Monday, June 1, 2015

DILEMA KERJAYA JURUTERA (THE RISK OF HIGHER POST)

Bidang yang sinonim dengan inovasi dan kecanggihan teknologi ini dianggap sebagai nadi kemajuan fizikal serta reka bentuk kemudahan moden yang sentiasa ditambah baik. Maka, segala aplikasi prinsip yang diterokai sekian lama telah menjamin bahawa tidak berlaku fenomena keusangan dalam disiplin ilmu yang kritikal ini. Pendek kata, sumbangan para jurutera terhadap kesejahteraan hidup insan memang sangat besar.

Jurutera tidak sekadar mendalami kemahiran teknikal aras tinggi, malah memastikan amalan pengurusan terbaik dalam kerjaya mereka. Sebahagian asas ilmu pengurusan berpunca daripada pengamatan tokoh kejuruteraan seperti Frederick Taylor dan Henry Fayol. Oleh itu, tidaklah menghairankan bahawa kemuncak kerjaya seseorang jurutera ialah peringkat pengurusan organisasi.
sumber: kiriman whatsapp

Negara Jerman dan Peranchis adalah contoh negara maju berteraskan kejuruteraan. Masing-masing terkenal dengan industri automatif dan pembinaan prasarana mega. Begitu juga dengan Jepun dan Korea Selatan yang juga semakin ke garis paling hadapan dalam bidang itu. Malaysia juga tidak mahu tercicir apabila lebih banyak institusi pengajian dan latihan kejuruteraan telah dibuka. 

Mata pelajaran seperti Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Kemahiran Hidup dan celik komputer diperkasakan bagi menyemai kecenderungan murid ke arah pengajian kejuruteraan. Sekolah teknik, kolej vokasional, kolej komuniti dan politeknik merintis laluan separa teknikal kejuruteraan sebelum menjurus kepada pengajian di peringkat ijazah asas, lanjutan dan kelayakan ikhtisas kejuteraan. Pelajar kejuruteraan juga diterapkan dengan input keusahawanan supaya stigma sebagai pekerja biasa dapat diangkat ke tahap majikan yang berdaya saing.

Hakikat bahawa pelajar bidang kejuruteraan dan ibu bapa mereka berasa khuatir tentang penawaran berlebihan calon jurutera pada masa hadapan bukanlah perkara baharu. Walaupun perancangan guna tenaga secara makro telah diunjurkan dengan teliti, tiada sesiapa jua pun yang berupaya menjangka dengan tepat persekitaran ekonomi yang sentiasa berubah. Bidang kejuruteraan tidaklah terkecuali daripada menerima tempias pengaruh kegiatan ekonomi yang bersifat demikian.

Namun, fenomena pengangguran siswazah, termasuk pemilik sarjana muda kejuruteraan yang telah bertungkus-lumus sejak di bangku sekolah lagi bukanlah jalan mati. Negara China, India dan Filipina kini mengecapi kemakmuran hasil sentuhan daya pengeluaran modal insan siswazah setelah melepasi fasa pengangguran skala besar. Maka, Malaysia boleh meminjam pengalaman mereka, tetapi dengan proses perancangan guna tenaga yang lebih cekap.

Era jurutera sebagai kerjaya glamor sudah belalu. Sebaliknya, setiap jurutera hendaklah sanggup membiasakan diri terhadap konsep pembelajaran sepanjang hayat dengan sentiasa bersedia menekuni jurnal penyelidikan kejuruteraan yang terkini sama ada berbentuk cetakan atau capaian atas talian. Jika tidak, pergantungan terhadap nasib baik dan pihak lain bakal berterusan.

Kepada pemohon pengajian kejuruteraan, sama ada di peringkat sijil, diploma dan ijazah, persiapan mental seperti yang tersebut hendaklah sentiasa tersemat dalam benak fikiran. Bidang kejuruteraan akan sentiasa kekal istimewa dan relevan selagi mana calon jurutera memiliki wawasan dalam menempuh cabaran pengajian serta kerjaya masa hadapan. Masyarakat tidak akan pernah berhenti memerlukan perkhidmatan kejuruteraan ...

No comments:

Post a Comment