-Quran dan al-Hadith.
Ungkapan bahawa kekayaan hakiki bukanlah diukur berdasarkan harta benda atau wang ringgit yang dimiliki, tetapi berdasarkan apa yang diberi, iaitu sumbangan memang selaras dengan kehendak dakwah. Dakwah ke arah mentawhidkan Ilahi disampaikan menerusi pelbagai kaedah dan tempat. Usaha dakwah tidak sekadar melibatkan perjalanan atau pertemuan bersemuka, bahkan penggemblengan seluruh sumber teknologi terkini yang memerlukan perbelanjaan dan penyelidikan.
Dakwah juga tidak terhad kepada penyampaian berbentuk perkataan sahaja, malah disampaikan menerusi perbuatan yang terpuji, kecemerlangan pencapaian umat dan pertolongan mengeluarkan mereka yang terperangkap dalam kesulitan. Dakwah bi'l-hal seumpamanya juga memerlukan sumbangan dana yang tulus ikhlas bukan untuk tujuan upah, sebaliknya untuk disalurkan terhadap kebajikan sasaran dakwah (mad'u) yang dihadapi. Dalam keadaan pengurusan baitul-mal yang belum mantap, amalan sedekah dan wakaf bakal menampung kekurangan yang berlaku.
...
...
...
No comments:
Post a Comment