Tuesday, April 7, 2015

AKHIRNYA KENA GST JUGA (BUYER PAY ALL THE EXTRA CHARGES ALONE)

Walaupun cuba bertahan, tetapi pada hari terakhir minggu pertama pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), penulis blog 'menyumbang' bayaran sulung berjumlah RM3.60 sahaja. Urus niaga di pasar raya tidak terlepas daripada GST berdasarkan nilai jualan bulanan tertentu. Kedai runcit mungkin tidak terbabit, tetapi harga jualannya relatif lebih tinggi atas sebab saluran penerimaan bekalan barang.

Perkhidmatan salinan dokumen (fotokopi, xerox) juga dikenakan GST. Pembeli kena tanggung 100 peratus caj GST sebanyak 6 peratus seperti yang tertera dalam resit. Nampaknya harapan untuk memperoleh harga yang lebih rendah kerana GST yang lebih rendah daripada SST sebelum ini tidak kesampaian.

Pengecualian terhadap makanan dan keperluan asas mengakibatkan pembelian barang harian seperti plastik sampah pun dikenakan GST berdasarkan harga semasa tanpa ada potongan caj SST. Barang yang dilabel sebagai sifar GST pula hakikatnya telah dinaikkan harga terlebih dahulu sebelum 1 April yang lalu. Misalnya, Nescafe Gold 200 gram di Pasar Raya UO kini berharga RM30.90 berbanding dengan RM28.90 sebelumnya.
Resit pembelian di atas menunjukkan betapa semua barang yang berlabel 'S' dikenakan GST 6 peratus. Jumlah belian RM60.10 dikenakan caj GST sebanyak RM3.60. Kuasa beli wang (nominal) telah merosot dengan ketara!

Harga tong sampah besar di UO ialah RM15.90 sebelum GST. Namun, di kedai barang plastik, item yang sama dijual dengan harga RM12.90 tanpa dikenakan GST. Golongan pembeli di bandar mempunyai pilihan yang lebih luas jika rajin membuat perbandingan harga.

Hitungan konservatif menunjukkan pengguna terpaksa berbelanja lebih 6 peratus berasaskan pendapatan nominal yang sama. Setiap RM1 dahulu kini hanya bersamaan RM0.94 dari segi perakaunan inflasi. Kos sara hidup juga meningkat walaupun data inflasi boleh dimanipulasikan dengan komponen wajaran terpilih sahaja.

Jelas sekali bahawa golongan pemodal (kapitalis) memindahkan sepenuhnya beban cukai kepada pembeli menerusi kenaikan harga barang. Dalam kata lain, mereka tidak sudi berkongsi walaupun satu peratus daripada caj GST. Persatuan pengguna hanya membisu seribu bahasa melainkan gesaan supaya penerangan GST digiatkan.

Pengguna masih berharap supaya konsep GST ganti SST benar-benar berlaku. Jika sebaliknya bererti bahawa pengguna harus mengurangkan perbelanjaan terhadap barang yang anjal dari segi permintaan, iaitu mengehadkan kehendak. Namun, perbelanjaan yang terlalu berhati-hati atau paradoks penjimatan  itu bakal melemahkan perbelanjaan agregat yang menjadi petunjuk kegiatan ekonomi ...

No comments:

Post a Comment