Saturday, February 7, 2015

BERTEMU NIGHTINGALE DI KUALA PILAH (CLASSIC ARCHITECTURES)

Perjalanan dari Ipoh ke pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan menempuh jarak kira-kira 320 kilometer. Pemandu boleh menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan ke arah Johor Bahru sepenuhnya dan membelok ke susur keluar di plaza tol Senawang. Setelah itu, hanya jalan negeri menjadi penghubung ke arah Kuala Ibol, Bukit Putus, Senaling dan Terachi.

Walaupun hanya sebuah pekan kecil lebih kurang Gerik di Perak, tetapi nama Kuala Pilah menjadi besar dan gah kerana faktor sejarah penentang pahlawan tempatan terhadap penjajah Inggeris. Nama tokoh pejuang hebat itu diabadikan di sekolah, misalnya Sekolah Kebangsaan Tunku Laksamana Nasir. Selain itu, istana rasmi Yamtuan Besar Negeri Sembilan tersergam di Seri Menanti.

Dahulu dari Kuala Pilah hingga ke Bahau perangkap najis lembu suatu pengalaman biasa, tetapi kini sudah tidak kelihatan lagi. Pihak berkuasa tempatan bertegas dengan kuat kuasa kompaun dan tindakan undang-undang ke atas penternak lembu yang membiarkan haiwan mereka berkeliaran. Namun menariknya papan tanda jalan raya  ke arah Seri Menanti mengingatkan pemandu kenderaan supaya berjaga-jaga dengan tapir dan tenuk melintas jalan!

Kuala Pilah juga popular kerana disebut oleh Ito dan Blues Gang dalam lagu Apo Nak Dikato (apa nak dikata) dalam loghat Negeri Sembilan walaupun Ito orang Kuala Sebang, Melaka. Selain daya tarikan sejarah, Kuala Pilah juga menawarkan tempat rekreasi menarik seperti kawasan bersebelahan Istana Seri Menanti dan juga tapak jualan buah-buahan segar Starfresh ke arah Bukit Putus. Penagaruh reka bentuk rumah Minangkabau masih ada, tetapi sudah semakin terpinggir.

Dalam perjalanan balik ke arah Kuala Lumpur, kira-kira dua kilometer dari pekan Kuala Pilah, pengunjung pasti 'teruja' kerana berpeluang berjumpa dengan 'Florence Nightingle' ikon yang dikenali oleh semua jururawat terlatih di seluruh dunia (klik di sini). Tentu sahaja Nightingale yang dimaksudkan bukanlah maujud (realiti), sebaliknya nama kepada sebuah dewan kolej kejururawatan. Mungkin bukan di Kuala Pilah sahaja begitu, bahkan nama Nightingale yang hidup pada penghujung era empayar Uthmaniah Turki di Eropah itu barangkali diabadikan di hampir semua kolej kejururawatan di seluruh dunia.

Penulis blog (PB) terfikir tentang ikon kejururawatan moden selain Forence Nightingale di bahagian lain dunia yang tidak tercatat dalam sejarah perubatan. Dunia perubatan Barat sebenarnya terhutang budi dengan tokoh perubatan Islam yang sekian lama mengasaskan ilmu tentang pembedahan dan rawatan (diagnosis, terapi, prognosis). Maka, agak janggal jika doktor hanya bertugas sendirian tanpa bantuan jururawat.

Dalam sejarah Islam sendiri, bidang rawatan memang diberikan perhatian terutama untuk pejuang yang cedera ketika berhadapan dengan musuh di medan pertempuran. Sudah pasti terdapat kaedah dan teknologi rawatan yang digunakan ketika itu. Suatu kajian yang terperinci boleh dilakukan supaya sejarah jururawat dalam kalangan umat yang patuh syariah dapat ditonjolkan.

Malaysia sendiri sudah pasti mempunyai tokoh jururawat yang berjasa dan berpencapaian luar biasa. Apa salahnya nama mereka pula diabadikan di dewan kolej kejururawatan bagi menggantikan ikon Lady of the lamp yang didatangkan dari Barat itu. Jika perjuangan supaya jururawat berpakaian menutup aurat sudah berjaya membongkar segala kepalsuan alasan dangkal, mengapakah kita mesti sentiasa terikat dengan ikon Barat?

No comments:

Post a Comment