Wednesday, March 18, 2015

BAB DUA PULUH SATU, BAB DUA PULUH DUA NOVEL 'JENDELA MENGHADAP JALAN' (SUCCESS WAITING BEHIND THE PROBLEM)



Sinopsis Bab 21 
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 156 - 162)

Sepanjang malam, ‘aku’ tidak terlelap langsung. ‘Aku’ bersimpati dengan Rafik dan Haziq walaupun ‘aku’ dijadikan tebusan. Usai ‘aku’ sarapan, Danel muncul. Dia pelik kerana ‘aku’ bertanya khabar dua beradik itu, bukannya berkenaan tangkapan. Danel memberitahu tempat persembunyian mereka telah dirobohkan. Mereka sudah biasa keluar masuk penjara dan pusat pemulihan. Danel geram, tetapi ‘aku’ menyebut tentang kemungkinan perubahan sikap mereka. Sambil tersipu-sipu Danel meminta diri.

“Aku’ mengekori nenek menyidai pakaian sambil bertanya tentang Che Jah dengan alasan suaranya lantang. Nenek melarang ‘aku’mengambil tahu, malah bertegas Rafik dan Haziq sukar berubah untuk menjadi baik walaupun itulah ikhtiar Che Jah. Maka, ‘aku’ sedar bahawa nenek sama dengan Danel, iaitu di pihak yang menghukum. “Aku’ ingin menemui Geetha, tetapi keizinan nenek menjadi masalahnya.

Sudahnya ‘aku’ resah di jendela sejak pagi hingga tengah hari. Menjelang waktu asar, sekali lagi ‘aku’ cuba meminta izin nenek ke pecan,tetapi dia tetap tegas enggan membenarkan dengan menjegilkan matanya. Alasan ditemani Abang Rashid, berdikari dan sekejap semuanya ditolak mentah-mentah. ‘Aku’ akur akan perintah nenek yang bimbangkan keselamatan cucunya, tetapi masih berharap keajaiban akan muncul juga.

Sinopsis Bab 22
(rujukan naskhah novel edisi murid: muka surat 163 - 170)

Sedang nenek sibuk berleter kerana datuk masih mencari tasbihnya yang hilang, Abang Rashid muncul. Dia memberitahu Rafik dan Haziq ditangkap oleh penduduk kampung setelah dibelasah oleh ayah mereka. Hasrat ‘aku’ keluar rumah tertunai apabila Abang Rashid bersetuju ‘aku’ mengikutnya. Nenek sempat memberi amaran supaya ‘aku’ tidak merayap, sebaliknya cepat pulang.

Di dalam kenderaan, Abang Rashid hanya memberitahu Rafik dan Haziq nakal sejak zaman kanak-kanak. Dia mengelak soalan lain, sebaliknya diam setelah bertanya hal pelajaran ‘aku’. Laman rumah Che Jah kemas dan teratur, tidak seperti kehidupan keluarganya. ‘Aku’ mendapati ruang tamu rumah Che Jah kosong tanpa perabot, macam muflis. Abang Rashid berbual dengan ayah saudara Che Jah di luar.

Che Jah memohon maaf dalam nada suara lemah lembut, berlainan dengan sangkaan ‘aku’ suaranya lantang dan suka memekik. Che Jah memberitahu Haziq dibalun separuh mati dengan tali pinggang oleh ayahnya. Che Jah memuji sikap ‘aku’ yang tidak berdendam.’Aku’berjaya membuatkan Che Jah tersenyum dan mengheret perbualan sehingga aktiviti memasak. Abang Rashid pulang sendirian kerana ‘aku’ memenuhi pelawaan Che Jah untuk makan tengah hari di rumahnya.’Aku’ menganggapnya suatu pencapaian sosial.

Watak dan perwatakan

‘Aku’ / Lili:  berpandangan jauh

Danel:  mengambil berat / prihatin

Nenek ‘aku’:  tegas

Abang Rashid:  Cepat memahami orang lain.

Che Jah:  mudah mesra

Latar masyarakat

Masyarakat yang berpandangan jauh

Masyarakat yang tegas

Masyarakat yang mudah memahami orang lain

Nilai

Berwawasan

Ketegasan

Kesefahaman

Persoalan

Berwawasan dalam menilai sesuatu kejadian

Ketegasan dalam melindungi keselamatan keluarga

Kesefahaman dalam memenuhi hasrat orang lain

Pengajaran

Kita hendaklah berwawasan dalam menilai sesuatu kejadian

Kita hendaklah tegas dalam melindungi keselamatan keluarga

Kita hendaklah bersefahaman dalam memenuhi hasrat orang lain

Latar tempat

Rumah datuk / nenek ‘aku’

Rumah Che Jah

Latar masa

Usai sarapan pagi

Waktu solat asar

Perbincangan kbkk / kbat

Peluang kedua kepada mangsa / pesalah dadah

Risiko anak gadis / wanita bersendirian

Contoh soalan aras komsas

Huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan bahawa berlakunya konflik berdasarkan novel yang anda pelajari.

Contoh soalan aras kbkk / kbat

Watak utama dalam sesebuah novel sering digambarkan sebagai memiliki kebijaksanaan tertentu.

Berdasarkan novel yang anda pelajari, berikan dua peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan watak utama.

No comments:

Post a Comment