Friday, June 5, 2015

HUTANG ISI RUMAH MENYUMBANG TERHADAP INFLASI DI MALAYSIA? (THE INCREASING TREND OF SPENDING)

Inflasi ialah peningkatan harga umum secara berterusan dan tidak terbatas dalam jangka panjang. Kadar inflasi diukur berdasarkan indeks harga pengguna dengan sejumlah komponen barang dan perkhidmatan yang membentuk wajaran yang ditetapkan pada harga tahun asas. Tiga kategori inflasi yang biasa dibincangkan ialah inflasi tarikan permintaan, inflasi tolakan kos dan inflasi diimport.

Perbelanjaan isi rumah berkait rapat dengan inflasi tarikan permintaan apabila tekanan perbelanjaan agregat terlalu tinggi (melebihi penawaran agregat). Orang ramai mungkin memiliki sejumlah kecairan (wang tunai) yang banyak di dalam tangan. Selain itu, kemudahan pinjaman begitu longgar akibat nisbah rizab bank perdagangan yang tinggi, sementelah tempoh bayaran balik yang panjang.
Paparan grafik di atas menunjukkan betapa paras hutang isi rumah di negara kita sangat kritikal. Arah aliran meningkat apabila dinisbahkan dengan keluaran dalam negara kasar membuktikan hakikat berkenaan. Pendapatan yang dibawa balik ke rumah pada setiap hujung bulan hanya tinggal 'serdak' kerana hampir habis dipotong menerusi slip gaji, selain dibayar sendiri di mesin deposit tunai.

Ketua isi rumah era digital kini tidak pernah melihat, apatah lagi menggenggam semua wang tunai pendapatan penuh mereka. Hanya catatan angka dalam slip gaji yang mampu menjadi tatapan. Sepertinya mereka bertungkus-lumus mencari rezeki untuk diagih-agihkan kepada pelbagai pihak, kecuali dirinya sendiri.

Ketua isi rumah berpendapatan sederhana tidak menikmati pelepasan cukai dan pengecualian bayaran sebagaimana golongan berpendatan relatif lebih rendah, iaitu RM5,000 sebulan dan ke bawah. Mereka perlu membayar jumlah penuh perbelanjaan persekolahan anak, termasuk derma PIBG. Pinjaman pengajian tinggi juga sukar melepasi pembiayaan 100 peratus.

Pendapatan boleh guna mereka juga mengecil apabila mengalami potongan cukai berjadual yang menghampiri 10 peratus gaji pokok bulanan. Kenaikan gaji tahunan lebih bersifat elaun inflasi, dengan sebahagiannya harus diperuntukkan terhadap bayaran cukai pendapatan mencecah 24 peratus bagi kumpulan baki pendapatan bercukai yang tertentu.

Isi rumah juga menanggung beban cukai tidak langsung yang besar daripada pembelian barang dan perkhidmatan, cukai jalan, cukai pintu, cukai tanah dan terkini GST. Pergerakan persatuan pengguna dan koperasi yang lemah mengakibatkan kebajikan pengguna bagi menikmati kos sara hidup yang munasabah tidak tercapai. Pengguna di Malaysia yang tidak bersatu menjadi punca utama mereka terdedah kepada eksploitasi dan kezaliman.

Sikap pengguna yang berbelanja boros tanpa mengukur baju di badan sendiri hanya memburukkan keadaan. Golongan muda yang belum cukup matang terlalu menurut kata hati untuk melanggar siling had kredit yang ditawarkan oleh pihak bank. Pada akhirnya, segala macam bayaran yang dibuat itu mendorong pihak pemodal dan peniaga mengambil kesempatan melonjakkan keuntungan, lalu mencetuskan inflasi ...

No comments:

Post a Comment