Dari Ipoh lagi sudah berhasrat menikmati menu terbaik utara tanah ais Semenanjung, iaitu mi udang yang disediakan di kawasan penangkapan udang, bukan udang sangkar. Orang kata mi udang Sungai Dua terbaik, tetapi seorang pesara Jabatan Kimia yang kini peniaga kedai akhbar dan telekomunikasi di Penaga mencadangkan Kampung Pulau Sayak, kira-kira 20 kilometer dari situ.
Mulanya macam tidak percaya sebab perjalanan merentasi kawasan kampung yang sunyi. Namun, pemandangan sawah padi menghijau yang terbentang saujana mata memandang begitu mendamaikan jiwa, Subhanallah. Maklumat dalam GPS dan papan tanda menunjukkan arah Tikam Batu dan Pantai Merdeka yang pernah bergelar tempat pelancongan air terbaik sebelum mengalami pencemaran.
Penulis blog (PB) sekeluarga singgah di gerai Pak Su berhampiran Pusat Latihan Perikanan. Sepinggan mi udang istimewa berharga RM14 dengan 5 ekor udang. Kalau biasa RM9 dengan 3 ekor udang.
Kamarudin petugas di situ memberitahu bahawa setiap hari udang solo (gred dua) ditempah dari Kuala Kedah tidak kurang daripada 200 kilogram. Udang solo segar lebih manis dan mempunyai tekstur yang menambat selera berbanding dengan udang gred satu. Mi udang yang dihidangkan itu hanya disediakan berdasarkan pesanan pelanggan supaya aroma dan rasa aslinya dapat dinikmati panas-panas.
Pada waktu tengah hari memang mudah mendapat tempat duduk dan tempoh menunggu pesanan juga singkat. Namun, apbila cuaca mulai redup dan nyaman, pelanggan akan berpusu-pusu menyebabkan banyak yang harus bersabar menunggu giliran untuk dilayan. Cara yang terbaik ialah buat tempahan meja terlebih dahulu macam di hotel.
Bersebelahan gerai Pak Su, terdapat sebuah restoran mi udang yang menjadi sebutan iaitu mi udang banjir. Pada ketika PB singgah di restoran Pak Su, restoran tersebut masih belum dibuka. Barangkali pada kesempatan yang lain pula, insya-Allah.
Restoran mi udang Pak Su, mi udang banjir dan dua buah restoran mi udang lain di hadapan terletak betul-betul di tepi Selat Melaka. Maka, sambil menikmati mi udang, pelanggan dibelai oleh angin sepoi-sepoi bahasa atau bayu laut yang nyaman. Sesekali ternampak bot nelayan melintasi kawasan berkenaan.
Kemudahan chalet dan resort juga boleh ditempah di hujung pantai Kuala Muda, tempat yang pernah dilanda tsunami suatu ketika dahulu. Kepada yang lebih cenderung kepada keselesaan, mereka mungkin memilih Hotel Seri Malaysia di Kepala Batas yang hanya mengambil masa perjalanan kenderaan penunpang kira-kira 30 minit. Kepada penggemar mi udang, Kampung Pulau Sayak merupakan pilihan yang terbaik ...
No comments:
Post a Comment